
Sub Topik
Memang kecoh sejak dua menjak ini apabila Google mula ‘menyerang’ Huawei dan perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China semakin memuncak. Bagi yang nak tahu lebih lanjut mengenainya, boleh baca Sekatan Amerika Syarikat Terhadap Huawei: Empat Perkara Yang Anda Perlu Tahu.
Jom kita tengok beberapa fakta menarik mengenai Huawei dan dunia telefon pintar secara lebih mendalam.
1. Huawei Pintas Apple Untuk Berada Di Tempat Ke-2 Pada Suku Pertama 2019
Sumber: Statista
Selama ini Samsung dan Apple telah mendominasi senarai teratas dalam pegangan telefon pintar dunia. Tetapi buat pertama kalinya Huawei telah berjaya memintas Apple pada suku pertama tahun 2019 dengan angka yang sangat menakjubkan.
Statistik terkini menunjukkan bahawa Samsung berada di tempat pertama dengan 23.1% pegangan pasaran, diikuti Huawei dengan 19.0% dan Apple dengan 11.7%.
Xiaomi, Oppo dan Vivo mengekori rapat, dan kesemuanya dari China.
2. Jualan Telefon Pintar Yang Mendatar Tetapi Memuncak Setiap Hujung Tahun
Sumber: Statista
Sejak tahun 2016 kita dapat lihat bagaimana jualan telefon pintar telah mencatatkan ‘sideways’ sepanjang tahun, tetapi ianya memuncak setiap kali masuknya hujung tahun.
Rasanya ianya ada kaitan dengan cuti panjang hujung tahun dan pemberian bonus kepada orang ramai. Masa terbaik untuk tukar telefon setiap tahun adalah pada hujung setiap tahun.
3. Perisian Android dan iOS Jauh Mengatasi Pesaing Lain
Sumber: Statista
Memang tidak dapat dinafikan, perisian Android dan iOS adalah merupakan dua perisian yang mendominasi seluruh pelusuk dunia. Ianya jauh mengatasi pesaing-pesaing lain. KaiOS? Apa tu, tak pernah dengar pun.
Ini menunjukkan bahawa 97.14% populasi dunia menggunakan telefon pintar yang menggunakan perisian Android atau menggunakan produk keluaran Apple dengan perisian iOS mereka.
4. Peningkatan Jualan Telefon Pintar Setiap Tahun
Sumber: Statista
Saban tahun, jualan telefon pintar seluruh dunia semakin meningkat. Yang bestnya, ada telefon murah untuk pengguna basic, ada juga telefon mahal untuk pengguna yang mahukan prestasi yang terbaik. Ini bermakna telefon pintar bergantung kepada kemampuan pengguna untuk berbelanja.
Dengan era 5G semakin menjadi kenyataan, jualan telefon pintar dijangka akan semakin meningkat.
5. Google Dan Apple Jauh Meninggalkan Huawei
Sumber: Statista
Kalau dilihat daripada segi nilai, Huawei memang jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Google dan Apple. Adakah ini bermakna tindakan Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap Huawei, akan menjatuhkan syarikat dari China tersebut; atau merupakan pencetus kebangkitan mereka?
Sama-sama kita nantikan perkembangannya.