Bank Negara Malaysia Turunkan Lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) Sebanyak 50 Mata Asas Menjadi 2.0%

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.00 peratus. Berikutan itu, kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.

Keadaan ekonomi global nyata semakin lemah. Langkah-langkah untuk membendung pandemik COVID-19 telah menjejaskan kegiatan ekonomi di kebanyakan negara. Penunjuk terkini memaparkan bahawa ekonomi global telah pun menguncup, dengan pertumbuhan global diunjurkan menjadi negatif pada tahun ini. Keadaan kewangan juga semakin ketat dalam keadaan peningkatan penghindaran risiko serta ketidakpastian. Langkah yang diambil oleh banyak negara untuk melaksanakan pelbagai rangsangan dasar di samping pelonggaran yang beransur-ansur terhadap langkah pembendungan di seluruh dunia akan mengurangkan sebahagian daripada impak COVID-19 ke atas ekonomi. Prospek pertumbuhan akan bertambah baik pada tahun 2021 berdasarkan jangkaan bahawa pandemik ini dapat dibendung.

Di Malaysia, keadaan ekonomi dalam negeri turut terjejas akibat pandemik ini. Langkah pembendungan yang meluas di seluruh dunia, penutupan sempadan antarabangsa dan keadaan permintaan luar negeri yang seterusnya lemah akan memberikan kesan yang lebih besar terhadap kegiatan ekonomi dalam negeri. Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan perlu dikuatkuasakan di negara ini untuk membendung virus ini daripada merebak, perintah tersebut juga mengekang kapasiti pengeluaran dan perbelanjaan.

Keadaan pasaran pekerja juga dijangka ketara lebih lemah. Keadaan ekonomi akan menjadi sangat mencabar, terutamanya pada separuh pertama tahun 2020. Namun demikian, langkah-langkah rangsangan fiskal bersama-sama langkah monetari dan kewangan akan menyokong ekonomi. Berikutan langkah membenarkan lebih banyak perniagaan beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kegiatan ekonomi dijangka bertambah baik secara beransur-ansur. Prospek pertumbuhan terus dipengaruhi oleh keadaan ketidakpastian yang tinggi, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan pandemik ini.

Tekanan inflasi dijangka menjadi sederhana dan purata inflasi keseluruhan mungkin menjadi negatif pada tahun ini, terutamanya disebabkan oleh unjuran harga minyak dunia yang ketara lebih rendah. Namun demikian, prospek inflasi akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia, serta keadaan permintaan yang kian berubah. Inflasi asas dijangka rendah memandangkan unjuran prospek pertumbuhan dalam negeri dan keadaan pasaran pekerja yang lebih lemah.

Sektor kewangan negara terus teguh dengan institusi kewangan beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Keadaan mudah tunai kekal lebih daripada mencukupi, dengan diperkukuh oleh suntikan mudah tunai oleh Bank Negara Malaysia. Sejak bulan Mac 2020, Bank Negara Malaysia telah menyediakan mudah tunai tambahan kira-kira RM42 bilion ke dalam pasaran kewangan domestik, melalui pelbagai instrumen termasuk pembelian sekuriti kerajaan secara terus, repo berbalik dan pengurangan dalam Keperluan Rizab Berkanun. Bank Negara Malaysia bersedia untuk menyediakan mudah tunai kepada pasaran antara bank bagi memastikan keadaan pasaran adalah teratur dan terus kondusif bagi menyokong aktiviti pengantaraan kewangan.

Susulan keputusan yang dibuat hari ini, OPR telah dikurangkan sebanyak 100 mata asas dengan itu menyokong langkah-langkah monetari dan kewangan Bank Negara Malaysia yang lain serta langkah-langkah fiskal pada tahun ini. Kesemua langkah ini akan mengurangkan kesan ekonomi ke atas sektor perniagaan dan isi rumah serta menyokong kegiatan ekonomi untuk menjadi bertambah baik. MPC akan terus memantau prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi. Bank Negara Malaysia akan menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan. 

Bank Negara Malaysia
05 May 2020

Sumber: Bank Negara Malaysia

Apa Itu OPR?

Tahun ini sahaja 3 kali OPR telah disemak semula oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Kalau ikut rekod, berikut perbezaan OPR untuk tahun 2020.

22 Jan 2020: -0.25
03 Mac 2020: -0.25
05 Mei 2020: -0.50

Bagi mereka yang tak tahu, Overnight Policy Rate (OPR) atau Kadar Dasar Semalaman adalah faedah yang dikenakan bagi pinjaman di antara bank. Untuk makluman, bank juga membuat pinjaman di antara satu sama lain.

Pendeposit membuat simpanan di bank dan bank akan menggunakan semula duit tersebut bagi tujuan memberikan pinjaman. Apabila pendeposit keluarkan duit secara mendadak dan bank kekurangan tunai, bank akan membuat pinjaman daripada bank lain.

Bank-bank yang ada duit akan beri pinjam.
Bila dah beri pinjam, kenalah caj faedah.
Faedah pinjaman antara bank inilah yang dipanggil OPR.

Artikel di bawah mesti baca:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.