China Bangunkan Syarikat Pembuatan Kapal Terbang Komersial Untuk Bersaing Dengan Airbus Dan Boeing

Walaupun industri penerbangan dunia belum pulih sepenuhnya, perkembangan teknologi penerbangan berjalan seperti biasa. Seperti yang kita tahu, industri penerbangan dunia sejak dari dulu lagi dikuasai oleh dua syarikat gergasi dunia yang berpengkalan di Eropah dan juga Amerika Syarikat.

Kini dua gergasi syarikat tersebut bakal berhadapan dengan syarikat pembuatan kapal terbang komersial dari China, Commercial Aircraft Corporation of China (Comac) yang bakal memberi saingan hebat pada masa akan datang.

Bagaimana Comac Bermula?

Syarikat ini bermula pada tahun 2008 di mana kerajaan China melihat potensi China yang bakal menjadi negara industri penerbangan pada masa akan datang.

China merupakan negara kedua terbesar dunia daripada segi bilangan penerbangan domestik.

Disebabkan perkara tersebut, syarikat gergasi penerbangan dunia sangat menjaga penguasaan mereka di sana. Airbus dan Boeing telah membina pusat pemasangan kapal terbang komersial mereka di sana untuk menjaga hubungan dengan kerajaan China.

Kredit Gambar: SCMP

Dengan perkembangan yang pesat terhadap industri penerbangan, kerajaan China telah memberi bantuan penyelidikan kepada Comac sebanyak USD49 bilion.

Akhirnya syarikat ini berjaya menghantar tempahan kapal terbang mereka kepada pelanggan mereka pada tahun ini. Ianya merupakan kejayaan yang besar bagi Comac.

Mereka telah menghasilkan kapal terbang model C919 yang merupakan pesaing utama kepada Airbus A320neo dan juga Boeing 737 MAX.

Masih Bergantung Kepada Teknologi Barat Untuk Berkembang

Kredit Gambar :SCMP

Walaupun dilihat berjaya membangunkan kapal terbang buatan mereka sendiri, Comac masih lagi bergantung kepada teknologi negara Barat untuk menghasilkan kapal terbang komersial pertama mereka.

Banyak komponen penting untuk menghasilkan kapal terbang tersebut diimport sepenuhnya dari negara Barat terutamanya bahagian enjin.

Untuk menghasilkan sebuah enjin jet, ianya memerlukan kepakaran yang sangat luar biasa dan China masih belum mampu melakukannya.

Dengan hanya usia 12 tahun sejak penubuhan Comac, mereka belum mempunyai pengalaman yang cukup berbanding dengan Airbus dan Boeing yang telah berusia lebih daripada 50 tahun.

Selain itu juga, Comac tidak mempunyai data penerbangan yang boleh membanggakan berbanding dengan kedua-dua syarikat tersebut.

Ia akan menyukarkan Comac untuk menyakinkan pelanggan mereka terutamanya bagi negara luar kerana data keselamatan yang dimiliki oleh mereka tidak dapat memenuhi segala peraturan penerbangan yang ditetapkan oleh pihak antarabangsa.

Walaupun begitu, kerajaan China dilaporkan akan terus membantu syarikat tersebut. Comac sendiri sedang berusaha untuk melakukan pemindahan teknologi bagi memantapkan lagi syarikat.

Bakal Menjadi Pesaing Di Masa Hadapan

Walaupun dilihat China berada di belakang berbanding dengan Airbus dan Boeing daripada segi teknologi dan kepakaran, Comac dilihat bakal menggugat kedua-dua syarikat gergasi ini pada masa akan datang.

China terkenal dalam menghasilkan barangan berkualiti pada harga yang lebih murah berbanding dengan negara Barat. Harga pesawat komersial yang dihasilkan oleh Comac ini adalah separuh daripada harga pesawat yang dibangunkan oleh Airbus dan Boeing.

Ia akan menjadi pesawat yang berpotensi digunakan oleh mana-mana syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan penerbangan tambah murah terutamanya dari negara Asia dan Afrika dan juga pasaran domestik mereka sendiri.

Tidak mustahil suatu hari nanti Comac bakal menjadi syarikat terulung yang bakal menggugat duopoli Airbus dan Boeing.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Maybank Mengendalikan Lebih RM4 Trilion Transaksi Digital Sejak 2020, Bersamaan Dua Kali Ganda KDNK Malaysia

Maybank, kumpulan perkhidmatan kewangan terkemuka Malaysia, hari ini menegaskan  semula komitmennya untuk menyokong penerimaan perbankan digital negara. Sejak pelancaran aplikasi MAE pada tahun 2020, Maybank telah mengendalikan lebih RM4 trilion transaksi digital dalam tempoh lima tahun, iaitu bersamaan dua kali ganda KDNK negara. Maybank terus memacu usaha rangkuman kewangan dan keterhubungan digital di Malaysia serta di seluruh ASEAN.

Aplikasi MAE menawarkan rangkaian menyeluruh ciri perbankan dan gaya hidup, sekali gus menjadikannya aplikasi perbankan mudah alih pilihan utama rakyat Malaysia bagi urusan  kewangan harian. Maybank terus menerajui perbankan digital, menduduki tempat pertama di Malaysia dari segi bilangan dan nilai transaksi merentasi perkhidmatan utama PayNet, termasuk pemindahan DuitNow dan pembayaran QR, FPX serta JomPAY.


Taufik Albar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Maybank berkata bahawa inovasi digital sentiasa menjadi teras strategi Kumpulan Maybank. “Dari tahun ke tahun, kami terus menambah baik aplikasi MAE sehingga menjadi aplikasi gaya hidup kewangan bersepadu yang memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, disamping membantu mereka melakukan transaksi harian dengan lebih lancar, selamat dan diperibadikan.”


“Sejak pelancaran aplikasi MAE, kami telah menyaksikan pertumbuhan yang menggalakkan dalam penerimaan perbankan digital, menonjolkan relevansi dan kepercayaan pelanggan terhadap aplikasi ini. Hari ini, kami berbangga dapat berkhidmat kepada 10.7 juta pengguna MAE, dengan 48% penguasaan pasaran bagi bilangan transaksi perbankan mudah alih di Malaysia. Seiring dengan penambahbaikan berterusan aplikasi MAE, focus kami kekal untuk membentuk pengalaman perbankan digital masa hadapan yang dibina berasaskan kehidupan pelanggan,” katanya.

Sebagai bank pertama di negara ini yang memperkenalkan pembayaran QR pada tahun 2017, Maybank terus menerajui  transformasi tanpa tunai, memperkasakan individu dan perniagaan untuk menghantar serta menerima pembayaran serta-merta melalui Imbas & Bayar Maybank tanpa caj transaksi. Jumlah keseluruhan transaksi Imbas & Bayar yang dilakukan melalui aplikasi MAE telah meningkat 51 kali ganda setakat Ogos 2025 berbanding dengan tahun 2020. Pada tahun 2024 sahaja, Maybank mencatatkan peningkatan 26% dalam pendaftaran pedagang baharu, sekali gus meluaskan penerimaan kepada lebih banyak premis makanan dan peruncit di seluruh negara.


Giorgio Migliarina, Ketua Pegawai Teknologi dan Digital Kumpulan, Maybank berkata bahawa aplikasi MAE mewakili visi Maybank untuk membina ekosistem digital yang lebih pintar dan inklusif, sekali gus memperkasakan pelanggan untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih yakin, mudah dan terkawal. “Aplikasi MAE telah mentakrif semula perbankan harian dengan menggabungkan ciri gaya hidup dan kewangan dalam satu aplikasi. Aplikasi ini turut memperkasakan rakyat Malaysia dalam mengurus matlamat kewangan mereka, membolehkan pelanggan mewujudkan hampir lapan juta Tabung, dalam memperkukuh tabiat simpanan dan perancangan kewangan jangka panjang.”


“Sembilan daripada setiap 10 pelanggan MAE Wallet menggunakan aplikasi ini secara aktif untuk urusan harian, dengan ramai yang menekankan faktor keselamatan dan sekuriti kukuh sebagai faktor utama. Kepercayaan ini mendorong kami untuk terus menambah baik aplikasi MAE agar dapat menawarkan lebih banyak nilai dan perlindungan kepada pelanggan,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan pelanggan yang memilih untuk menguruskan simpanan dan perbelanjaan mereka secara berasingan, MAE Wallet menawarkan fleksibiliti dan kemudahan dengan had sehingga RM10,000. Menawarkan tahap keselamatan yang setara dengan akaun simpanan dan akaun semasa Maybank, MAE Wallet memberikan keyakinan dan ketenangan  kepada pengguna dalam setiap transaksi.


Sempena ulang tahun kelima MAE, Maybank meraikan pencapaian ini dengan memberi ganjaran kepada pelanggan setia melalui kempen ‘MAE Turns 5’. Dari 30 Oktober 2025 hingga 31 Januari 2026, pelanggan boleh menikmati pulangan 5% setahun apabila mendepositkan minimum RM200 ke dalam MAE Wallet. Untuk menikmati pulangan tersebut yang dikira secara harian, pelanggan hanya perlu mendepositkan dana dan memasukkan rujukan penerima ‘MAETurns5’ sebelum 30 November 2025, serta mengekalkan jumlah tersebut dalam MAE Wallet mereka sehingga tamat kempen.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen MAE Turns 5, sila layari maybank.my/MAETurns5.