6 Tips Bersara Dengan Tenang

Ramai pekerja yang kurang cakna atau tidak tahu akan kepentingan Surat Penyelesaian Cukai (SPC) sekiranya mereka akan berhenti kerja atau bersara kelak. Sebagai pekerja yang bertanggungjawab, kita seharusnya tahu tindakan yang perlu diambil supaya amaun ganjaran dan manfaat yang akan dinikmati selepas bersara atau berhenti kerja diperoleh dengan segera dan amaun tersebut tidak dipotong untuk menjelaskan apa-apa cukai tertunggak akibat kegagalan melaporkan pendapatan terdahulu sebelum berhenti kerja.  Mungkin ramai tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan khususnya berkaitan percukaian sekiranya ingin menamatkan perkhidmatan bersama majikan sekarang.

Justeru itu, artikel kali ini akan menjawab persoalan yang sering ditanya mengenai perkara ini. 

1. Apa yang dimaksudkan dengan Surat Penyelesaian Cukai (SPC)?

  • SPC merupakan perakuan yang dikeluarkan oleh HASiL kepada majikan berkaitan hal ehwal cukai pendapatan pekerja yang akan berhenti kerja, bersara, yang hendak meninggalkan Malaysia ataupun yang meninggal dunia.
  • Adalah menjadi tanggungjawab majikan tidak kira sama ada di sektor awam mahupun di sektor swasta, kedua-duanya bertanggungjawab di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi memaklumkan kepada HASiL dalam tempoh yang ditetapkan sekiranya berlaku penamatan perkhidmatan.

2. Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh majikan sekiranya berlaku penamatan pekerjaan atas pekerja?

  • Sebagai majikan yang bertanggungjawab, mereka perlu memaklumkan kepada HASiL tidak kurang daripada tiga puluh (30) hari sebelum tarikh pemberhentian pekerja yang akan berhenti kerja, bersara atau yang akan meninggalkan Malaysia melebihi tiga (3) bulan.
  • Bagi kes pekerja yang meninggal dunia, pemakluman perlu dibuat tidak lebih tiga puluh (30) hari selepas dimaklumkan kematian pekerja berkenaan.
  • Ada tiga (3) jenis borang perlu dihantar kepada HASiL mengikut situasi pekerja iaitu:
  1. CP21 : Borang Pemberitahuan oleh Majikan Bagi Pekerja Yang Hendak Meninggalkan Malaysia;

2. CP22A : Borang Pemberitahuan Pemberhentian Kerja (Swasta);  atau

3. CP22B : Borang Pemberitahuan Pemberhentian Kerja (Agensi Kerajaan).

  • Bagi memberi kemudahan kepada majikan, HASiL telah menyediakan perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan majikan mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B yang boleh diakses di  https://mytax.hasil.gov.my/. Pilih Perkhidmatan ezHasil seterusnya ke e-SPC.
  • Permohonan SPC akan diproses selepas semua dokumen dan maklumat lengkap diterima.
  • Selain itu, majikan perlu menahan apa-apa bahagian wang yang akan atau boleh dibayar kepada pekerja dan tidak membayar apa-apa bahagian wang tersebut tanpa kebenaran HASiL sehingga tempoh sembilan puluh (90) hari dari tarikh borang diterima oleh HASiL.
  • Majikan juga perlu membayar semua atau sebahagian amaun wang yang ditahan kepada HASiL apabila diarahkan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut.
  • Walau bagaimanapun, majikan diberi pengecualian untuk tidak mengemukakan Borang Pemberitahuan Pemberhentian Kerja kepada HASiL sekiranya pendapatan seseorang pekerja tertakluk kepada Potongan Cukai Bulanan (PCB) atau jika saraan bulanan pekerja adalah di bawah amaun minimum yang layak dikenakan PCB, dengan syarat pekerja berkenaan akan terus bekerja atau tidak bersara daripada mana-mana penggajian di Malaysia.
  • Borang pemberitahuan oleh majikan bagi pekerja yang hendak meninggalkan Malaysia pula tidak perlu dikemukakan sekiranya HASiL berpuas hati bahawa seseorang pekerja tersebut dikehendaki meninggalkan Malaysia secara kerap berhubung dengan penggajian yang dilakukannya.

3. Apa kaitan SPC ini kepada pekerja-pekerja dan majikan di luar sana?

  • Tujuan SPC adalah untuk memastikan rekod percukaian pekerja berada dalam keadaan teratur.
  • Apabila permohonan SPC diterima, cawangan yang menguruskan fail akan menyemak rekod percukaian pekerja bagi tahun-tahun sebelumnya sama ada audit perlu dilakukan atau tidak. Sekiranya perlu, cawangan akan meminta dokumen tersebut daripada pihak pekerja.
  • Secara tidak langsung akan memastikan rekod percukaian pekerja berada dalam keadaan teratur.
  • Sekiranya terdapat amaun cukai yang perlu diselesaikan hasil daripada semakan, amaun tersebut perlu dibayar oleh pihak majikan kepada HASiL daripada amaun wang yang ditahan.

4. Adakah HASiL akan mengenakan apa-apa tindakan undang-undang terhadap majikan yang gagal mendapatkan SPC bagi pekerja yang terlibat?

  • Jika majikan gagal menjalankan tanggungjawab, majikan boleh disabitkan kesalahan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
  • Kelewatan atau kegagalan mengemukakan borang tersebut tanpa alasan yang munasabah merupakan suatu kesalahan dan sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 atau tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam (6) bulan atau kedua-duanya di bawah subsekyen 120(1) ACP 1967.
  • Majikan juga bertanggungjawab untuk membayar amaun penuh cukai yang kena dibayar oleh pekerjanya. Amaun kena dibayar oleh majikan merupakan suatu hutang kepada kerajaan dan boleh dituntut melalui tindakan sivil.

5. Bagaimana pula dengan tanggungjawab pekerja dalam isu SPC ini?

  • Rekod pematuhan cukai seseorang pekerja ialah komponen penting yang akan disemak oleh HASiL sebelum SPC dikeluarkan. Justeru, terdapat beberapa perkara perlu dilakukan oleh pekerja sebagai tanggungjawab mereka, iaitu:
  1. Memastikan pendapatan yang diterima berhubung dengan suatu penggajian dilaporkan dengan mengemukakan Borang Nyata Cukai sekiranya pekerja tersebut tidak memilih PCB sebagai cukai muktamad.
  2. Pekerja juga disarankan supaya menyemak rekod pematuhan cukai mereka terlebih dahulu dengan HASiL sebelum majikan mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B.

6. Setelah permohonan SPC dihantar oleh majikan, apakah tindakan yang perlu diambil oleh HASiL?

  • Permohonan SPC individu yang lengkap diterima oleh HASiL akan diproses mengikut Piagam Pelanggan kami, iaitu empat belas (14) hari bekerja daripada tarikh dokumen lengkap diterima.
  • SPC individu yang telah selesai diproses akan dihantar kepada majikan dan disalinkan kepada pekerja untuk makluman serta rekod pekerja.
  • Pegawai Perhubungan Awam/ Customer Care Officer (CCO) cawangan boleh dihubungi sekiranya menghadapi masalah dalam pengeluaran SPC individu. Senarai nama Pegawai Perhubungan Awam boleh diperolehi menerusi Portal Rasmi HASiL di www.hasil.gov.my dengan klik pada tab Hubungi Kami dan seterusnya klik Panggilan. Anda perlu memilih Pegawai Perhubungan Awam untuk melihat senarai pegawai mengikut cawangan yang dikehendaki.
  • Kami amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh majikan dan pekerja dalam permohonan SPC ini bagi membolehkan HASiL dapat memproses permohonan tersebut dengan lancar.

Di harap perkongsian artikel ini dapat menjadi panduan dan dimanfaatkan sewajarnya oleh para majikan dan pekerja di luar sana yang masih ragu-ragu mengenai perkara ini.  Semoga kelestarian hasil cukai akan dimanfaatkan bersama demi membina #KeluargaMalaysia yang lebih makmur dan sejahtera. Sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh dimajukan kepada HASiL melalui:

a. Hasil Care Line (HCL) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);

b. HASiL Live Chat; dan

c. Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Penat Cari Duit, Akhirnya “Hangus” Untuk Bayar Cukai?

Pernah tak korang duduk depan laptop, tangan menggigil nak tekan butang submit e-Filing sebab tengok baki cukai kena bayar sampai beribu-ribu? Masa tu, segala rasa ralat dan tak puas hati muncul. Rasa macam “hangus” hasil titik peluh setahun.

Tapi, cuba korang tarik nafas kejap. Bayangkan senario ini:

Di satu sudut hospital kerajaan, ada seorang ayah yang buntu fikir kos bedah jantung anaknya yang mencecah RM50,000. Angka itu berpusing-pusing di kepalanya. Dia hanya seorang kerani biasa. Dia mula berkira-kira untuk tebalkan muka meminjam sana-sini. Air matanya gugur, bukan kerana sedih, tapi kerana rasa gagal sebagai seorang ayah.

Tapi bila dia pergi ke kaunter bayaran, kerani tu sambil tersenyum berkata, “Encik cuma perlu bayar RM1 sahaja.”

Ayah tadi terduduk, menangis syukur.

Tahu tak siapa yang “bayar” baki RM49,999 tu? Itulah duit cukai yang korang rasa “hangus” tadi.

Ada orang kata, “Alah, cukai aku bayar RM500 je setahun. Tak luak pun buat kerajaan. Kerajaan kan ada cukai korporat, cukai jalan, duti eksais, macam-macam lagi! Apa sangatlah duit cukai aku yang sikit ni?”

Memang betul, pendapatan negara datang dari pelbagai sumber. Tapi kena ingat, bajet negara ni ibarat satu puzzle gergasi. Cukai syarikat mungkin besar, tapi sumbangan dari cukai pendapatan individu adalah salah satu kepingan puzzle yang sangat kritikal.

Bila jutaan rakyat Malaysia “tong-tong” (berkongsi) membayar cukai individu, jumlahnya mencecah berbilion ringgit setahun!

Nak ikhlas bayar cukai ni bukan soal faham undang-undang, tapi soal faham kemanusiaan. Bila kita nampak yang duit tu sebenarnya tengah “memberi peluang kedua” kepada orang lain, “menyuap” nasi ke mulut anak yatim dan “menjaga” keselamatan mak ayah kita di kampung, saat itulah rasa berat hati tadi akan bertukar menjadi rasa bangga yang luar biasa.

Macam mana nak capai tahap ikhlas macam tu? Cuba renungkan 4 perkara ni:

1. Cukai Sebagai “Sijil Kejayaan”

Tukar mindset: Cukai bukan beban, tapi ia adalah bukti korang sudah berjaya. Hanya orang yang memiliki pendapatan melebihi paras tertentu sahaja yang layak membayar cukai.

  • Kalau kena bayar cukai RM5,000, bayangkan berapa banyak rezeki (pendapatan) yang Tuhan dah bagi sampai korang sampai ke tahap itu.
  • Ramai orang di luar sana teringin nak ada gaji setinggi itu. Kalau kena bayar banyak, maksudnya Tuhan dah amanahkan rezeki yang sangat besar tahun lepas. Bayar cukai adalah cara “mengalirkan” berkat tu supaya ia dapat dikongsi bersama.

2. Niatkan Sebagai “Sedekah Paksa”

Zakat itu wajib untuk asnaf, tapi cukai pula adalah sumbangan untuk kepentingan “keluarga besar” kita.

  • Bila bayar cukai, niatkan dalam hati: “Ya Allah, aku sedekahkan duit ini untuk kegunaan rakyat Malaysia.”
  • Bayangkan, duit itu digunakan untuk beli ubat bagi pesakit di hospital kerajaan atau beli buku teks untuk anak-anak sekolah. Selagi orang itu sembuh atau budak tu dapat ilmu, pahala jariah korang tetap mengalir walaupun tak kenal pun siapa mereka.

3. Melunaskan “Hutang”

Sedar atau tidak, kita semua “terhutang budi” dengan negara.

  • Kita belajar di sekolah dan universiti yang yurannya disubsidi.
  • Kita guna jalan raya, jambatan dan lampu jalan yang dibina sebelum kita lahir lagi.
  • Bayar cukai adalah cara kita membalas jasa dan memastikan generasi anak-anak kita nanti pun dapat nikmat yang sama. Kita bayar supaya manfaat ini tidak terhenti pada kita sahaja.

4. Membantu Golongan “Tengah” (M40)

Zakat hanya untuk golongan asnaf. Tapi macam mana dengan kawan-kawan kita yang “tak kaya tapi tak miskin” (M40)? Gaji mereka sedikit saja melepasi garisan asnaf, membuatkan mereka tidak layak menerima zakat, namun tidak cukup kaya untuk menanggung badai musibah yang datang secara tiba tiba. Mereka tak layak terima zakat, tapi kalau anak mereka masuk hospital, mereka sangat perlukan subsidi kerajaan.

Bayangkan kawan sepejabat. Anak mereka tiba-tiba jatuh sakit dan perlukan pembedahan segera. Simpanan tak seberapa, insurans pula ada hadnya. Di sinilah duit cukai korang muncul sebagai Superhero yang tidak didendang.

  • Duit cukai koranglah yang memastikan kawan itu hanya perlu membayar RM500 untuk pembedahan yang kos asalnya berjumlah RM50,000.
  • Duit cukai koranglah yang menghalang seorang ayah daripada berhutang keliling pinggang semata-mata nak menyelamatkan nyawa anaknya.

Bila bayar cukai, korang sebenarnya sedang menjaga maruah kawan-kawan dan jiran tetangga. Korang sedang memegang tangan mereka supaya tidak jatuh tersungkur ke lembah kemiskinan. Menolong mereka yang sedang sesak walaupun mereka bukan asnaf adalah satu amal jariah yang sangat agung dan mulia.

“Tapi… Takutlah Duit Kena Sakau Oleh Ahli Politik!”

Ini kerisauan paling besar kan? Kita penat-penat membanting tulang, tiba-tiba keluar berita berlaku ketirisan sana-sini. Rasa macam tak berbaloi nak bayar kalau hujung-hujung masuk poket orang yang tidak sepatutnya.

Tapi, cuba renungkan sudut pandang ni:

Dalam Islam, tanggungjawab kita adalah mematuhi peraturan demi kepentingan awam. Apabila kita membayar dengan niat untuk membantu rakyat, insha-Allah pahala itu sudah milik kita di sisi Tuhan.

Kalau ada tangan-tangan yang menyalahgunakan amanah itu, itu adalah dosa besar mereka di padang mahsyar nanti. Mereka yang akan menjawab, mereka yang akan menanggung azab.

Pahala kita takkan “disakau” oleh dosa mereka.

Jadi, jangan biarkan kemarahan kita kepada segelintir manusia membuatkan kita berhenti menjadi tulang belakang kepada berjuta rakyat lain yang benar-benar memerlukan.

Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Artikel ini tidak ditaja oleh LHDN atau mana-mana pihak berkuasa. Kami di Majalah Labur cuma nak ajak anda semua ‘win’ dari segi kewangan DAN ketenangan jiwa. Bila kita nampak ke mana perginya setiap sen hasil titik peluh kita, barulah kita rasa berbaloi nak menyumbang. Jom jadi pembayar cukai yang bijak dan berjiwa besar!