Cara Keluarkan Duit KWSP Akaun II Untuk Bayar Hutang PTPTN

Pengeluaran akaun 2 kwsp

Mulai 1 April 2016, peminjam PTPTN boleh membuat permohonan pengeluaran untuk bayaran balik melalui Akaun 2 KWSP. Jadi, bagi sesiapa yang dah disenarai hitam atau dah lama ada baki tertunggak, bolehlah pertimbangkan cara ini.

Dalam kes saya dulu, saya buat bayaran Akaun 2 KWSP sebab saya dah 3 tahun menganggur sejak jadi surirumah. Dalam tempoh tersebut, hutang pun bertambahlah. Jadi, saya cuba bertanya kepada pegawai PTPTN sama ada saya boleh diberi penangguhan sebab saya belum cari kerja dan ikut suami berhijrah. Mereka cadangkan saya untuk buat pengeluaran KWSP sebagai salah satu alternatif pembayaran.

Kelebihan Bayaran Balik PTPTN Melalui Pengeluaran KWSP

Mengikut laman web PTPTN, memang berbaloi kalau kita buat pengeluaran untuk langsaikan hutang PTPTN melalui akaun KWSP. Malah, mereka kini membenarkan penggunaan Akaun 2 milik ibu bapa masing-masing (tertakluk kepada syarat-syarat).

Tapi, jangan lupa bayar balik pada Mak Ayah kalau guna akaun mereka ya!

Antara kelebihannya kalau kita buat bayaran balik melalui KWSP adalah:

  • Tiada had pengeluaran
  • Boleh membuat pengeluaran lebih daripada sekali (selagi Akaun 2 masih berbaki)
  • Tidak dikenakan caj pemprosesan
  • Boleh jimat kos upah/pentadbiran
  • Dapat pendekkan tempoh bayaran balik
  • Kalau bayaran sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah pinjaman, dapat diskaun 10%. Kalau bayar habis terus, dapat diskaun 15% daripada jumlah pinjaman. (*Berdasarkan peruntukan Bajet 2017)

Langkah Pengeluaran KWSP Akaun 2 Untuk Pembayaran PTPTN

Berikut adalah cara membayar PTPTN dengan akaun 2 KWSP dengan mudah. Boleh buat secara online saja, iaitu melalui permohonan e-Pengeluaran.( Tapi, mesti pergi ke Pejabat KWSP jugalah.)

1. Daftar i-Akaun KWSP

Pertama sekali, kita mesti ada i-Akaun untuk melakukan prosedur e-Pengeluaran.

Caranya mudah saja. Pergi ke mana-mana pejabat atau kiosk KWSP. Di sana, kita boleh mendaftar i-Akaun dengan menggunakan kad pengenalan. Selepas mendaftar, anda akan diberi kod pengaktifan yang sah untuk digunapakai dalam tempoh 30 hari.

Lepas dah dapat kod pengaktifan tadi, buka laman web KWSP (www.kwsp.gov.my) dan klik pada Pengaktifan i-Akaun (Login kali pertama). Kemudian, masukkan butiran pada ruang kosong.

2. Login i-Akaun KWSP

Sekarang, anda dah boleh login ke i-Akaun ahli. Klik Tab Pengeluaran, e-Pengeluaran dan klik Permohonan Baru untuk memulakan transaksi.

3. Semak Status Mesej Sekuriti

Seterusnya, semak status permohonan melalui SMS atau Mesej Sekuriti Inbox di i-Akaun. Biasanya, permohonan e-Pengeluaran tak akan ambil masa lama untuk lulus. Mungkin dalam 2-3 hari dan kurang daripada 1 minggu.

Bila dah dapat mesej ini, anda diberi tempoh 14 hari untuk hadir di kaunter KWSP bagi proses pengecaman Cap Ibu Jari. Kalau tak hadir dalam tempoh tersebut, permohonan akan dibatalkan secara automatik.

4. Sediakan Dokumen Sokongan

Dalam mesej sekuriti juga, ada dimaklumkan dokumen sokongan yang perlu dibawa, bergantung kepada situasi akaun / jenis pengeluaran anda.

Antara dokumen penting yang perlu dibawa bersama adalah:

  • Kad pengenalan beserta salinan
  • Dokumen Pengesahan Permohonan Pengeluaran
  • Sijil/Skrol Ijazah atau Diploma beserta salinan
  • Surat tunggakan dari PTPTN (jika ada)

5. Buat Pengesahan Di Pejabat KWSP

Bila dah cukup dokumen sokongan, bolehlah hadir di mana-mana cawangan KWSP bagi pengecaman cap ibu jari.

Tujuan pengecaman ini adalah bagi menentukan kesahihan identiti ahli sebagai pemohon dan menurunkan cap ibu jari pada notis pengesahan sebagai bukti mengemukakan permohonan.

6. Semak Penyata PTPTN

Di pejabat KWSP nanti, anda akan dimaklumkan bahawa borang permohonan e-Pengeluaran ini akan dihantar ke PTPTN. Pengeluaran bayaran ini akan diproses dalam masa 2 minggu.

Setelah siap diproses nanti, pihak KWSP akan mengeluarkan dokumen rasmi yang mengesahkan bahawa mereka telah membuat pembayaran kepada PTPTN.

Selepas dapat surat ini, bolehlah anda semak penyata pinjaman PTPTN anda. Selesai!

Jangan Bertangguh Lagi

Biasanya proses ini ambil masa yang sekejap saja. Kalau dalam kes saya, kira-kira 20 minit di Pejabat KWSP. Tapi, saya cuma selesaikan sebahagian daripada jumlah pinjaman dan pada masa yang sama saya sedang memohon ujrah. Jadi, saya perlu pergi ke pejabat PTPTN untuk menyerahkan dokumen dari KWSP tadi.

Bagi yang tak ada urusan lain, kemungkinan besar akan settle semuanya di pejabat KWSP saja dan tak perlu ke pejabat PTPTN. Apapun, caranya memang mudah dan sistemnya juga begitu efisyen.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh dapatkan maklumat selengkapnya melalui pegawai KWSP semasa membuat pendaftaran i-Akaun atau pengesahan cap jari nanti.

Lega sikit bila tengok hutang dah berkurang, kan? Saya doakan pembaca semua diberikan kekuatan dan diluaskan rezeki untuk melangsaikan hutang.

Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?

Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.

KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.

Previous ArticleNext Article

1 Comment

  1. hai . saya nak bertanya . adakah untuk ptptn sahaja ? saya ptptk tapi sampai tahap 3 sahaja . masih boleh buat pengeluaran atau tidak ya ?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.