Kepelbagaian Kadar Di Bank: OPR-BR-CPR-EPR

Kejap kita terbaca mengenai OPR, lepas tu jumpa pula BR, ada kalanya ternampak EPR. Lepas tu bukan ke CPR ni khidmat kecemasan yang diberikan kepada mereka yang tak sedarkan diri?

Daripada kita duduk dalam kejahilan, jom kita sama-sama ambil tahu apakah yang dimaksudkan dengan OPR, BR, CPR dan EPR ini.

Overnight Policy Rate (OPR)

Bank Negara Malaysia (BNM) pada 23 Januari 2020 mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75%.

Pada kadar 2.75%, ia merupakan kadar terendah sejak Mac 2011. Manakala kali terakhir OPR diturunkan adalah pada 17 Mei 2019 apabila ia diturunkan daripada 3.25% kepada 3.00% mata asas.

OPR adalah kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan bagi pinjaman atau pembiayaan yang dilakukan antara satu bank dengan bank yang lain. Faedah dan pinjaman merujuk kepada perbankan konvensional manakala keuntungan dan pembiayaan merujuk kepada perbankan Islam.

Apakah kesan penurunan OPR?

OPR merupakan salah satu daripada instrumen polisi yang digunakan oleh BNM bagi mengawal keadaan ekonomi negara. Langkah menaikkan atau menurunkan OPR adalah sebahagian daripada dasar monetari yang bertindak mengawal permintaan dan penawaran wang dalam pasaran.

Ia memberi kesan langsung kepada kadar inflasi, perbelanjaan domestik, dan seterusnya nilai mata wang. Dengan penurunan OPR, perbelanjaan domestik diharapkan meningkat seterusnya mengembangkan ekonomi melalui permintaan yang bertambah terhadap barang-barangan dan penghasilan peluang pekerjaan baru.

Bagaimana perbelanjaan meningkat?

Perbelanjaan kesemua sektor merangkumi rakyat, korporat, dan masyarakat diharapkan meningkat apabila mereka mempunyai akses kepada kredit atau kata mudahnya HUTANG.

Dengan berhutang, mereka mampu berbelanja lebih walaupun di luar kemampuan biasa mereka. Secara teorinya perbelanjaan ini akan membantu merancakkan pasaran dan menghasilkan pertumbuhan ekonomi.

Base Rate (BR)

Bermula 2 Januari 2015, sistem Kadar Pinjaman Asas (juga dikenali sebagai Base Lending Rate, BLR; dan Base Financing Rate, BFR) digantikan dengan system Kadar Asas (BR) sebagai kadar rujukan utama bagi pinjaman yang berkadar terapung (floating rate).

Tujuan pertukaran sistem ini menurut BNM, adalah kerana sistem lama BLR/BFR tidak relevan sebagai rujukan bagi penentuan kadar pinjaman. Ianya disebabkan berlakunya ketidaktelusan daripada pihak bank dalam mengenakan kadar pinjaman mereka. Mangsanya adalah pengguna atau pelanggan. 

BR yang ditetapkan oleh bank akan bergantung kepada OPR dan kos dana (Cost of Fund) setiap bank itu sendiri. Walaupun BR bergantung kepada OPR, bank boleh mengubah BR pada bila-bila masa walaupun tanpa ada perubahan kepada OPR.

Di bawah sistem BR, bank dituntut oleh BNM supaya mendedahkan BR kepada awam beserta margin kadar keuntungan (Profit Rate). Komponen yang menentukan kadar keuntungan antaranya adalah tahap risiko kredit peminjam atau kemampuan membayar ansuran, kos operasi, keuntungan bank, dan sebagainya.

Jangan terkeliru sekiranya terma BLR/BFR masih dipaparkan kerana ia masih digunakan bagi kontrak-kontrak sebelum 2015.

Contracted Profit Rate (CPR)

Contracted atau Ceiling Profit Rate (CPR) yang juga dikenali sebagai Kadar Keuntungan Siling digunakan oleh perbankan Islam dalam memberikan pembiayaan. Kadar ini adalah kadar maksimum yang boleh dikenakan oleh pihak bank kepada pelanggannya.

Kerana itu, ramai yang beranggapan pembiayaan di perbankan Islam tinggi berbanding pinjaman di perbankan konvensional. Perbankan Islam perlu meletakkan CPR sebagai harga jualan komoditi di bawah kontrak Tawarruq ketika memberikan pembiayaan.

Salah satu syarat dalam transaksi jual beli adalah kejelasan dalam harga. Disebabkan kemungkinan perubahan OPR yang akan menyebabkan perubahan BR, maka CPR diletakkan dengan mengambil kira kadar maksimum yang akan dikenakan. Ia membolehkan pihak bank menukar atau meningkatkan EPR mereka sekiranya OPR meningkat.  

Biasanya CPR adalah 10-12%, dalam sejarah BLR paling tinggi direkodkan pada tahun 1998 ketika krisis ekonomi adalah pada kadar 12.27%. Perbankan konvensional tanpa CPR boleh mengenakan kadar melebihi 12.27%, tidak bagi perbankan Islam.

Effective Profit Rate (EPR)

Kadar yang betul-betul dikenakan kepada pelanggan dinamakan sebagai Kadar Keuntungan Efektif atau EPR. EPR adalah BR + Kadar Keuntungan (Profit Rate).

Sebagai contoh, Al Rajhi Bank menyatakan nilai BR 3.85% dan EPR adalah 6.75%, maka kadar keuntungannya adalah 2.9%.

BR/EPR terkini: https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_announcement&pg=en_announcement&ac=19

Nilai BR lebih rendah yang ditawarkan oleh sesebuah bank tidak bermakna ia mempunyai nilai EPR yang paling rendah. Bank yang suka bersaing mungkin sanggup menerima margin keuntungan yang lebih rendah dan ini menghasilkan nilai EPR yang lebih rendah.

Sebagai contoh, Public Bank mengenakan BR 3.27% manakala Maybank mempunyai BR 2.75%. Tetapi nilai EPR Maybank lebih tinggi pada 4.20% berbanding EPR Public Bank iaitu 4.10%.

Maka fahami betul-betul apa perbezaan kadar-kadar ini sebelum kita mengambil pembiayaan. Pihak bank juga harus berhati-hati dalam menunjukkan kadar-kadar yang berbeza kerana ia mungkin mengelirukan pengguna. Mungkin kita lihat kadarnya rendah dalam iklan namun hakikatnya kadar efektifnya adalah jauh lebih tinggi.

Tanyalah pegawai bank tersebut, berapa CPR dan berapa kadar ansuran sekiranya CPR dikenakan. Andai kita masih mampu membayar ansuran pada kadar maksimum itu maka bolehlah kita teruskan hasrat pembiayaan tersebut.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

OPR Dijangka Kekal 2.75 Peratus Pada 2026 Susulan Kekuatan Permintaan Domestik – Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Ketahanan permintaan domestik serta tekanan inflasi yang masih terkawal dijangka membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa 2.75 peratus sepanjang 2026, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Dalam nota penyelidikannya, bank pelaburan itu berkata inflasi keseluruhan kekal sederhana, namun gangguan berterusan di sekitar Selat Hormuz masih berpotensi menimbulkan risiko kenaikan inflasi menerusi peningkatan kos bahan api import, baja dan logistik

“Penstabilan dasar monetari dijangka terus menjadi objektif utama, manakala ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat serta kedudukan ringgit yang agak kukuh memberi ruang yang mencukupi kepada bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah semasa,” katanya.

Bagi unjuran kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS)-ringgit pada akhir tahun, Kenanga IB mengekalkan sasaran pada RM3.95 berbanding dolar AS, yang didorong bukan semata-mata oleh bilangan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, sebaliknya oleh jangkaan kelemahan struktur mata wang dolar AS yang lebih meluas.

Unjuran itu turut disokong oleh kepelbagaian rizab antarabangsa, pengagihan semula portfolio pelaburan serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemampanan fiskal AS.

Bank pelaburan itu berkata asas ekonomi domestik kekal menyokong, dengan deposit mata wang asing mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM305.8 bilion pada April, sekali gus mencerminkan potensi besar penukaran kepada ringgit dalam tempoh jangka panjang.

“Bagaimanapun, risiko kini dilihat lebih seimbang. Meskipun ketegangan geopolitik di Asia Barat boleh menyebabkan harga minyak, jangkaan inflasi dan permintaan terhadap dolar AS kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, kami berpandangan perkembangan politik domestik semakin menjadi faktor penting yang mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya.

— BERNAMA