
Kuala Lumpur, 29 Januari 2026 — Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) mengumumkan prestasi yang berdaya tahan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (“TK2025”). Keputusan ini mencerminkan pelaksanaan operasi yang konsisten meskipun berdepan ketidaktentuan luaran yang mempengaruhi keadaan dagangan pasaran.
Bagi TK2025, Bursa mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (“PBT”) dan Zakat sebanyak RM337.1 juta, menurun 17.9% berbanding RM410.4 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (“TK2024”). Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh hasil operasi yang lebih rendah sebanyak RM701.8 juta pada TK2025 berbanding RM757.7 juta pada TK2024, susulan penurunan volum dagangan sekuriti.
Sementara itu, jumlah perbelanjaan operasi meningkat secara sederhana sebanyak 4.5% kepada RM390.1 juta pada TK2025 berbanding RM373.4 juta pada TK2024, didorong terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan pentadbiran serta pelaburan dalam penyelesaian digital. Perbelanjaan ini selaras dengan disiplin kos yang diamalkan oleh Bursa.
Sejajar dengan prestasi Bursa Malaysia bagi TK2025, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 14.0 sen sesaham, berjumlah kira-kira RM113.3 juta, yang akan dibayar pada 27 Februari 2026. Digabungkan dengan dividen interim sebanyak 14.0 sen sesaham yang telah dibayar pada 27 Ogos 2025, jumlah dividen keseluruhan adalah 28.0 sen sesaham, bersamaan dengan agihan keseluruhan sebanyak RM226.6 juta dan nisbah pembayaran dividen sekitar 91%.
Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Farid Alias, berkata “Keadaan pasaran global kekal mencabar sepanjang 2025, dengan ketidaktentuan luaran terus mempengaruhi sentimen pelabur dan prestasi pasaran ekuiti. Walaupun berdepan persekitaran yang mencabar ini, Bursa Malaysia mengekalkan pelaksanaan operasi yang berdisiplin dan mencatatkan prestasi yang berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan stabil hasil bukan dagangan serta inisiatif pembangunan pasaran yang berterusan.”
Beliau menambah “Sebagai sebuah entiti tersenarai dan institusi utama dalam ekosistem kewangan negara, kami kekal fokus untuk mengekalkan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham dan ekonomi secara keseluruhan. Bursa Malaysia telah mengekalkan nisbah pembayaran dividen melebihi 90% sejak TK2020 dan mencatatkan jumlah pulangan pemegang saham sebanyak 455.6% sejak disenaraikan pada 2005, mencerminkan kekukuhan asas perniagaan serta komitmen kami dalam mengimbangi pelaburan berhemat dan pulangan konsisten kepada pemegang saham.”
Bagi TK2025, Pasaran Sekuriti merekodkan hasil dagangan sebanyak RM308.2 juta berbanding RM381.5 juta pada TK2024, susulan penurunan 19.8% dalam Purata Nilai Dagangan Harian (“ADV”) merangkumi Dagangan Pasaran Terbuka dan Dagangan Perniagaan Langsung, ketika sentimen pelabur kekal lemah akibat ketidaktentuan pasaran global yang meningkat.
Bagi Pasaran Derivatif pula, hasil dagangan mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.9% kepada RM112.8 juta daripada RM113.8 juta pada TK2024, disebabkan oleh yuran pengurusan cagaran yang lebih rendah.
Dalam segmen Pasaran Islam, hasil operasi meningkat ketara sebanyak 31.2% kepada RM23.5 juta pada TK2025 berbanding RM17.9 juta pada TK2024. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh hasil dagangan Bursa Suq Al-Sila’ (“BSAS”) yang lebih tinggi sebanyak RM20.2 juta pada TK2025 berbanding RM16.9 juta pada TK2024. Hasil dagangan Bursa Gold Dinar pula meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM3.3 juta pada TK2025 berbanding RM1.0 juta pada TK2024.
Selain itu, hasil Perniagaan Data meningkat kepada RM81.4 juta pada TK2025, naik 3.9% daripada RM78.3 juta pada TK2024, disokong oleh permintaan berterusan dan peningkatan asas langganan. Bursa terus menggalakkan penerapan amalan ESG yang kukuh serta pendedahan berkualiti tinggi melalui Penyelesaian CSI.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pada TK2025, Bursa Malaysia kekal fokus dalam mengekalkan keyakinan pasaran dan memastikan kelangsungan jangka panjang Bursa. Aktiviti pengumpulan dana kekal stabil apabila Bursa mendahului pasaran ASEAN dengan merealisasikan 60 IPO. Kami juga disokong oleh saluran penyenaraian yang sihat serta minat berterusan daripada penerbit, mencerminkan daya tahan syarikat domestik dan keyakinan berterusan terhadap pasaran modal Malaysia.”
Beliau menambah “Pasaran modal Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2026, disokong oleh permintaan domestik yang stabil, aktiviti pelaburan berterusan serta hala tuju dasar yang jelas daripada Kerajaan dan Bank Negara Malaysia. Walaupun pertumbuhan global dijangka sederhana, Bursa kekal fokus untuk mengukuhkan kemeriahan pasaran dan memastikan ekosistem yang mantap merentasi semua segmen.”
“Menuju 2026, berpandukan Pelan Hala Tuju Strategik 2024–2026, Bursa Malaysia akan terus memacu aspirasi kami untuk memperluaskan landskap produk, meningkatkan kebolehcapaian pasaran dan memperkasa keupayaan digital. Inisiatif ini bertujuan membuka penyertaan baharu, memperdalam pasaran serta memastikan Bursa Malaysia kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan negara dan keyakinan pelabur.”
Keputusan kewangan Bursa Malaysia bagi TK2025 serta slaid pembentangan boleh didapati di laman Perhubungan Pelabur Bursa Malaysia https://bursa.listedcompany.com/home.html
| Perkara | TK2025 (RM juta) | TK2024 (RM juta) | Perubahan (%) |
|---|---|---|---|
| Hasil operasi | 701.8 | 757.7 | (7.4) |
| Pendapatan lain | 25.9 | 26.6 | (2.5) |
| Jumlah hasil | 727.7 | 784.3 | (7.2) |
| Kos kakitangan | (195.1) | (193.8) | 0.7 |
| Susut nilai dan pelunasan | (36.7) | (35.4) | 3.7 |
| Perbelanjaan pemasaran dan pembangunan | (21.8) | (23.4) | (6.8) |
| Penyelenggaraan teknologi maklumat | (48.1) | (42.5) | 13.3 |
| Yuran perkhidmatan | (24.3) | (26.2) | (7.3) |
| Perbelanjaan operasi lain | (64.1) | (52.1) | 23.0 |
| Keuntungan daripada operasi | 337.6 | 410.9 | (17.8) |
| Kos kewangan | (0.5) | (0.5) | – |
| Keuntungan sebelum cukai dan zakat | 337.1 | 410.4 | (17.9) |
| Perbelanjaan cukai pendapatan dan zakat | (89.1) | (101.8) | (12.4) |
| Keuntungan selepas cukai | 248.0 | 308.6 | (19.7) |
| Kepentingan minoriti | 2.2 | 1.5 | 46.4 |
| Keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti | 250.2 | 310.1 | (19.3) |











