Khazanah Labur Dalam PolicyStreet Bagi Tingkatkan Perlindungan Di Pasaran Kurang Tumpuan Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) — Khazanah Nasional Bhd yang baru-baru ini menerajui pusingan pengumpulan dana Siri B syarikat teknologi insurans (InsurTech) tempatan Malaysia, PolicyStreet, mengumpul sejumlah US$15.3 juta (RM67 juta) di bawah mandat Dana Impak.

PolicyStreet adalah syarikat InsurTech tindanan penuh yang menawarkan penyelesaian insurans digital dan disesuaikan kepada pengguna dan perniagaan.

Syarikat berhasrat untuk mengecilkan jurang perlindungan di Malaysia dan meningkatkan kadar penembusan insurans negara, yang sebanyak 5.3 peratus, kini ketinggalan berbanding negara lain seperti Singapura (9.3 peratus) serta Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) (9.4 peratus).

“Pelaburan Khazanah dalam PolicyStreet melengkapi Future Malaysia Programme yang bermatlamat untuk menyokong ekosistem syarikat permulaan tempatan yang merangkumi usahawan, syarikat permulaan, modal teroka dan program usaha sama korporat melalui kerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa.

“Future Malaysia Programme menyokong pelaburan dalam syarikat dengan model perniagaan mampan yang memberikan impak sosioekonomi kepada Malaysia seperti PolicyStreet, yang memerlukan suntikan modal berisiko,” menurut dana kekayaan negara itu dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata pelaburan dalam PolicyStreet menyasarkan peningkatan penembusan insurans dalam segmen yang tidak mendapat tumpuan dan kurang mendapat tumpuan bagi menyokong keterangkuman, menyediakan perlindungan kewangan yang lebih baik, meningkatkan daya tahan isi rumah dan kesejahteraan kewangan.

“Kami akan terus melabur dalam penyedia penyelesaian yang inovatif dan berkesan yang memanfaatkan teknologi dan inovasi produk untuk menyumbang kepada negara.

“Ini sejajar dengan komitmen kami untuk memacu ekosistem syarikat permulaan tempatan melalui Future Malaysia Programme, sebagai sebahagian daripada imperatif strategik kami,” katanya.

Menurut Khazanah, dalam Dana Impak berusaha untuk mewujudkan impak sosioekonomi dalam semua pelaburannya, ia telah menggunakan rangka kerja penilaian impaknya, Inisiatif SEMARAK, dalam proses penilaian pelaburan.

Tesis impak Khazanah adalah berdasarkan bagaimana penyelesaian insurans inovatif yang disediakan oleh InsurTech seperti PolicyStreet, menawarkan liputan mudah akses dan bermakna kepada mereka yang tidak mendapat tumpuan dan kurang mendapat tumpuan dan seterusnya, meningkatkan perlindungan kewangan, daya tahan isi rumah dan menggalakkan kesejahteraan kewangan untuk rakyat Malaysia. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama PolicyStreet Yen Ming Lee berkata syarikat komited untuk memperkasakan perniagaan dan pengguna dengan insurans di bawah nilai pasaran dengan menyediakan penyelesaian insurans yang mudah diakses.

“Dengan lebih setengah juta pekerja gig B40 dan 50,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini, kami menyasarkan untuk memberi perkhidmatan kepada 2.5 juta pekerja gig dan 300,000 PKS dalam tempoh lima tahun akan datang, mewujudkan masa depan yang lebih inklusif dari segi kewangan untuk komuniti di Malaysia dan rantau ini,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2017 oleh bekas profesional perbankan dan insurans Yen Ming Lee, Wilson Beh dan Winnie Chua, PolicyStreet telah mencapai pelbagai kejayaan, termasuk menjadi InsurTech tempatan pertama yang dianugerahkan lesen Penasihat Kewangan dan Penasihat Kewangan Islam oleh Bank Negara Malaysia pada 2019.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian