4 Helah Bijak Melawan Kos Sara Hidup Tinggi di Malaysia

Sejak pengenalan GST kepada rakyat Malaysia 2 tahun yang lalu, kita dapat lihat ramai terkesan dengan kos sara hidup yang meningkat.

Kita kan suka membuat perbandingan? Tahukah anda rakyat Malaysia sememangnya kekurangan daripada segi produktiviti dan disiplin orang Jepun, Korea mahupun orang Amerika. Merekalah yang telah mencipta telefon pintar iPhone, Samsung dan banyak lagi; dan menjual kepada rakyat mereka sendiri. Manakala kita tidak mempunyai kapasiti untuk mencapai tahap produktiviti mahupun tahap disiplin yang diperlukan untuk menghasilkan gajet-gajet tersebut.

Namun, kita masih ingin menikmatinya – kerana kononnya kita berhak menikmati gaya hidup tersebut.

Oleh yang demikian, untuk menampung gaya hidup yang semakin meningkat; disertai dengan kos sara hidup yang meningkat – jom cuba perkongsian ini.

#1. Berkongsi Kereta (Penjimatan sehingga RM200 setiap bulan)

Kami masih ingat, kerajaan Malaysia pernah menggalakkan rakyat berkongsi kereta dengan melancarkan beberapa kempen kesedaran. Namun, ianya tidak bertahan lama. Ini mungkin ketika itu belum lagi era smartphone dan susah mencari penumpang lain untuk berkongsi kereta.

Namun kini, dengan adanya aplikasi seperti Wunder dan Carpool World Malaysia; ini memudahkan pencarian pemandu dan juga penumpang untuk kereta anda.

Nak hantar anak-anak ulang-alik ke sekolah pun ada, dikenali sebagai Kidz Carpool. Dapat lah berjimat sedikit, nak tambah pendapatan dengan jadi pemandu pun boleh.

#2. Guna Kad Kredit (dan bayar habis setiap bulan)

Guna kad kredit? Biar betul? Ya betul. Hanya mereka yang bijak, cerdik dan disiplin tahap teragung mampu berjimat menggunakan kad kredit ni.

Kad kredit ini ada kebaikan dan ada keburukannya, terpulang kepada cara anda menggunakannya. Dengan adanya laman web seperti GoBear dan iMoney; ianya amat mudah untuk membandingkan kad kredit di Malaysia.

Cuba cari kad kredit yang menawarkan rebat tunai atau cashback. Ada yang memberi 5% cashback; contohnya jika anda berbelanja RM100; anda akan dapat rebat RM5 pada hujung bulan. Amacam, bijak tak?

Ada juga yang menawarkan mata ganjaran apabila berbelanja, dan apabila sudah cukup banyak – ia boleh ditebus dengan pelbagai jenis hadiah. Paling orang suka semestinya voucher membeli belah. Jadi bayarlah bil telefon, Astro, penapis air Coway ataupun semasa beli barang dapur di Giant, Tesco dan Mydin.

Tapi semuanya dengan syarat, anda perlu selesaikan jumlah yang digunakan. Jangan biar tertunggak walaupun seringgit, kerana kadar faedah kad kredit adalah yang paling tinggi.

#3. Bawa Bekal Ke Tempat Kerja (Penjimatan sehingga RM200 setiap bulan)

Tahukah anda di negara-negara maju seperti Jepun, Korea atau Amerika Syarikat, istilah lunch atau makan tengah hari sangatlah asing bagi mereka. Sedangkan kita setiap hari belanja sehingga RM10 – RM15 setiap kali waktu makan tengah hari untuk nasi lauk sepinggan dan segelas air. Tu baru makan di kedai mamak atau kedai biasa-biasa, belum lagi restoran yang beraircond!

Kenapa perlu membazir 15 minit untuk keluar makan dan berbelanja lebih?

Cuba cari menu sarapan atau makan tengah hari yang ringkas, yang boleh siap dalam masa 10 minit saja. Dapat juga jimat duit, masa (cari parking, cari kedai, cari meja, beratur beli makanan).

Bila kita masak sebelum ke tempat kerja ada manfaat lain:

  • Boleh dijadikan sebagai senaman pagi
  • Boleh relaks sebelum bekerja dengan fokus terhadap rutin
  • Boleh dengar berita dekat radio
  • Boleh kawal kuantiti makanan untuk tujuan kesihatan

Alhamdulillah, buat masa ini saya sendiri pagi-pagi mengamalkan 3 biji kurma sebagai sarapan.

#4. Beli Barang Semasa Jualan Murah atau Warehouse Sale

Bagi kaum hawa kalau tabiat shopping tu tak boleh dibuang, apa kata buat senarai dan tunggu jualan murah atau pun jualan gudang baru beli? Ini kerana anda dapat nikmati potongan diskaun apabila pihak penjual membuat promosi bagi melariskan atau nak clear stok.

Rasanya sikit lagi mesti ada aplikasi atau apps untuk war-warkan sebarang warehouse sale di Malaysia.

Sebagai contoh, bila tiba musim perayaan seperti Hari Raya – ada saja pasaraya atau jenama yang membuat promosi besar-besaran. Ni nak hujung tahun pun, banyak jualan gudang yang anda boleh pergi untuk lepaskan gian shopping.

Antara jenama yang suka buat warehouse sale ni seperti Hush Puppies, Bonia dan Vincci. Tapi anda perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal. Maklumlah biasanya orang akan mula beratur sejak awal pagi!

Perlu Berjimat Untuk Hadapi Masa Depan Yang Lebih Sukar

Kalau anda dapat amalkan tips di atas, kami yakin sedikit sebanyak akan melegakan kos sara hidup yang semakin meningkat. Tambahkan pendapatan atau kurangkan perbelanjaan, 2 pilihan untuk move on.

Sumber rujukan: http://taizeekin.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.