Dana Kecemasan: Kenapa Anda Perlukannya Sekarang, Dan Bagaimana Untuk Membinanya

Dana kecemasan ialah wang yang diperuntukkan untuk perkara yang tidak dijangka. Kereta rosak, motor rosak, bencana alam, rawatan penyakit yang memerlukan kos rawatan tinggi atau kehilangan punca pendapatan.

Dana kecemasan akan bertindak menampung perbelanjaan luar dugaan ini.

Jadi, tidaklah terjejas tabung simpanan lain.

Adakah Kita Benar-Benar Tahu Apa Sebenarnya Dana Kecemasan?

Wang yang diperuntukkan untuk krisis yang tidak dijangka seperti pemberhentian kerja atau penyakit tiba-tiba adalah dana kecemasan. Anda pastinya mempunyai Takaful atau insuran perubatan, tetapi itu juga bukan suatu jaminan.

Bagaimana pula jika anda kehilangan pekerjaan, yang juga bermakna kehilangan satu sumber Takaful atau insuran? Atau anda tidak dapat membayar premium untuk Takaful atau insurans kesihatan peribadi kerana kehilangan gaji tetap? Dana kecemasan adalah pertaruhan terbaik anda.

Secara umumnya, dana kecemasan adalah bersamaan dengan 3-6 bulan perbelanjaan purata anda – termasuk makanan, bil utiliti, kos pengangkutan, pembayaran balik pinjaman, perbelanjaan pendidikan anak-anak, dan sebagainya. Jika perbelanjaan bulanan purata anda ialah RM 6,000, anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM 18,000 hingga RM 36,000 dalam akaun bank.

Jangan sibuk labur sana sini kalau simpanan kecemasan pun belum ada.

Dana kecemasan mesti mudah diakses – ia boleh ditarik balik dan digunakan pada bila-bila masa. Menyimpan dana anda dalam akaun simpanan adalah pilihan yang baik.

Ada diantara kita menggangap hartanah atau deposit tetap sebagai dana kecemasan – ini salah sama sekali.

Sebab utamanya adalah kerana anda tidak dapat menjual dan memaksimumkan harta anda dengan cepat. Begitu juga dengan simpanan tetap – ia mengehadkan akses kerana seseorang tidak boleh menarik balik dana tersebut sebagai satu pilihan apabila ditekan oleh keadaan yang tidak dijangka. Ia juga mungkin bermakna kehilangan faedah yang diperoleh, atau dikenakan penalti.

Jadi Apakah Kelebihan Mempunyai Dana Kecemasan?

Tidak bergantung kepada pinjaman: Dengan dana kecemasan yang ada, tidak perlu lagi bergantung pada pinjaman apabila anda memerlukan wang tunai segera ketika menghadapi masalah yang tidak dijangka. Anda mesti sudah sedia maklum bahawa pinjaman mempunyai kadar faedah yang tinggi. 

Mengekalkan rasa hormat diri: Anda tidak perlu bersusah payah membuat pinjaman atau yang paling penting, tidak perlu menebalkan muka meminta wang pada rakan dan keluarga. Jika kita mempunyai dana kecemasan yang mencukupi, kita boleh mengawal semuanya. 

Kebebasan: Jika anda mahu mengejar sesuatu yang anda impikan atau ingin merantau ke tempat yang ingin dikunjungi, ya, inilah peluang anda! Anda perlu mempunyai dana kecemasan kerana ia akan memberikan kebebasan kewangan dan membantu anda meneruskan impian tadi.

Tetapi Bagaimana Untuk Mula Bina Dana Kecemasan?

Memulakan dana kecemasan mungkin kelihatan sukar, tetapi terdapat langkah praktikal yang mudah yang boleh anda mulakan:

  1. Mengutamakan perbelanjaan anda

Memutuskan jumlah tertentu yang boleh diketepikan setiap bulan selepas mengambil kira semua perbelanjaan bulanan termasuk pembayaran balik pinjaman. Masukkan wang yang disimpan ini setiap bulan dalam dana kecemasan dan jangan difikirkan lagi.

  1. Gunakan aplikasi belanjawan

Anda juga boleh bergantung pada teknologi untuk mengutamakan perbelanjaan. Aplikasi belanjawan seperti BNM My Tabung membolehkan anda menetapkan perbelanjaan dan menjejak secara teliti perbelanjaan yang dibuat. Bagi mereka yang ingin mempunyai cengkaman yang mantap pada perbelanjaan kad kredit, Fast Budget adalah suatu aplikasi yang sangat membantu. Aplikasi MoneyLover untuk pengawasan anggaran dan perbelanjaan yang lebih terperinci dengan pelbagai alat kewangan yang lebih luas.

  1. Jimat wang secara automatik

Azam seseorang individu itu perlu kuat untuk jimatkan duit, tapi kebanyakannya tidak konsisten. Jika anda memiliki kekurangan ini, automasi wang simpanan adalah pilihan terbaik. Dengan mengautomasikan arahan tetap untuk membuat pemindahan wang bulanan, anda boleh mengepam peratusan tertentu daripada gaji bulanan ke akaun bank berasingan untuk tujuan menabung.

  1. Memperluaskan sumber pendapatan

Cari sumber pendapatan lain untuk meningkatkan dana bulanan; anda boleh menjadi tutor atau pemandu separuh masa (Grab) atau bahkan mengambil bahagian dalam kaji selidik (online survey) dalam talian. Wang tambahan yang anda dapati akan memberi perbezaan yang besar.

  1. Simpan secara drastik untuk tempoh yang lebih pendek

Kalau mampu anda boleh pilih pendekatan yang lebih agresif. Tetapkan sasaran simpanan dan kurangkan perbelanjaan anda secara drastik untuk tempoh yang singkat. Sebagai contoh, anda boleh menetapkan sasaran untuk menyimpan 50% daripada jumlah pendapatan bulanan selama 1 tahun.

  1. Masukkan bonus ke dalam dana kecemasan

Bonus bukan hanya bertujuan untuk perbelanjaan mahal seperti kereta baru atau bercuti. Mendapat bonus juga boleh menjadi peluang yang baik untuk meningkatkan dana kecemasan anda. Masukkan keseluruhan bonus tadi ke dana kecemasan anda sehingga sasaran dipenuhi, dan tunggu bonus seterusnya untuk membeli kereta. Percayalah, anda tidak akan menyesal dengan keputusan ini.

  1. Mempelbagaikan tabung simpanan

Akaun simpanan adalah pilihan yang baik untuk mengekalkan dana kecemasan anda kerana kecairannya. Terdapat juga banyak akaun tabungan faedah yang boleh anda pertimbangkan untuk meningkatkan simpanan.

Pada pendapat kami, tidak ada yang lebih penting daripada menyediakan dana kecemasan. Dan jika anda merasakan bahawa mengasingkan perbelanjaan untuk 3-6 bulan tidak mencukupi, teruskan dan menambah dana anda sebanyak yang anda mahukan.

Anda juga dinasihatkan untuk menggalakkan ahli keluarga dan rakan anda untuk membina dana kecemasan sendiri dan melindungi diri pada hari hujan.

Seseorang tidak boleh membina dana kecesamsan sekaligus, tetapi memperuntukkan jumlah walaupun sedikit setiap bulan pasti dapat menjadikan sasaran yang boleh dicapai. Langkah-langkah kecil akan membawa kita jauh, dan meletakkan kita dalam kedudukan yang jauh lebih kuat untuk menghadapi cabaran yang tidak dijangka dalam kehidupan kita.

Dikarang oleh BBazaar Malaysia. Disiarkan secara eksklusif di MajalahLabur.com.

Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?

Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.

KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.

Previous ArticleNext Article

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.