Nak Kaya Tanpa Bayar Cukai Atau Nak Kaya Dengan Cukai? (Kemaskini 2025)

Bagi mereka yang berkerja, rata-rata merasakan bahawa membayar cukai adalah sesuatu yang agak membebankan jika tidak diurus dengan betul. Potongan Cukai Berjadual (PCB) telah ditetapkan bagi mereka yang bergaji. Kalau boleh taknak bayar cukai, lagi bagus.

Bagi yang berniaga atau mempunyai pendapatan selain gaji pula, komitmen cukai datang dalam bentuk lain – contohnya bayaran ansuran CP500 beberapa kali setahun. Setiap notis CP500 yang sampai dianggap satu lagi “bil tambahan” yang perlu dijelaskan.

Hakikatnya LHDN menjelaskan ambang pendapatan sekitar RM37,333 setahun dan ke atas (lebih kurang RM3,111 sebulan) sebagai panduan kasar siapa yang perlu mula ambil berat tentang fail cukai.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini:

  • Kadar cukai individu kekal progresif – dari 0% untuk pendapatan bercukai rendah, naik secara berperingkat hingga sekitar 30% untuk pendapatan bercukai melebihi RM2 juta.
  • Banyak pelepasan cukai ditambah baik (pendidikan, gaya hidup, rawatan perubatan ibu bapa, gaya hidup, dll.)

Nombor TIN dan Era Digital

Mulai tahun 2022 bagi memperluaskan asas cukai pendapatan, kerajaan telah mengumumkan penggunaan nombor pengenalan cukai (atau TIN) bagi memperluaskan asas cukai pendapatan.

  • Warganegara dan pemastautin tetap berumur 18 tahun ke atas akan didaftarkan TIN secara automatik / atau mudah daftar melalui portal MyTax.

Pada masa sama, e-Invois pula sedang dilaksanakan secara berfasa:

  • 1 Ogos 2024 – Syarikat dengan jualan > RM100 juta
  • 1 Januari 2025 – Jualan RM25 juta – RM100 juta
  • 1 Julai 2025 – Jualan RM5 juta – RM25 juta
  • 1 Januari 2026 – RM1 juta – RM5 juta
  • 1 Julai 2026 – Selebihnya termasuk mikro

Pilihan 1: Nak Kaya Tanpa Cukai

Secara teorinya ada beberapa cara orang cuba buat:

  • Kekalkan pendapatan bawah ambang cukai (gaji rendah).
  • Tak lapor pendapatan perniagaan, semuanya secara cash dan masuk akaun personal.
  • Elak simpan rekod, supaya rasa tak dijejak.

Masalahnya:

  1. Susah berkembang
    • Tanpa akaun untung rugi yang cantik, sukar nak dapat pembiayaan bank untuk beli rumah, kedai, mesin, lori dan sebagainya.
    • Nampak kaya di media sosial, tapi miskin di mata bank.
  2. Risiko undang-undang & audit
    • Dengan TIN + e-Invos, transaksi perniagaan semakin senang dikesan.
    • Kalau hari ini lepas, risiko itu tetap ada di masa hadapan.
  3. Susah urus harta & legasi
    • Bila semua harta guna nama orang lain, sukar untuk urus wasiat, hibah, faraid, malah boleh timbul isu faraid di kemudian hari.

Pilihan 2: Nak Kaya Dengan Cukai

Mereka yang makan gaji:

Gaji → PCB → e-Filing

  • Majikan potong PCB setiap bulan.
  • Hujung tahun, anda isi e-Filing.
  • Lepas isi semua pelepasan cukai, sistem kira balik berapa cukai PATUT bayar.
  • Kalau PCB terlebih potong, dapat refund.

Fokus naik pendapatan, bukan lari cukai

  • Contoh: gaji naik RM1,000 setahun. Cukai mungkin naik sikit je (ratus-ratus), tapi gaji bersih masih naik banyak.
  • Kalau asyik fikir “tak nak bayar cukai langsung”, akhirnya anda sendiri akan tersangkut pada gaji rendah.

Pindahkan duit lebih dalam pelaburan
Duit lebihan dari gaji boleh dialihkan kepada:

Mereka yang berniaga:

Bayar cukai = bukti bisnes sihat

  • Penyata kewangan yang tunjuk untung dan cukai dibayar jadi “CV” perniagaan kita di mata bank.
  • Lagi cantik akaun, lagi mudah dapat:
    • Pembiayaan untuk beli kilang / pejabat
    • Overdraft untuk modal kerja
    • Pembiayaan mesin, lori, van, sistem dan sebagainya

Contohnya secara konsep:

  • Kalau perniagaan konsisten bayar cukai sekitar RM2,400 setahun (lebih kurang RM200 sebulan), itu sebenarnya menggambarkan perniagaan kita berdaya maju.
  • Untung inilah yang bank gunakan sebagai asas menilai kemampuan bayaran balik ansuran – mungkin layak pembiayaan dengan ansuran beberapa ribu sebulan untuk membeli aset produktif (premis, mesin, dll.).

Rancang Cukai (Tax Planning)

Golongan yang serius merancang cukai biasanya sudah berfikir dari awal lagi. Ini mindset orang yang betul-betul nak kaya secara tersusun:

  • Dari awal lagi, dah fikir:
    • “Kalau income aku naik ke level sekian, berapa anggaran cukai?”
    • “Berbaloi tak aku upgrade dari perniagaan milikan tunggal kepada syarikat?”
  • Kerana itu, mereka tidak keberatan untuk mendapatkan khidmat profesional. Mereka sanggup bayar:
    • Akauntan
    • Penasihat cukai
  • Mereka sedar bahawa cukai tetap perlu dibayar apabila pendapatan meningkat, sama ada sebagai makan gaji atau usahawan. Cukai dilihat sebagai kos yang wajar untuk memiliki kewangan yang lebih stabil supaya lebih mudah merancang kewangan, membina aset dan mengurus legasi harta dengan teratur.

Contohnya untuk usahawan, langkah paling asas tetapi paling besar impaknya ialah asingkan duit bisnes dan duit peribadi. Buka satu akaun bank khas untuk bisnes dan pastikan semua jualan masuk ke akaun tersebut, manakala semua perbelanjaan bisnes (stok, iklan, pos, sewa, utiliti, gaji pekerja) juga dibayar daripada akaun yang sama. Jangan campur-adukkan dengan akaun peribadi. Bila aliran tunai bisnes terkumpul di satu tempat, lebih senang nak nampak berapa sebenarnya hasil, kos dan untung bersih; dari situlah anda boleh rancang anggaran cukai, jawab soalan LHDN dengan yakin, dan urus CP500 tanpa perlu meneka-neka.

Inilah maksud “kaya dengan cukai”. Bukan seronok bayar cukai tinggi, tetapi pendapatan dan aset berkembang jauh lebih laju daripada cukai yang dibayar.

Bila pendapatan kita naik sama ada melalui gaji atau perniagaan, soal cukai memang tidak boleh lari. Bezanya cuma cara kita berfikir:

  • Sama ada nak “kaya tapi senyap-senyap” : dengan risiko undang-undang, susah dapat pembiayaan dan harta sukar diurus;
  • Atau nak “kaya dengan rekod yang bersih” : cukai berbayar, akaun teratur, senang bina aset dan tinggalkan legasi yang jelas untuk keluarga.

Orang yang benar-benar serius tentang kewangan akan:

  1. Terima hakikat bahawa cukai itu wujud, bukan habiskan tenaga cari jalan macam mana nak elak.
  2. Guna semua ruang yang sah – pelepasan dan rebat.

Sama ada anda makan gaji, buat bisnes kecil-kecilan mahu pun besar-besaran, peniaga online atau “trader tegar”, silap urus cukai boleh buat untung bocor tanpa sedar. Ilmu yang betul boleh tukar “bayar lebih” kepada jimat lebih. Kami bercadang untuk menerbitkan e-book tentang penjimatan cukai. Jika berminat boleh isi borang ini –> 70 Rahsia Penjimatan Cukai

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Apa Sebenarnya Isu dengan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT)?

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai usahawan berkongsi pengalaman berhubung kewajipan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ke atas bayaran kepada syarikat luar negara seperti Meta, Google dan platform digital lain.

Ada yang menganggap WHT sebagai cukai baharu LHDN. Ada pula yang mempersoalkan kenapa perlu membayar WHT sedangkan mereka sudah membayar SST.

Sebenarnya, konsep WHT bukan perkara baharu. Persoalannya ialah mengapa ia kini menjadi perhatian ramai, khususnya dalam kalangan usahawan digital. Kenapa sebenarnya Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ini menjadi isu dalam kalangan usahawan yang menggunakan platform pengiklanan digital?

Jawapannya terletak pada bagaimana cara perniagaan beroperasi hari ini.

Dulu, iklan banyak dibelanjakan dalam negara.

Syarikat akan beli ruang iklan di surat khabar, stesen TV atau radio tempatan.

Media tempatan memperoleh pendapatan.

Pekerja mereka dibayar gaji.

Syarikat pula membayar cukai pendapatan di Malaysia.

Hari ini, landskap sudah berubah.

Ramai usahawan beriklan di Facebook, Instagram, Google dan TikTok.

Setiap bulan, ada yang membelanjakan ribuan, malah jutaan ringgit.

Tetapi bayaran itu tidak lagi diterima oleh syarikat tempatan.

Ia dibayar kepada syarikat di luar negara.

Persoalannya…

Patutkah Malaysia mempunyai hak mengenakan cukai ke atas sebahagian daripada pendapatan yang dijana daripada pasaran Malaysia?

Di sinilah perlunya konsep Withholding Tax (WHT).

WHT bukan bermaksud syarikat luar negara tidak membayar cukai di negara mereka. Mereka mungkin tetap dikenakan cukai mengikut undang-undang negara masing-masing. Jadi kerajaan Malaysia berpendapat, negara ini juga patut ada sedikit hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu yang keluar ke luar negara.

Oleh sebab syarikat tersebut berada di luar bidang kuasa LHDN, undang-undang meletakkan tanggungjawab kepada pihak yang membuat bayaran di Malaysia untuk memotong dan meremit cukai tersebut jika bayaran itu tertakluk kepada WHT.

Contoh

Bayangkan ada dua content creator.

Amir tinggal di Malaysia. Sebuah syarikat kosmetik Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan promosi. Amir akan melaporkan pendapatan itu dan membayar cukai di Malaysia.

Alex pula tinggal di Ireland. Syarikat kosmetik yang sama di Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan yang menyasarkan pelanggan di Malaysia. Alex juga mungkin akan membayar cukai di Ireland mengikut undang-undang negara tersebut.

Persoalannya, bayaran RM100,000 itu datang daripada syarikat Malaysia. Adakah Malaysia juga patut mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tersebut?

Inilah antara rasional kewujudan Withholding Tax (WHT).

WHT bukan bermaksud Alex tidak membayar cukai di Ireland. Sebaliknya, ia merupakan mekanisme yang membolehkan Malaysia mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu kepada bukan pemastautin apabila syarat-syarat di bawah undang-undang dipenuhi.

Antara bayaran yang lazim tertakluk kepada WHT ialah:

  • Royalti (Seksyen 109)
  • Faedah (Seksyen 109)
  • Perkhidmatan, pengurusan atau khidmat khas (Seksyen 109B)
  • Pendapatan artis luar negara (Seksyen 109A)
  • Pendapatan kontrak (Seksyen 107A)

Namun, bukan semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Sama ada WHT terpakai bergantung kepada jenis bayaran, fakta sesuatu transaksi serta jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Apa jadi kalau WHT tidak dipatuhi?

Bayangkan sebuah syarikat kosmetik di Malaysia.

Setiap bulan syarikat ini beriklan di Facebook dan Instagram.

Sepanjang tahun, jumlah belanja iklan mencecah RM1 juta.

Walaupun jumlah itu terkumpul sepanjang tahun, kewajipan WHT tidak timbul di hujung tahun. Sebaliknya, ia perlu dipatuhi bagi setiap bayaran yang dibuat kepada Meta Platforms Ireland Ltd (dahulunya dikenali sebagai Facebook Ireland Ltd) .

Berapa kadar WHT yang perlu dibayar?

Bayaran kepada Meta Platforms Ireland Limited bagi pengiklanan digital tertakluk kepada WHT sebagai royalti. Ramai menyangka kadarnya sentiasa 10%.

Namun bagi Meta, keadaannya sedikit berbeza.

Ini kerana Meta mengeluarkan invois kepada pelanggan Malaysia melalui Meta Platforms Ireland Limited, manakala Malaysia dan Ireland mempunyai Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Jika syarat-syarat DTA dipenuhi, kadar WHT yang dikenakan ialah 8%, berbanding kadar domestik 10%.

Jika bayaran kepada Meta Platforms Ireland Ltd tertakluk kepada WHT tetapi syarikat gagal mematuhi kewajipan tersebut, kesannya bukan sekadar perlu membayar WHT.

Perbelanjaan iklan RM1 juta itu juga boleh tidak dibenarkan sebagai potongan cukai di bawah perenggan 39(1)(j) Akta Cukai Pendapatan 1967 sehingga WHT dijelaskan.

Katakan syarikat itu memperoleh untung sebelum cukai RM2 juta.

Jika WHT dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Tolak kos iklan: RM1,000,000
  • Pendapatan bercukai: RM1,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM240,000

Jika WHT tidak dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Kos iklan RM1,000,000 tidak dibenarkan
  • Pendapatan bercukai: RM2,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM480,000

Perbezaan cukai: RM240,000.

Itu belum mengambil kira WHT yang masih perlu dijelaskan serta kenaikan jika lewat dibayar.

WHT bukan untuk iklan di sosial media sahaja

Ramai ingat WHT hanya berkaitan pengiklanan di Meta (Facebook & Instagram), Google Adwords atau TikTok Ads.

Sebenarnya tidak.

WHT telah lama wujud dan melibatkan pelbagai jenis bayaran kepada syarikat atau individu bukan pemastautin.

Antaranya ialah:

🛠️ Perkhidmatan

Contohnya sebuah kilang di Malaysia mengupah jurutera dari Jepun untuk memasang mesin.

💻 Perisian dan langganan digital

Contohnya bayaran lesen perisian, cloud computing atau platform AI kepada syarikat luar negara. (Tertakluk kepada fakta dan jenis bayaran.)

🎬 Content creator atau influencer luar negara

Contohnya syarikat kosmetik Malaysia membayar influencer di Korea Selatan untuk mempromosikan produk kepada pelanggan Malaysia.

🏷️ Royalti

Contohnya, sebuah syarikat Malaysia membayar royalti kepada pemilik jenama luar negara untuk menggunakan jenama tersebut di Malaysia.

Bagaimana hendak membayar WHT?

Jika sesuatu bayaran memang tertakluk kepada WHT, proses pembayarannya kini dibuat secara dalam talian melalui Portal MyTax menggunakan aplikasi e-WHT. LHDN menggalakkan pembayar cukai mengemukakan borang dan membuat bayaran melalui platform ini.

Secara ringkas, prosesnya adalah seperti berikut:

  1. Log masuk ke MyTax.
  2. Pilih ezHasil Services → e-WHT.
  3. Pilih borang WHT yang berkaitan (contohnya CP37 untuk royalti).
  4. Masukkan maklumat pembayar, penerima (termasuk TIN) dan butiran bayaran.
  5. Jana Bill Number.
  6. Buat pembayaran melalui ByrHASiL (FPX) atau saluran pembayaran yang dibenarkan.
  7. Muat turun resit pembayaran untuk simpanan rekod.

Tip: Antara cabaran yang sering dihadapi usahawan ialah mendapatkan maklumat penerima seperti Tax Identification Number (TIN) bagi syarikat luar negara. Jika TIN penerima belum tersedia, pembayar cukai boleh mendapatkan bantuan daripada LHDN melalui [email protected]

Kesimpulannya

Kita perlu faham bahawa WHT adalah mekanisme yang digunakan untuk memberi hak percukaian kepada Malaysia ke atas bayaran tertentu yang mengalir ke luar negara.

Ramai usahawan bukanlah mempertikaikan hak kerajaan untuk mengutip cukai. Apa yang mereka rungutkan ialah beban yang semakin bertambah.

Hari ini, mereka sudah pun membayar SST 8% ke atas perkhidmatan iklan digital. Dalam masa yang sama, timbul pula isu WHT yang memerlukan proses pengemukaan borang CP37 dan bayaran secara manual kepada LHDN.

Sebab itulah ada yang merasakan kos semakin tinggi, walaupun SST dan WHT sebenarnya merupakan dua cukai yang berbeza.

Namun, dalam era ekonomi digital hari ini, mungkin sudah tiba masanya mekanisme ini ditambah baik.

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah:

  • Mewujudkan nilai ambang (threshold), sebagai contoh, hanya syarikat yang mempunyai hasil jualan tahunan melebihi jumlah tertentu diwajibkan mematuhi WHT bagi transaksi digital, manakala perusahaan mikro dan kecil diberi pengecualian
  • Menyediakan mekanisme pemotongan automatik melalui platform seperti Meta atau Google, seperti mana SST digital dikutip hari ini. Ini mengurangkan beban usahawan yang perlu memproses dan meremit sendiri WHT.
  • Memberikan tempoh pengampunan kepada pembayar cukai yang ingin membuat pengakuan secara sukarela tanpa dikenakan penalti 10%.

Bagi pembaca yang ingin memahami bagaimana mahkamah mentafsirkan isu Withholding Tax, berikut beberapa keputusan kes yang boleh dijadikan rujukan:

  • Kes Mahkamah Berkaitan WHT: Glocomp Systems (M) Sdn Bhd
    • Mahkamah Tinggi (Glocomp Systems (M) Sdn Bhd v KPHDN)
      Glocomp mencabar tindakan LHDN yang mengenakan WHT ke atas bayaran kepada Symantec Singapura. Mahkamah Tinggi memihak kepada Glocomp dan memutuskan bahawa bayaran tersebut bukan royalti, sebaliknya merupakan business profits di bawah DTA Malaysia–Singapura.
    • Mahkamah Rayuan (KPHDN v Glocomp Systems (M) Sdn Bhd)
      LHDN merayu keputusan tersebut. Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan LHDN. Namun, keputusan itu bukan kerana mahkamah memutuskan bayaran tersebut semestinya tertakluk kepada WHT. Sebaliknya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Glocomp sepatutnya menggunakan saluran rayuan cukai yang disediakan oleh Akta Cukai Pendapatan, iaitu melalui Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), dan bukannya terus memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
  • Wira Swire Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – Kes ini menunjukkan bahawa tidak semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Jika terdapat Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), hak Malaysia untuk mengenakan WHT mungkin terhad. Dalam keadaan tertentu, pendapatan tersebut hanya dikenakan cukai di negara tempat syarikat itu bermastautin.
  • Alwan Enterprise Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – jika pertikaian itu memerlukan penelitian terhadap kontrak dan fakta transaksi, tempat yang sesuai untuk menyelesaikannya ialah Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), bukannya terus membawa kes ke Mahkamah Tinggi.

Anda juga boleh merujuk:

Artikel ini bertujuan memberi penerangan umum mengenai konsep Withholding Tax (WHT). Contoh yang diberikan adalah untuk tujuan ilustrasi bagi memudahkan pemahaman pembaca. Sama ada sesuatu bayaran kepada bukan pemastautin tertakluk kepada WHT bergantung kepada fakta transaksi, jenis bayaran, peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 serta, jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA). Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada penasihat cukai berlesen atau merujuk LHDN bagi menentukan layanan cukai yang tepat mengikut keadaan masing-masing.