Ingin Lebih Bahagia? Baca Tips Dan Nasihat Warren Buffett Ini

Dalam kuliah ucapan Warren Buffett pada tahun 1998 yang ditujukan khas buat pelajar Master of Business Administration (MBA) di University Of Florida, beliau telah banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

Ada seorang hadirin yang bertanyakan beliau satu soalan “Apakah yang beliau akan lakukan sekiranya ingin menjalani kehidupan yang lebih bahagia, jika umur beliau masih panjang?”

Menurut pengerusi dan CEO Berkshire Hathaway ini, bagi mencapai kebahagiaan sepanjang hidup, kita sepatutnya hanya menjalinkan hubungan kerjasama dengan orang yang kita selesa untuk bekerjasama dan mengelakkan sebaliknya.

Seperti dirinya, beliau hanya menjalinkan kerjasama dengan individu atau orang yang selesa beliau bekerjasama.

Tambah beliau lagi, jika dia mencipta keuntungan sebanyak USD100 juta dengan bekerjasama dengan orang yang beliau tidak suka dan tidak selesa, ibarat seperti beliau hanya mengutamakan wang semata-mata.

Ianya bukanlah idea yang baik, kerana boleh menyebabkannya kita tidak mempunyai jiwa dan perasaan ketika melaksanakan sesuatu misi pekerjaan.

Baik Atau Buruk, Hubungan Adalah Penentu Segalanya

Warren Buffett bukan saja mengesyorkan perkara tersebut untuk bidang perniagaan dan pelaburan, beliau juga menggunakan prinsip yang sama dalam kehidupan seharian. Demikian juga dengan kita, anda boleh menggunakan prinsip tersebut dalam apa jua situasi kehidupan seharian anda.

Contohnya anda bekerja di pejabat, di mana persekitaran tempat kerja anda kurang menyenangkan dan tidak selesa; anda dicadangkan untuk mencari inisiatif bagi mengubahnya. Atau meninggalkan pekerjaan tersebut, sekaligus mencari pekerjaan yang baru.

Tidak ada faedahnya jika anda terus kekal dalam persekitaran tersebut, kerana ianya akan lebih banyak memudaratkan diri anda di masa akan datang.

Dalam satu majlis bual bicara bersama Bill Gates pada tahun 2017 yang dibuat di di University of Colombia, Warren Buffett menjelaskan bahawa “anda terbentuk melalui orang yang berada di sekeliling anda, jadi tersangatlah penting untuk anda bergaul dengan orang yang lebih baik daripada diri anda”.

Semua orang tahu kata-kata emas pakar motivasi, Jim Rohn bahawa “kita merupakan purata daripada lima orang yang kita luangkan lebih banyak masa bersama”.

Sekaligus kita dapat menyimpulkan bahawa, adalah lebih baik untuk kita mengelakkan diri daripada bersama dengan orang yang berada di luar zon keselesaan kita. Tidak kiralah ianya dalam perhubungan di tempat kerja, kehidupan seharian, perniagaan, atau sebagainya.

Bila kita bahagia, kehidupan kita akan menjadi lebih baik.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.