5 Kepentingan Penyata Kewangan Dalam Perniagaan

Mungkin ramai dari kalangan pembaca adalah seorang usahawan, tetapi adakah anda seorang yang mengambil berat tentang penyata kewangan? Jualan banyak tapi akhir bulan pendapatan tak seberapa?

Kebiasaannya ini berlaku kepada usahawan kecil kerana tidak mencatat aliran keluar masuk kewangan dengan teratur. Pernah tak dengar formula

Pendapatan = (Jualan – Kos)

Dalam bisnes ia bukan hanya tentang jualan sahaja tetapi melibatkan kos-kos lain seperti pengangkutan, sewa, pemasaran dan pengiklanan.

Berikut disenaraikan sebab mengapa kita selaku seorang usahawan, perlukan penyata kewangan:

1. Kenalpasti Prestasi Kewangan Bisnes

Image by Chris Pastrick from Pixabay

Dengan adanya penyata kewangan, kita dapat menganalisa prestasi syarikat dari semasa ke semasa. Sebagai seorang usahawan, sudah tentu anda ingin prestasi syarikat bertambah baik dari tahun ke tahun.

Jika aliran tunai direkodkan, kita dapat mengelakkan pembaziran daripada pelbagai sudut seperti bahan mentah, buruh, atau senang cerita kos yang mungkin kurang perlu pada waktu tersebut.

2. Pembiayaan/Pinjaman

Sebagai seorang usahawan, kita pasti mempunyai matlamat untuk mengembangkan perniagaan. Dalam mencapai matlamat tersebut, mahu atau tidak kita perlukan modal.

Bukan semua orang ada tunai yang banyak, jadi pinjaman bank adalah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan. Jika kita membuat pinjaman dengan bank, mereka memerlukan penyata kewangan untuk menganalisa prestasi kewangan syarikat sama ada kita berkemampuan untuk membayar balik pinjaman tersebut atau tidak.

Dengan adanya penyata kewangan, peluang untuk mendapatkan pinjaman adalah lebih tinggi.

3. Risiko

Image by Alexas_Fotos from Pixabay

Dalam bisnes memang adat kita ada untung dan kita ada rugi. Apa yang penting adalah bagaimana kita merancang risiko tersebut.

Dengan penyata kewangan, kita dapat mengenalpasti aliran tunai keluar masuk dengan merekodkan senarai penghutang dan pemiutang. Dengan merekod secara berkala, isu hutang lapuk atau risiko syarikat gulung tikar dapat dielakkan.

4. Elak Penyelewengan

Penyelewengan mudah berlaku jika tiada sebarang kawalan keluar masuk aliran tunai. Jika tiada sebarang rekod, ia akan memudahkan pihak tertentu mengambil kesempatan.

Sebagai contoh, kerani akaun selalu mendahulukan duit syarikat untuk membeli keperluan syarikat tetapi tiada sebarang rekod dibuat. Akhirnya, kita pun tidak tahu ke mana wang tersebut yang kononnya dibeli untuk keperluan syarikat dan menyebabkan syarikat terjerumus ke dalam risiko kerugian.

5. Percukaian

Image by Michal Jarmoluk from Pixabay

Bukan individu sahaja yang perlu merancang cukai, syarikat juga perlu merancang percukaian. Syarikat mempunyai pilihan untuk memastikan cukai dibayar selaras dengan keuntungan semasa.

Kaedahnya adalah dengan memastikan syarikat memantau perbelanjaan dan pendapatan yang dikenakan cukai. Perkara ini boleh dilakukan dengan penyata kewangan yang direkodkan secara berkala.

Sekarang dah tahu kepentingan penyata kewangan? Tidak semestinya kita buat sendiri penyata kewangan tersebut.

Jika kita hanya seorang usahawan kecil dengan seorang pekerja sahaja, kita boleh melantik syarikat luar yang menawarkan perkhidmatan tersebut.

Sebagai seorang usahawan, kita bukan sahaja perlu bijak dalam membuat jualan dan pemasaran, tetapi perlu juga bijak dalam merancang kewangan syarikat.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.