Kerajaan Giat Jalani Libat Urus Bersama Pihak Berkepentingan Bagi Memuktamadkan HVGT – Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) — Kerajaan giat berhubung dengan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memuktamadkan butiran cukai barang bernilai tinggi (HVGT), termasuk skop barangan dan ambang yang berkaitan.

Pendekatan ini bagi memastikan keberkesanan cukai itu tanpa menjejaskan ekonomi rakyat, kata Kementerian Kewangan.

“Pada akhirnya, kerajaan MADANI giat berusaha untuk mencapai keseimbangan dalam memperbaiki kedudukan fiskal negara dan pada masa yang sama tidak menambah beban rakyat.

“Reformasi fiskal juga akan memberi lebih banyak ruang kepada kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan perlindungan sosial dengan meningkatkan perbelanjaan untuk infrastruktur dan perkhidmatan awam yang kritikal seperti pendidikan dan kesihatan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian itu mengulas pertanyaan Bernama berkaitan penangguhan HVGT (sebelum ini dikenali sebagai cukai barangan mewah).

HVGT, yang berjulat antara 5.0 dan 10 peratus — pada mulanya dirancang untuk dibentangkan pada sidang Parlimen yang baru berakhir pada 27 Mac 2024, bagi membolehkan pelaksanaan cukai menjelang Mei tahun ini.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan tidak membentangkan Rang Undang-undang HVGT semasa sesi itu.

Sementara itu, ia mengulangi pendirian kerajaan MADANI yang komited dalam melaksanakan reformasi fiskal melalui pelaksanaan penyasaran semula subsidi dan memperluas asas cukai, bagi mempertingkat tahap ekonomi Malaysia dan memulihkan kedudukan fiskal kerajaan seperti yang dirangka dalam Ekonomi MADANI.

“Kerajaan MADANI juga akan mengambil pendekatan progresif dalam memastikan langkah-langkah ini tidak membebankan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Menurut kementerian itu, ini dicerminkan melalui pelaksanaan penyasaran semula subsidi elektrik pada Januari 2024, yang menyaksikan 85 peratus pengguna elektrik tidak menghadapi sebarang kenaikan tarif.

Sementara itu, pelaksanaan cukai keuntungan modal (CGT) yang dikuatkuasakan pada Mac 2024 menyasarkan ke atas syarikat dan bukan ke atas individu.

Di samping itu, perubahan pada cukai perkhidmatan yang membabitkan beberapa pengecualian sektor tertentu diperkenalkan bagi menangani isu kos sara hidup, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Penat Cari Duit, Akhirnya “Hangus” Untuk Bayar Cukai?

Pernah tak korang duduk depan laptop, tangan menggigil nak tekan butang submit e-Filing sebab tengok baki cukai kena bayar sampai beribu-ribu? Masa tu, segala rasa ralat dan tak puas hati muncul. Rasa macam “hangus” hasil titik peluh setahun.

Tapi, cuba korang tarik nafas kejap. Bayangkan senario ini:

Di satu sudut hospital kerajaan, ada seorang ayah yang buntu fikir kos bedah jantung anaknya yang mencecah RM50,000. Angka itu berpusing-pusing di kepalanya. Dia hanya seorang kerani biasa. Dia mula berkira-kira untuk tebalkan muka meminjam sana-sini. Air matanya gugur, bukan kerana sedih, tapi kerana rasa gagal sebagai seorang ayah.

Tapi bila dia pergi ke kaunter bayaran, kerani tu sambil tersenyum berkata, “Encik cuma perlu bayar RM1 sahaja.”

Ayah tadi terduduk, menangis syukur.

Tahu tak siapa yang “bayar” baki RM49,999 tu? Itulah duit cukai yang korang rasa “hangus” tadi.

Ada orang kata, “Alah, cukai aku bayar RM500 je setahun. Tak luak pun buat kerajaan. Kerajaan kan ada cukai korporat, cukai jalan, duti eksais, macam-macam lagi! Apa sangatlah duit cukai aku yang sikit ni?”

Memang betul, pendapatan negara datang dari pelbagai sumber. Tapi kena ingat, bajet negara ni ibarat satu puzzle gergasi. Cukai syarikat mungkin besar, tapi sumbangan dari cukai pendapatan individu adalah salah satu kepingan puzzle yang sangat kritikal.

Bila jutaan rakyat Malaysia “tong-tong” (berkongsi) membayar cukai individu, jumlahnya mencecah berbilion ringgit setahun!

Nak ikhlas bayar cukai ni bukan soal faham undang-undang, tapi soal faham kemanusiaan. Bila kita nampak yang duit tu sebenarnya tengah “memberi peluang kedua” kepada orang lain, “menyuap” nasi ke mulut anak yatim dan “menjaga” keselamatan mak ayah kita di kampung, saat itulah rasa berat hati tadi akan bertukar menjadi rasa bangga yang luar biasa.

Macam mana nak capai tahap ikhlas macam tu? Cuba renungkan 4 perkara ni:

1. Cukai Sebagai “Sijil Kejayaan”

Tukar mindset: Cukai bukan beban, tapi ia adalah bukti korang sudah berjaya. Hanya orang yang memiliki pendapatan melebihi paras tertentu sahaja yang layak membayar cukai.

  • Kalau kena bayar cukai RM5,000, bayangkan berapa banyak rezeki (pendapatan) yang Tuhan dah bagi sampai korang sampai ke tahap itu.
  • Ramai orang di luar sana teringin nak ada gaji setinggi itu. Kalau kena bayar banyak, maksudnya Tuhan dah amanahkan rezeki yang sangat besar tahun lepas. Bayar cukai adalah cara “mengalirkan” berkat tu supaya ia dapat dikongsi bersama.

2. Niatkan Sebagai “Sedekah Paksa”

Zakat itu wajib untuk asnaf, tapi cukai pula adalah sumbangan untuk kepentingan “keluarga besar” kita.

  • Bila bayar cukai, niatkan dalam hati: “Ya Allah, aku sedekahkan duit ini untuk kegunaan rakyat Malaysia.”
  • Bayangkan, duit itu digunakan untuk beli ubat bagi pesakit di hospital kerajaan atau beli buku teks untuk anak-anak sekolah. Selagi orang itu sembuh atau budak tu dapat ilmu, pahala jariah korang tetap mengalir walaupun tak kenal pun siapa mereka.

3. Melunaskan “Hutang”

Sedar atau tidak, kita semua “terhutang budi” dengan negara.

  • Kita belajar di sekolah dan universiti yang yurannya disubsidi.
  • Kita guna jalan raya, jambatan dan lampu jalan yang dibina sebelum kita lahir lagi.
  • Bayar cukai adalah cara kita membalas jasa dan memastikan generasi anak-anak kita nanti pun dapat nikmat yang sama. Kita bayar supaya manfaat ini tidak terhenti pada kita sahaja.

4. Membantu Golongan “Tengah” (M40)

Zakat hanya untuk golongan asnaf. Tapi macam mana dengan kawan-kawan kita yang “tak kaya tapi tak miskin” (M40)? Gaji mereka sedikit saja melepasi garisan asnaf, membuatkan mereka tidak layak menerima zakat, namun tidak cukup kaya untuk menanggung badai musibah yang datang secara tiba tiba. Mereka tak layak terima zakat, tapi kalau anak mereka masuk hospital, mereka sangat perlukan subsidi kerajaan.

Bayangkan kawan sepejabat. Anak mereka tiba-tiba jatuh sakit dan perlukan pembedahan segera. Simpanan tak seberapa, insurans pula ada hadnya. Di sinilah duit cukai korang muncul sebagai Superhero yang tidak didendang.

  • Duit cukai koranglah yang memastikan kawan itu hanya perlu membayar RM500 untuk pembedahan yang kos asalnya berjumlah RM50,000.
  • Duit cukai koranglah yang menghalang seorang ayah daripada berhutang keliling pinggang semata-mata nak menyelamatkan nyawa anaknya.

Bila bayar cukai, korang sebenarnya sedang menjaga maruah kawan-kawan dan jiran tetangga. Korang sedang memegang tangan mereka supaya tidak jatuh tersungkur ke lembah kemiskinan. Menolong mereka yang sedang sesak walaupun mereka bukan asnaf adalah satu amal jariah yang sangat agung dan mulia.

“Tapi… Takutlah Duit Kena Sakau Oleh Ahli Politik!”

Ini kerisauan paling besar kan? Kita penat-penat membanting tulang, tiba-tiba keluar berita berlaku ketirisan sana-sini. Rasa macam tak berbaloi nak bayar kalau hujung-hujung masuk poket orang yang tidak sepatutnya.

Tapi, cuba renungkan sudut pandang ni:

Dalam Islam, tanggungjawab kita adalah mematuhi peraturan demi kepentingan awam. Apabila kita membayar dengan niat untuk membantu rakyat, insha-Allah pahala itu sudah milik kita di sisi Tuhan.

Kalau ada tangan-tangan yang menyalahgunakan amanah itu, itu adalah dosa besar mereka di padang mahsyar nanti. Mereka yang akan menjawab, mereka yang akan menanggung azab.

Pahala kita takkan “disakau” oleh dosa mereka.

Jadi, jangan biarkan kemarahan kita kepada segelintir manusia membuatkan kita berhenti menjadi tulang belakang kepada berjuta rakyat lain yang benar-benar memerlukan.

Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Artikel ini tidak ditaja oleh LHDN atau mana-mana pihak berkuasa. Kami di Majalah Labur cuma nak ajak anda semua ‘win’ dari segi kewangan DAN ketenangan jiwa. Bila kita nampak ke mana perginya setiap sen hasil titik peluh kita, barulah kita rasa berbaloi nak menyumbang. Jom jadi pembayar cukai yang bijak dan berjiwa besar!