Bank-Bank Di Malaysia Tak Pernah Rugi?

Atmosfera kewangan di Malaysia hangat pada 27 Julai 2020 yang lalu apabila Menteri Kewangan Malaysia ke 17 Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menggantikan YB Lim Guan Eng telah mengeluarkan satu kenyataan yang meresahkan.

“Sektor perbankan dianggarkan mengalami jumlah kerugian sebanyak RM6.4 bilion sepanjang tempoh moratorium selama enam bulan atau sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium.”

Baca : 5 Benda Kita Kena Tahu Tentang Moratorium Sepanjang Covid-19 Untuk Individu

Beliau turut menambah bahawa pemberian moratorium juga menyebabkan berlaku pengurangan kapasiti bank untuk pemberian pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion.

Ada yang beranggapan bank di Malaysia ‘rugi’ apabila Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan moratorium kepada rakyat Malaysia bagi merancakkan ekonomi ekoran wabak pandemik COVID-19.

Lain pula dengan laporan dari portal Ekonomi Rakyat dengan tajuk Industri Perbankan Malaysia Untung RM30 Bilion pada tahun 2019.

Soalnya, mana satu yang betul? Bank sedang mengalami kerugian pada skala besar atau bank sebenarnya tidak rugi?

Dan sekiranya bank benar- benar rugi, adakah moratorium hanya menguntungkan rakyat sebaliknya merugikan bank?

Bank Di Malaysia Tak Pernah Rugi?

Sebelum itu, ayuh kita fahami maksud sebenar moratorium dan mekanisma di sebaliknya.

Berasal daripada perkataan ‘moratorius’ yang bermaksud menangguhkan proses jual beli dengan kebenaran satu pihak kepada pihak yang lain dalam bahasa Latin.

Istilah moratorium di zaman ini berkait rapat dengan kelonggaran yang diberikan bank pusat untuk menangguhkan urusan pembayaran ansuran pinjaman samada hartanah atau kenderaan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Untuk rekod, moratorium pernah ditawarkan kepada rakyat Malaysia tetapi melibatkan beberapa buah negeri sahaja.

Pada tahun September 2007 yang lalu, berlaku satu bencana bah yang menenggelamkan sebahagian besar negeri Johor dan Melaka.

Kesannya, terdapat beberapa buah bank yang menawarkan moratorium kepada mangsa banjir dengan syarat jadual dan pinjaman.

Bahkan bah yang melanda Pulau Pinang pada tahun 2017 yang lalu turut membenarkan rakyat Pulau Mutiara yang terjejas menikmati penangguhan bayaran ansuran pinjaman dari bank selama 6 bulan.

Bank Sebenarnya Untung

Laporan tahunan dari bank Maybank, Public Bank, CIMB, Hong Leong Bank dan RHB Bank menunjukkan kesemua bank ini mencatatkan keuntungan yang signifikan untuk tiga tahun berturut – turut.

Maybank misalnya, mencatatkan RM7.5 bilion keuntungan pada tahun 2017, RM8.11 bilion pada tahun 2018 dan RM8.19 bilion pada tahun 2019.

Baca : Bank Mana Paling Perform Di Malaysia?

Hatta semasa Krisis Kewangan Global yang melanda Malaysia pada tahun 2008 – 2009 juga tidak menghalang Maybank daripada menjana RM700 juta keuntungan.

Public Bank pada tahun 2017, 2018 dan 2019 mencatatkan keuntungan masing – masing pada angka RM5.47 bilion, RM5.59 bilion dan 5.51 bilion.

Selain itu, CIMB tidak terkecuali daripada membuat keuntungan yang lumayan pada tahun 2017 dengan keuntungan RM4.47 bilion, RM5.58 bilion pada tahun 2018 dan akhir sekali RM4.56 bilion pada tahun 2019.

Secara keseluruhannya, keuntungan bersih industri perbankan di Malaysia pada tahun 2017 adalah RM26.95 bilion, meningkat kepada RM30.08 bilion pada tahun 2018 dan menurun kepada RM29.83 bilion pada tahun 2019.

Dengan kadar keuntungan yang sangat tinggi, institusi kewangan di Malaysia boleh diklarifikasikan sebagai institusi yang mempunyai daya tahan impak ekonomi yang tinggi sungguhpun Malaysia berdepan pelbagai cabaran dan halangan.

Oleh yang demikian, tindakan Bank Negara Malaysia yang memperkenalkan moratorium ke peringkat nasional dan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebenarnya tidak memberikan impak negatif yang besar kepada bank.

Baca : Bank Negara Malaysia Turunkan Lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) Sebanyak 50 Mata Asas Menjadi 2.0%

Akan tetapi, penawaran moratorium ini terarah kepada golongan B40 dan M40 yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dan kadar pengangguran yang tinggi kerana berlaku pengangguran yang tinggi gara ara majikan tidak mampu menggajikan pekerja mereka sepanjang PKP.

Kesannya, bank turut akan terkesan secara langsung apabila pinjaman yang diberikan tidak mampu dibayar oleh si peminjam mengikut waktu mengakibatkan wujudnya lambakan kes Non Performing Loan (NPL).

Baca : Punca Dan Penentu ‘Non-Performing Loan’ (NPL) Di Malaysia

Pertumbuhan pinjaman yang lembap dan lemah juga menyebabkan margin keuntungan bank menipis dan aktiviti mengekalkan keuntungan seperti tahun-tahun sebelumnya adalah lebih mencabar.

Kesimpulannya, tiada pihak yang sebenarnya rugi dengan penawaran moratorium dari Bank Negara Malaysia.

Dari sudut pandang orang awam, mereka melihat moratorium merupakan tempoh di mana mereka boleh menyimpan dengan lebih banyak atau berbelanja membeli barang keperluan dan kehendak.

Dari sudut pandang institusi kewangan, aset mereka masih mencukupi cuma penawaran pinjaman adalah terhad dan mengurangkan peratus keuntungan mereka.

Baca : Impak Positif BNM Turunkan Kadar OPR Dalam Industri Hartanah

Sehingga COVID-19 ini belum selesai, selagi itulah aktiviti kewangan dan ekonomi di Malaysia akan suram.

Mujurlah Kementerian Kewangan bertindak bijak dengan melanjutkan tempoh moratorium sehingga Disember 2020 yang dijangka membantu 3 juta individu dan 93% peminjam di Malaysia.

Diharapkan ekonomi Malaysia mampu pulih dengan lebih pantas berbanding negara – negara Asia lain supaya Malaysia mempunyai masa sekurang – kurangnya 3 bulan – 6 bulan untuk merancakkan kembali aliran ringgit di pasaran tempatan.

Sumber Rujukan :

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA