LHDN Sedia Rangka Kerja Semakan Pematuhan, Sokong Pelaksanaan e-Invois

Pada 15 Disember 2025, pihak LHDN telah mengeluarkan Rangka Kerja Semakan Pematuhan e-invois, iaitu dokumen yang menerangkan bagaimana LHDN akan menyemak pematuhan e-Invois sekiranya sesuatu perniagaan dipilih untuk semakan. Ia menjelaskan apa yang akan diperiksa, dokumen yang perlu disediakan, serta hak dan tanggungjawab pembayar cukai sepanjang proses semakan.

Berbeza dengan Garis Panduan e-Invois yang menerangkan cara mengeluarkan e-Invois, rangka kerja ini lebih kepada proses semakan dan tindakan LHDN selepas e-Invois dilaksanakan.

Langkah ini menandakan fasa baharu dalam pelaksanaan e-Invois daripada fasa “belajar dan menyesuaikan diri” kepada fasa pemantauan dan penguatkuasaan.

Tujuan dia ringkas:

  • Nak pastikan e-Invois betul-betul dilaksanakan.
  • Menggalakkan pematuhan secara sukarela terhadap undang-undang dan peraturan percukaian selaras dengan pelaksanaannya.

Muat turun RANGKA KERJA SEMAKAN PEMATUHAN E-INVOIS

Kami ringkaskan prosesnya supaya senang faham:

1. Pemilihan Kes

LHDN akan memilih perniagaan tertentu berdasarkan:

  • Data sistem e-Invois
  • Profil risiko
  • Maklumat daripada pelbagai sumber

Secara logiknya perniagaan yang memiliki transaksi e-invois yang tidak konsisten, tidak lengkap atau pelik datanya akan dipilih.

2. Notis Semakan Dikeluarkan

LHDN akan mengeluarkan notis sekurang-kurangnya 14 hari lebih awal.

Dalam notis itu akan dinyatakan:

  • Tarikh semakan
  • Pegawai LHDN yang terlibat
  • Tahun taksiran yang disemak
  • Senarai dokumen yang perlu disediakan

3. Lawatan & Semakan

Pegawai LHDN akan datang ke premis perniagaan untuk:

  • Semak invois jualan dan belian
  • Semak e-Invois (termasuk self-billed & consolidated)
  • Semak rekod akaun dan penyata bank
  • lain-lain dokumen yang berkaitan.

Tempoh semakan biasanya melibatkan sehingga 2 Tahun Taksiran.

4. Keputusan Semakan Dikeluarkan

Selepas semakan, LHDN akan tentukan status perniagaan:

  • ✅ Patuh
  • ⚠️ Tidak patuh
  • ℹ️ Dikecualikan

Antara kesalahan biasa:

  • Tidak keluarkan langsung e-Invois
  • Tidak keluarkan self-billed e-Invois
  • Tidak hantar consolidated e-Invois

5. Penalti & Penyelesaian (Jika Tak Patuh)

Jika didapati tidak patuh, LHDN akan mengeluarkan penyata kegagalan e-Invois bersama tawaran kompaun (denda).

6. Terima Atau Bantah

Jika pembayar cukai tidak berpuas hati dengan penemuan yang dikeluarkan, pembayar cukai boleh membuat bantahan secara rasmi dalam tempoh lapan belas (18) hari kalendar dari tarikh surat penemuan dengan mengemukakan maklumat tambahan dan bukti-bukti untuk menyokong bantahan.

Jika tiada respon dalam tempoh tersebut, keputusan akan dianggap diterima secara automatik. Pembayar cukai yang bersetuju dengan penemuan semakan pematuhan e-Invois boleh menghubungi Cawangan Guaman Lembah Klang atau Seksyen Undang-Undang LHDNM Negeri yang berkenaan untuk pembayaran kompaun.


e-Invois bukan lagi sekadar sistem baharu yang “boleh buat kemudian”, tetapi sudah menjadi asas disiplin perniagaan moden.

Ramai peniaga beranggapan e-Invois ini hanya isu teknikal; soal sistem, software atau IT semata-mata. Hakikatnya, e-Invois menyentuh cara perniagaan beroperasi secara menyeluruh:
daripada cara merekod jualan, mengurus pembelian, menyimpan dokumen, hinggalah kepada ketelusan aliran wang masuk dan keluar.

Semakan pematuhan ini boleh menjadi wake-up call yang mahal.

Perlu difahami juga, semakan ini bukan bertujuan menghukum semata-mata. Ia lebih kepada memastikan perniagaan berada di landasan yang betul selari dengan transformasi sistem percukaian negara

Previous ArticleNext Article

Tempoh Kelulusan Badan Penerima Derma Cukai Subseksyen 44(6) Kini Terhad 10 Tahun

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan penetapan terkini tempoh kelulusan bagi layanan cukai ke atas Institusi / Organisasi / Tabung (IOT) di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967). Mulai 27 November 2025, had tempoh kelulusan bagi IOT di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 ditetapkan untuk tempoh maksimum sepuluh (10) tahun sahaja. Antara manfaat cukai yang berkaitan dengan kelulusan yang diberikan ialah tolakan cukai ke atas derma atau sumbangan yang diberikan kepada IOT (terhad kepada 10% daripada pendapatan agregat individu atau syarikat) dan pengecualian ke atas semua pendapatan yang diterima oleh IOT sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa.

Sehubungan dengan itu, bagi mana-mana IOT yang akan tamat tempoh kelulusan pada 31 Disember 2025 sepertimana yang telah dimaklumkan oleh pihak HASIL, surat pemakluman yang baharu akan dikeluarkan kepada IOT yang berkenaan bagi menjelaskan pemakaian tempoh kelulusan 10 tahun ini. Walau bagaimanapun, manamana IOT yang telah diberikan kelulusan baharu atau lanjutan oleh pihak HASIL sebelum 27 November 2025, tempoh yang dinyatakan dalam kelulusan tersebut adalah kekal dan tempoh baharu 10 tahun akan hanya dipertimbangkan selepas tempoh kelulusan tersebut berakhir.

HASiL akan menjalankan semakan pematuhan syarat-syarat kelulusan secara menyeluruh dari semasa ke semasa sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa dengan mengambil kira tempoh penyimpanan dokumen dan had masa yang telah diperuntukkan di bawah ACP 1967.

IOT hendaklah sentiasa memastikan pematuhan penuh terhadap semua syarat kelulusan sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan yang berkuat kuasa. Sekiranya terdapat pelanggaran syarat-syarat kelulusan, kelulusan IOT di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 boleh ditarik balik dan pendapatan IOT tersebut boleh dikenakan cukai sepertimana ditetapkan di bawah subsubperenggan 13(1)(a) Jadual 6, ACP 1967.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi kami menerusi:

a) Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara);

b) HASiL Live Chat; dan

c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/