
Sub Topik
Menjadi kebiasaan apabila menghampiri hujung tahun bermakna ramai yang akan menerima bonus tahunan dari majikan masing-masing setelah setahun bekerja. Namun tahun ini mungkin lebih mencabar daripada tahun-tahun sebelum ini dengan kehadiran pandemik Covid-19.
Apa yang ingin disampaikan adalah bagaimana jika anda menerima bonus tahunan untuk menguruskan bonus tersebut dengan baik agar tidak berlaku pembaziran. Maklum sahaja, ramai yang teruja apabila menerima bonus tahunan ini.
Berikut adalah 4 cadangan untuk anda menguruskan bonus yang anda terima dengan lebih berhemat. Semoga cadangan ini memberikan manfaat kepada anda.
1. Selesaikan Hutang
Pastinya apabila menerima bonus tahunan ini, maka anda juga telah menerima lebihan wang selain daripada gaji anda. Perkara utama yang perlu anda fikir dan lakukan adalah dengan menggunakan duit tersebut untuk melangsaikan hutang-hutang anda yang sedia ada.
Contohnya seperti hutang kedai, hutang dengan kawan-kawan, hutang PTPTN dan juga lain-lain. Jika anda telah berjaya melangsaikan hutang-hutang yang selama ini menjadi satu komitmen kepada anda, ia sekaligus dapat memberikan ketenangan jiwa kepada anda sendiri.
Anda pastinya tidak perlu memikirkan lagi tentang bebanan hutang yang tinggi.
2. Tambah Pelaburan Jangka Masa Panjang

Tidak salah sekiranya anda hendak mempunyai pelaburan malah ianya adalah sesuatu yang digalakkan. Ia merupakan satu dana yang sangat-sangat diperlukan ketika anda bersara kelak.
Kehidupan juga akan lebih terjamin sekiranya anda mengambil langkah untuk menggunakan hasil bonus tahunan anda untuk melabur.
3. Tambah Simpanan Kecemasan
Mempunyai simpanan kecemasan yang berlebihan adalah sesuatu yang menguntungkan kepada anda. Bayangkan sahaja sekiranya anda mengalami kesusahan ataupun mendapat sakit yang memerlukan perubatan kos yang tinggi, dengan adanya simpanan kecemasan ini ia dapat membantu anda.
Ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu memerlukan anda untuk lebih bersiap sedia menghadapi sebarang kebarangkalian yang akan berlaku kelak. Ibarat pepatah melayu, sediakan payung sebelum hujan.
4. Tambah Duit Tabung

Simpan duit bonus tadi ke dalam tabung simpanan untuk digunakan ketika waktu-waktu yang memerlukan. Sebagai contoh, ketika musim perayaan mahupun musim masuk persekolahan.
Pada musim-musim ini pastinya banyak perbelanjaan yang bakal dilakukan untuk membuat persediaan lebih-lebih lagi untuk anda yang mempunyai anak-anak yang bersekolah. Apabila anda telah siap sedia dengan simpanan tambahan duit tabungan ini, anda tidak perlu berasa bimbang lagi selepas ini untuk memikirkan masalah kewangan bagi menampung perbelanjaan-perbelanjaan yang besar.