Pasaran Saham Dan Sektor Pembuatan China Merudum, Beri Kesan Besar Kepada Ekonomi Asia

Ekonomi China kini memasuki zon membimbangkan yang bakal mendatangkan banyak masalah kepada ekonomi dunia. Selepas lebih daripada 10 tahun mencatat lonjakan ekonomi, China yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia kini bergerak dalam kadar perlahan. Pertumbuhan ekonomi pada 2018 adalah yang paling rendah sejak tahun 1990. Beberapa pemerhati pasaran pula menjangka tahun 2019 bakal menjadi lebih buruk untuk China.

Enjin pertumbuhan ekonomi dunia itu kian merasai kesan daripada ketegangan perdagangan dan juga peningkatan mendadak paras hutang.

Apa yang terjadi di China mampu memberi kesan kepada perniagaan dan pasaran global, kerana statusnya sebagai negara pengeksport terbesar dunia. Oleh itu, sudah tentu negara-negara yang banyak bergantung kepada eksport dalam sektor pembuatan China turut terkesan termasuklah Malaysia.

Golongan kelas pertengahan yang semakin meningkat di China telah menjadikan ia pasaran terbesar untuk barangan pengguna seperti kereta dan telefon pintar, sekaligus banyak menyumbang kepada syarikat-syarikat dari Amerika seperti Apple dan General Motors. Oleh sebab ini, China diumpamakan ‘Enjin Pertumbuham Ekonomi Dunia’ oleh kebanyakan penganalisa ekonomi dunia.

Pasaran Saham China Paling Rugi Pada 2018

Kebimbangan terhadap ekonomi China telah menggugat pasaran kewangan, khasnya pada suku terakhir tahun 2018 (Oktober-Disember). Penanda aras saham negara itu merudum ke zon ‘Bear Market’ seawal bulan Jun tahun lepas dan setakat ini mencatat kejatuhan 25% sejak awal 2018. Ia juga telah memberi kesan kepada pasaran saham di Eropah dan Amerika Syarikat.

Trend Kejatuhan Indeks Komposit Shanghai Sejak Awal 2018. Sumber: Investing.com

Untuk pengetahuan anda, pasaran saham China telah merekodkan kerugian sehingga US$2.3 trillion pada 2018 sekaligus menjadi negara yang paling banyak merekodkan kerugian dalam pasaran saham.

Pemerhati pasaran menyalahkan Amerika Syarikat sebagai punca kepada kejatuhan China, sejak perang perdagangan yang dicetuskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Bagaimana Pula ‘Permainan’ AS-China Dalam Perang Perdagangan Bagi Tahun 2019?

Catur yang dimainkan China perlu lebih bijak bukan sahaja untuk kebaikan ekonominya, malah secara tidak langsung kebijakan itu mampu mengharmonikan semula ekonomi global sama seperti sebelum kedatangan Trump ke kancah politik dunia.

Selepas saling berbalas serangan tarif perdagangan, terbaru kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan rundingan pada akhir bulan Februari. Jika gagal, tarif dijangka akan terus meningkat terutamanya oleh Amerika Syarikat terhadap barangan dari China. Ia sekaligus akan menambah tekanan dalam pasaran saham yang sedia tertekan ketika ini.

Berbanding dengan Amerika Syarikat, China sudah pasti lebih tertekan kerana perbandingan jumlah eksport yang jauh lebih kecil ke Amerika Syarikat. Ia akan memburukkan nilai eksport syarikat dari China. Penganalisa ekonomi berpendapat pertumbuhan eksport akan tertekan dalam tempoh beberapa bulan akan datang walaupun tarif baru dapat dielakkan.

Sektor Pembuatan Yang Merupakan Enjin Ekonomi China, Juga Merosot

Trend Kejatuhan Indeks PMI Sektor Pembuatan China. Sumber: Trading Economics

Baru-baru ini, data PMI indeks pembuatan yang mengukur tahap aktiviti sektor pembuatan China merekodkan bacaan di bawah 50 iaitu 49.4. Bacaan di atas 50 menunjukkan sektor yang terus berkembang, manakala bacaan di bawah 50 menggambarkan aktiviti ekonomi yang merudum.

Komponen indeks ini yang menjadi perhatian pasaran iaitu ‘indeks eksport baru’, pernah jatuh ke paras krisis 46.6 yang kali terakhir dilihat semasa krisis matawang Yuan pada 2015.

Jika dilihat kepada rajah di atas, tren menurun jelas dilihat dalam sektor pembuatan di China bermula sejak Januari 2018.

Malaysia Di Antara Negara Yang Bakal Hadapi ‘Credit Crunch’ – Penganalisa

Penganalisa di Bank Nomura yang berpangkalan di Jepun berpendapat, China kini membawa negara-negara Asia Timur ke kancah “Credit Crunch’. Ianya adalah keadaan di mana dana sukar untuk didapati dengan kejatuhan pasaran hartanah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ini akan membawa kepada “gelobang ketiga dan yang terakhir dalam kejatuhan pasaran Bear-Market’. Ia mungkin berjaya dihentikan jika Peoples Bank of China (PBOC) dan The Federal Reserve menghentikan pengetatan dasar monetari mereka.

Menurut penganalisa di Nomura, negara yang banyak bergantung kepada eksport seperti China, Korea, Singapura, Thailand dan Malaysia adalah yang paling banyak terkesan oleh krisis ini kerana paras hutang swasta yang tinggi.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pedagang runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini menjadi seorang penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.