Kekayaan 50 Individu Terkaya Malaysia Dalam Senarai Forbes Meningkat Kepada US$81.6 Bilion

SINGAPURA, 1 Jun (Bernama) — Kekayaan terkumpul taikun dalam senarai Forbes 2023 untuk 50 individu terkaya di Malaysia meningkat kepada US$81.6 bilion daripada US$80.5 bilion pada tahun lepas walaupun mengalami penurunan dalam pasaran saham, menurut Forbes Asia. (US$1=RM4.61)

“Selepas meningkat 8.7 peratus pada 2022 berikutan perbelanjaan pengguna domestik yang pulih, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun ini.

“Walaupun negara kembali pulih selepas pandemik, pasaran saham merosot 8.0 peratus sejak kekayaan diukur kali terakhir dan ringgit turut susut hampir 2.0 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Dalam senarai terkini, tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok, yang akan berusia 100 tahun pada Oktober ini kekal sebagai individu terkaya di Malaysia, kedudukan yang dipegangnya selama lebih suku abad.

Kuok, yang mendapat keuntungan tertinggi dari segi dolar pada tahun ini, adalah satu daripada hanya dua individu dalam senarai dengan kekayaan dua angka sebanyak US$11.8 bilion.

Seorang lagi ialah Tan Sri Quek Leng Chan, Pengerusi Eksekutif milik persendirian Hong Leong Group untuk cabang Malaysia, menduduki tempat kedua dengan kekayaan terkumpul sebanyak US$10.2 bilion.

“Secara keseluruhannya, 19 kekayaan meningkat dan hampir separuh turun,” menurut Forbes Asia.

Walaupun berada dalam kategori kedua, tokoh logam Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradiknya kekal di tempat ketiga.

Gabungan kekayaan mereka sebanyak US$5.8 bilion berkurangan hampir 7.0 peratus daripada $6.2 bilion pada tahun lepas, sejajar dengan kejatuhan saham syarikat mereka Press Metal Aluminium Holdings, pengeluar aluminium bersepadu yang terbesar di Asia Tenggara berikutan kos bahan mentah dan pengangkutan yang tinggi.

Antara yang mendapat keuntungan yang tinggi dalam senarai pada tahun ini ialah duo bapa dan anak Yaw Teck Seng dan Chee Ming, yang mengawal syarikat gergasi kayu balak, Samling.

Mereka melonjak kepada No. 16 daripada No. 32 pada tahun lepas apabila kekayaan mereka meningkat lebih dua kali ganda kepada US$1.25 bilion, berdasarkan maklumat baharu mengenai aset persendirian mereka.

Bekas guru matematik Dr Chia Song Kun (No. 10, US$1.8 bilion), Pengerusi Eksekutif syarikat makanan laut keluarganya, QL Resources, kembali kepada kedudukan selepas jurang selama tujuh tahun apabila saham syarikat mencatatkan peningkatan hampir 20.0 peratus dan kemasukan kepentingan keluarganya yang lebih luas.

“Dua taikun yang disokong ekuiti swasta mendapat sokongan daripada urus niaga penting,” menurut Forbes Asia.

Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim (No. 24), yang Weststar Aviation Services mengendalikan kumpulan helikopter untuk perkhidmatan luar pesisir kedua terbesar di rantau Asia Pasifik, telah membeli semula 21 peratus kepentingan dalam firma pelaburan KKR dan kini bernilai US$825 juta, naik 27 peratus daripada tahun lepas.

Kekayaan pengasas penyedia perkhidmatan pengebumian Nirvana Asia, Tan Sri David Kong (No. 23, US$860 juta), meningkat berikutan cadangan penjualan oleh firma ekuiti swasta CVC Capital Partners untuk kepentingannya pada anggaran penilaian sebanyak US$2 bilion.

Lima muka baharu pada tahun ini termasuklah usahawan hartanah Chiau Beng Teik (No. 29, US$665 juta), pengasas Chin Hin Group dan Yu Kuan Chon (No. 39, US$430 juta), seorang doktor perubatan yang menguruskan YNH Property.

Pendatang baharu yang lain ialah Ong Soon Ho (No. 32, US$630 juta), pengasas kumpulan agrokimia Hextar dan Goh Nan Kioh (No. 40, US$425 juta), yang memiliki firma pelaburan Mega First dan mempunyai kepentingan dalam D&O Green Technologies, menghasilkan diod pemancar cahaya untuk sektor automotif.

Menurut Forbes Asia, nilai bersih minimum untuk berada dalam senarai itu ialah US$315 juta, meningkat daripada US$255 juta pada 2022.

Sementara itu, senarai tersebut menyaksikan Tan Sri Ananda Krishnan dari Maxis, yang nilai bersihnya meningkat US$400 juta kepada US$5.4 bilion, menduduki tempat keempat.

Kekayaan pengasas Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow, yang meninggal dunia pada Disember, kini disenaraikan di bawah anak-anaknya, adik-beradik Teh (No. 5, US$5.2 bilion).

Senarai lengkap boleh didapati di www.forbes.com/malaysia dan dalam edisi Jun Forbes Asia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ATLAS Vending Lancar ‘Nutri-Aid’ Sebagai Penyelesaian Berasaskan Teknologi Untuk Menangani Ketidaksamaan Pemakanan di Sekolah Malaysia

KUALA LUMPUR – Sempena Hari Susu Sedunia, ATLAS Vending, cabang mesin layan diri milik Etika Sdn Bhd, hari ini melancarkan ATLAS Nutri Aid di Kilang Susu Goodday di Petaling Jaya. Dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bertujuan menangani ketidaksamaan pemakanan dalam kalangan murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan.

ATLAS Nutri Aid memanfaatkan teknologi mesin layan diri pintar untuk menyediakan akses harian yang konsisten kepada susu berkualiti tinggi secara percuma kepada pelajar yang memerlukan. Bagi ramai kanak-kanak dalam komuniti B40 di Malaysia, akses kepada pemakanan harian masih merupakan cabaran yang senyap tetapi kritikal. Inisiatif ini memastikan nutrisi tenusu asas bukan sahaja tersedia, malah boleh diakses secara berterusan di persekitaran sekolah dan komuniti.

Pelancaran rasmi ini menyusuli kejayaan program perintis di beberapa sekolah terpilih yang mencatatkan penglibatan pelajar yang tinggi serta peningkatan konsistensi transaksi. Susulan keputusan positif tersebut, program ini akan diperluaskan melalui pemasangan 10 mesin layan diri ATLAS Nutri Aid di sekolah-sekolah terpilih.

Inisiatif ini turut disokong oleh YRMS yang memainkan peranan penting dalam pembiayaan, penyelarasan komuniti dan mengenal pasti penerima yang layak, bagi memastikan program ini sampai kepada kanak-kanak yang paling memerlukan.

ATLAS Nutri Aid berteraskan komitmen untuk menangani cabaran kesihatan kompleks yang dihadapi belia Malaysia, khususnya isu “kelaparan tersembunyi” (hidden hunger) dan krisis terbantut (stunting) yang semakin membimbangkan. Tidak seperti negara jiran yang menunjukkan kemajuan sejak tahun 2000, kadar stunting kanak-kanak di Malaysia terus meningkat dan mencapai 24% pada tahun 2024, mengatasi Indonesia (23%), Kemboja (22%), Vietnam (19%), Thailand (12%) dan Singapura (3%). Ini menunjukkan satu kebimbangan kesihatan awam yang serius, ditambah pula dengan dapatan kajian SEANUTS II yang menunjukkan lebih 70% kanak-kanak tidak mencapai pengambilan harian yang disyorkan bagi Kalsium dan Vitamin D.

Dengan peningkatan kos sara hidup, ramai keluarga B40 menghadapi cabaran besar untuk menyediakan makanan seimbang, dengan kadar kelaparan kanak-kanak dilaporkan mencecah 58.4% di beberapa kawasan bandar berpendapatan rendah. ATLAS Nutri Aid menangani isu ini dengan membekalkan susu Goodday Charge Milk secara percuma melalui mesin layan diri. Produk susu di bawah portfolio Etika ini diformulasikan khusus untuk meningkatkan tenaga, menyokong kesihatan tulang dan memperbaiki fungsi kognitif menerusi gabungan 10 nutrien penting yang membantu perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.

“Bagi ramai keluarga, menyediakan pemakanan harian bukanlah sesuatu yang sentiasa terjamin dan itu tidak sepatutnya menjadi halangan kepada tumbesaran kanak-kanak,” kata Hemalatha Ragavan, Ketua Pegawai Eksekutif Etika & International Exports. “Melalui ATLAS Nutri Aid, kami memastikan setiap kanak-kanak mempunyai akses kepada sesuatu yang asas seperti susu pada setiap hari persekolahan. Dengan menggabungkan teknologi dan tujuan, kami dapat menyampaikan nutrisi secara konsisten, bermaruah dan berimpak. Ini juga akan membantu meningkatkan kehadiran ke sekolah supaya generasi masa depan kita tidak terlepas peluang pembelajaran.”

Memperluaskan kerangka Hygiene Aid, ATLAS Nutri Aid menggunakan mesin layan diri pintar proprietari dan sistem kad “tap-and-go” yang lancar untuk memberikan akses pemakanan harian secara telus dan bersasar kepada pelajar. Dengan menyelaraskan kad dengan kalendar sekolah, sistem ini memastikan pengagihan yang konsisten pada hari persekolahan sambil mengelakkan penyalahgunaan dan ketirisan. Mekanisme berasaskan data ini membolehkan ATLAS Vending memantau impak program dengan berkesan, sambil memberikan pengalaman yang bermaruah dan berdikari kepada kanak-kanak.

Muhammad Syazwan Bin Mohd Daut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) berkata, “Misi YRMS sentiasa tertumpu kepada membangunkan potensi belia. Pemakanan yang baik adalah asas kepada keupayaan kanak-kanak untuk belajar, memberi tumpuan dan berjaya di sekolah. Melalui ATLAS Nutri Aid, kami bukan sekadar menyediakan nutrisi harian, tetapi menghapuskan halangan penting kepada pendidikan dan memberikan tenaga serta peluang yang sewajarnya untuk mereka mencapai impian.”

Inisiatif ATLAS Nutri Aid mencerminkan komitmen jangka panjang untuk meningkatkan tumpuan di dalam kelas dan perkembangan fizikal generasi akan datang. Dengan menyediakan sumber nutrisi yang boleh dipercayai, program ini membantu merapatkan jurang penting dalam kesihatan kanak-kanak sambil menyokong keluarga kurang mendapat perhatian yang berdepan tekanan ekonomi.

Pada terasnya, ATLAS Nutri Aid dibina atas satu kepercayaan mudah: setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk membesar, belajar dan berkembang maju, bermula dengan pemakanan yang baik.