AirAsia Lancar Panggilan Langsung, Ciri-Ciri Kesan Tuntutan Bayaran Balik Di Super App, Laman Web

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) — Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia telah melancarkan perkhidmatan panggilan melalui aplikasi airasia Super App bagi membolehkan pelanggan berbual secara terus dengan pegawai perkhidmatannya untuk mendapatkan penyelesaian segera bagi situasi yang mendesak.  

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata ciri-ciri itu membolehkan tetamu atau pelanggan bercakap secara terus dengan ejen manusia semasa interaksi “Ask Bo Live Chat” mereka untuk penyelesaian segera.

Akses kepada fungsi panggilan ini akan dibuka kepada tetamu di penghujung interaksi mereka dengan bot sembang Ask Bo jika kes mereka dikenal pasti memerlukan penyelesaian segera atau kritikal, seperti penerbangan yang akan berlepas dalam tempoh 24 jam atau jika terdapat perubahan dalam rancangan perjalanan secara tiba-tiba atas sebab perubatan atau kecemasan.

Untuk pertanyaan am dan isu yang tidak memerlukan penyelesaian segera, AirAsia menggalakkan para tetamunya untuk menggunakan kemudahan layan diri dan bantuan sembang langsung yang tersedia pada airasia Super App dan bot sembang Ask Bo. 

AirAsia juga memperkenalkan ciri penjejakan tuntutan bayaran balik melalui airasia Super App dan laman webnya. Tetamu hanya perlu menekan butang ‘My Cases’ dan memasukkan nombor kes mereka bagi mendapatkan status terkini permintaan pemulangan balik mereka dengan lebih terperinci. 

Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan AirAsia Aviation Group Kesavan Sivanandam berkata perkhidmatan ini tersedia dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Cina, Thai dan Bahasa Indonesia.

“Ejen sembang langsung kami telah dilatih untuk menangani situasi mendesak dan memberikan bantuan terbaik mengikut keperluan para tetamu.

“Kami menyarankan para tetamu untuk menggunakan perkhidmatan panggilan langsung ini apabila perlu sahaja supaya kami dapat mengutamakan bantuan kepada tetamu yang lebih memerlukan,” katanya. 

Sehingga Februari 2023, AirAsia berkata pihaknya telah melunaskan 98.4 peratus daripada tuntutan bayaran balik yang diterimanya sejak bermula pandemik Covid-19 pada Mac 2020.

Syarikat penerbangan itu berkata pembayaran telah dibuat dalam pelbagai bentuk yang berjumlah sehingga US$2.1 bilion (US$1=RM4.42).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link & Freshtel Internet Rasmi Jalinkan Kerjasama WiFi 7 Tri-Band Pertama

KUALA LUMPUR, 15 Januari 2026 – TP-Link Malaysia telah memeterai satu kerjasama strategik dengan Freshtel Internet menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), sekali gus menandakan usaha bersama untuk memperkukuh penawaran sambungan internet di rumah bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap WiFi dalaman yang stabil dan berprestasi tinggi.

Menerusi kerjasama ini, Freshtel Internet akan mengintegrasikan TP-Link HB610 WiFi 7 Tri-Band Whole Home Mesh ke dalam pakej perkhidmatannya, menjadikan Freshtel antara penyedia perkhidmatan internet terawal di Malaysia yang mengguna pakai penyelesaian WiFi 7 tri-band TP-Link untuk sambungan internet di rumah.

Berbeza dengan penyelesaian WiFi 7 standard, seni bina tri-band HB610 dilengkapi jalur tambahan 6GHz yang membantu mengurangkan kesesakan rangkaian serta menyokong prestasi yang lebih lancar di rumah dengan pelbagai peranti bersambung. Ini membolehkan sambungan internet dalaman yang lebih stabil dan konsisten, khususnya dalam persekitaran penggunaan tinggi dan berbilang peranti.

“Prestasi WiFi dalam rumah kini sama pentingnya dengan kelajuan akses internet,” kata Alvin Ou, Ketua Perniagaan Enterprise & ISP, TP-Link Malaysia. “Melalui kerjasama ini bersama Freshtel Internet, kami menyokong penyedia perkhidmatan dengan penyelesaian WiFi 7 tri-band yang direka untuk memberikan pengalaman sambungan internet di rumah yang lebih boleh dipercayai dan konsisten.”

Menurut Steve Choo, Ketua Pegawai Eksekutif Freshtel Internet, “Menyediakan pengalaman WiFi dalaman yang boleh diharap merupakan keutamaan utama kami. Kerjasama dengan TP-Link membolehkan kami memperkukuh penawaran perkhidmatan melalui penyelesaian WiFi 7 tri-band, di samping bersedia menghadapi keperluan sambungan masa hadapan selari dengan perubahan corak penggunaan isi rumah.”

Selain sambungan kediaman, kerjasama ini turut membuka peluang kepada pembangunan persekitaran rangkaian yang diurus secara berpusat pada masa hadapan. Platform Omada oleh TP-Link menyediakan rangka kerja berskala yang berpotensi menyokong kediaman berbilang unit serta rangkaian hospitaliti, sejajar dengan perancangan Freshtel Internet untuk meneroka peluang perkhidmatan baharu.

Ke hadapan, TP-Link dan Freshtel Internet akan terus bekerjasama dalam jangka panjang bagi meningkatkan pengalaman sambungan internet selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan pengguna yang sentiasa berubah.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian TP-Link dan kerjasamanya bersama Freshtel Internet, sila layari laman web rasmi TP-Link Malaysia.