Bantuan Sara Hidup 2019 Gantikan BR1M

Kejayaan Pakatan Harapan dalam memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu, telah memberikan satu paradigma besar kepada Malaysia. Terdapat pelbagai perubahan yang telah dilakukan setelah tampuk pemerintahan bertukar tangan, di antaranya penggantian BR1M dengan Bantuan Sara Hidup (BSH).

BSH adalah bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Tambahan lagi, jumlah yang akan adalah diberikan dalam BSH adalah sama dengan BR1M. Ini adalah salah satu usaha kerajaan bagi meningkatkan taraf ekonomi rakyat Malaysia.

Di antara syarat-syarat umum bagi permohonan BSH adalah:

  • Warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia
  • Isi rumah yang berpendapatan kasar RM4,000 dan ke bawah
  • Warga emas sebatang kara dengan jumlah berpendapatan kasar RM4,000 dan ke bawah

Selain daripada itu, terdapat juga perubahan baru dalam jumlah agihan BSH untuk setiap anak adalah sebanyak RM120 seorang dan dihadkan kepada empat orang anak yang berumur 18 tahun ke bawah sahaja. Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng telah mengumumkan bahawa bayaran fasa pertama bagi BSH adalah pada 28 Januari 2019 iaitu sebanyak RM300.

Ia bakal memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah, yang akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 Bilion. Bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka.

Lim Guan Eng berkata, “Kerajaan tidak menetapkan had umur dalam menyalurkan bantuan tambahan BSH kepada anak orang kelainan upaya (OKU)”. Tambahnya lagi, jumlah keseluruhan bantuan yang diterima bagi golongan isi rumah yang berpendapatan RM2,000 ke bawah dan mempunyai empat orang anak adalah sebanyak RM1,480.”

Ini merupakan satu penambahkan yang baik sebagai usaha kerajaan dalam membantu isi rumah berpendapatan 40 peratus dan kebawah. Diharapkan pada masa akan datang lebih banyak usaha yang diwujudkan demi kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

Ditulis Nur Atiqah Bt Ahmad, pelajar Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Untuk maklumat lanjut berkenaan Bantuan Sara Hidup 2019, boleh layari laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia https://bsh.hasil.gov.my/, emel ke [email protected] atau hubungi 1-800-88-2747.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.