Adakah Wajar Pengeluaran KWSP RM10,000 Dibuat?

Hangat. Memang panas isu ini.

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai cadangan pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kebanyakan netizen bersetuju dengan cadangan tersebut. Ianya disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia yang memberi kesan kepada ekonomi kebanyakan rakyat Malaysia.

Hari ini, ada seramai 14 juta pencarum di KWSP dan 7 juta pencarum aktif. Untuk pengetahuan anda, dana yang sedia ada di dalam KWSP dilaburkan untuk pembangunan ekonomi negara agar ia dapat beri pulangan yang lebih baik kepada pencarum.

Baik, mari kita lihat kembali kepada matlamat penubuhan KWSP.

Visi KWSP adalah untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik. Misi KWSP pula untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Dalam erti kata lain, KWSP bertujuan untuk membantu tenaga kerja Malaysia untuk membuat simpanan untuk kegunaan hari tua kita.

KWSP memegang amanah wang persaraan ahli sehingga mencapai umur 50, 55 atau 60 tahun. Namun, KWSP ada memberikan ruang untuk para pencarum untuk membuat pengeluaran bagi tujuan pembiayaan perumahan, kesihatan, pendidikan dan pelaburan.

Baca: Nak Buat Pengeluaran Wang Dalam KWSP? Boleh Saja Untuk 18 Perkara Ini

Berbalik kepada cadangan pengeluaran akaun 1 KWSP sebanyak RM10,000 untuk berdepan dengan situasi semasa, ia akan memberi impak besar kepada kerajaan kerana wang sedia ada sudah dilaburkan dalam bentuk ekuiti, bon mahu pun aset lain untuk memberi pulangan dividen kepada pencarum. Sekiranya ia diluluskan, agak sukar untuk KWSP mencairkannya dalam kadar segera.

Bagaimana pula situasi rakyat yang menghadapi saat getir kehilangan punca pendapatan dan perlukan wang untuk meneruskan kehidupan?

Mengikut statistik, 75% daripada rakyat Malaysia mengalami kesukaran untuk menyimpan dan tidak mempunyai duit sebanyak RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.

Bagi mengelakkan rakyat lebih tersepit dan berhutang dengan pihak tidak bertanggungjawab yang memberi implikasi lebih buruk di kemudian hari, mungkin cadangan bantuan pengeluaran kepada golongan bersasar dan bukannya pengeluaran sekaligus kepada semua orang.

Baca: Khidmat Nasihat Persaraan Dari KWSP

Pengeluaran i-Lestari sebelum ini juga merupakan tindakan wajar yang dapat membantu rakyat dengan memberi pilihan untuk mengeluarkan wang mereka sendiri sebanyak maksimum RM500 setiap bulan selama 6 bulan atau setahun.

Selain daripada itu, kita juga ada bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Sara Hidup (BSH) walaupun ia bukan secara bulanan. Maka ia tidak begitu efektif untuk kelangsungan hidup harian dan bulanan dan ia tidak dinikmati oleh semua golongan.

Image by Nattanan Kanchanaprat from Pixabay

Daripada sudut pelaburan, sekiranya dikeluarkan sekaligus pencarum sebenarnya kerugian daripada segi compounding interest. Disebabkan itulah bagi mereka yang tidak terkesan, dinasihatkan agar tidak perlu membuat pengeluaran.

Sebaiknya, pengeluaran KWSP hanya kepada mereka yang terkesan dan pengeluaran minimum secara bulanan untuk tempoh tertentu seperti i-Lestari dan pencarum dikehendaki mencarum kembali ke KWSP agar dana persaraan dapat dikumpul semula.

Sebenarnya bila difikir semula RM10,000 secara one off juga tidak akan bertahan lama. Jika keadaan sekarang ini berterusan adakah ianya mencukupi? Kerajaan perlu ada perancangan jangka panjang untuk merancakkan balik ekonomi negara dan memulihkan semula ekonomi rakyat.

Ini adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak kerana hal kewangan setiap individu adalah subjektif.

Bac ajuga Pelaburan Guna Wang Dalam KWSP, Siap Dapat Bonus Lagi

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan (pelaburan,akaful dan wasiat) di institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.