Prestasi Saham Wall Street Merudum? Tiga Faktor Ekonomi Amerika Syarikat Yang Anda Perlu Tahu

Kalau anda nak tahu, pasaran saham Amerika Syarikat telah merekodkan kenaikan untuk tiga tahun berturut-turut. Kemenangan Donald Trump dalam Pilihanraya Amerika Syarikat pada tahun 2016 pada awalnya dianggap sebagai petanda buruk, namun sebaliknya yang berlaku.

Walaubagaimanapun, pasaran saham di negara itu merudum sejak bulan Oktober, jatuh hampir ke paras terendah yang pernah dicapai tahun lalu.

Dan terbaru pada hari Jumaat 14 Disember 2018, kejatuhaan terbaru telah direkodkan oleh Wall Street berikutan kebimbangan pelabur terhadap prestasi ekonomi global yang semakin perlahan.

Kejatuhan Didorong Ekonomi Perlahan

Aktiviti ekonomi dilihat semakin perlahan dengan data-data ekonomi kurang memberangsangkan terutamanya dari ekonomi kedua terbesar dunia iaitu China. Hal ini sekaligus telah membenam ketiga-tiga indeks utama Wall Street ke paras rendah.

Pada sesi dagangan Jumaat, Nasdaq jatuh hampir 2.3%, Dow Jones jatuh 2%, manakala S&P 500 susut 1.9%.

Tren Kejatuhan Indeks Dow Jones. Sumber : Investing.com

Seperti yang ditunjukkan pada carta di atas, Indeks Dow Jones mencapai paras tertinggi tahun ini pada 3 Oktober 2018 sebelum membuat kejatuhan ke paras terendah pada Jumaat (14 Disember 2018) lalu. Jika kedudukan semasa Wall Street kekal dan tiada kenaikan signifikan yang berlaku untuk baki 2018, kita akan menyaksikan kejatuhan Wall Street buat pertama kalinya sejak tiga tahun lalu.

Wall Street Jatuh, Pasaran Saham Lain Turut Jatuh

Kenapa? Kerana pasaran saham dan ekonomi Amerika Syarikat adalah yang terbesar di dunia dan sudah tentu ia mampu memberi kesan kepada pasaran saham global. Dan sebenarnya pasaran saham Asia juga telah menerima tempias negatif daripada kejatuhan Wall Street sejak tempoh tersebut, termasuklah di Malaysia sendiri.

Bagi Malaysia pula, kita ada FBMKLCI yang menjadi penanda aras Bursa Malaysia. Cuba tengok carta di bawah sebagai bukti kejatuhan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pada tempoh yang sama sejak Oktober.

Tren Kejatuhan Indeks KLCI. Sumber : Investing.com

3 Sebab Utama Penyumbang Perubahan Sentimen Pasaran Saham Amerika Syarikat

1. Momentum Saham Teknologi Yang Merudum

Pada puncak tertinggi yang dicapai pada Oktober, Dow Jones dan S&P 500 merekodkan kenaikan sebanyak 8% sejak awal 2018, manakala Nasdaq pula telah meningkat sebanyak 15%. Kenaikan ini dilihat banyak dipandu oleh sektor teknologi. Tengok saja Saham FAANG Di Amerika Syarikat Ditutup Pada Paras Tertinggi dan Syarikat Apple Kini Bernilai $1 Trilion US Dolar.

Kini kaunter-kaunter dominan seperti Apple dan Facebook merudum dan memberi kesan kepada pasaran secara keseluruhannya. Ketiga-tiga indeks utama kini jatuh sebanyak 10% daripada paras tertinggi yang dikatakan sebagai satu bentuk pembetulan harga (correction).

Memetik komen yang dibuat oleh strategist ekuti di US Bank Wealth Management, Terry Sandven berpendapat selagi sektor teknologi tidak pulih; selagi itu pasaran tidak akan membuat kenaikan semula.

2. Kenaikan Kadar Faedah Bank Pusat

The Federal Reserve (bank pusat Amerika Syarikat) telah menaikkan kadar faedah sebanyak tujuh kali daripada hanya 0.50% pada Disember 2016 kepada 2.25% pada September 2018.

Walaupun telah beberapa kali menaikkan kadar faedah, The Fed dijangka sekali lagi menaikkan kadar faedahnya pada Khamis (20 Disember 2018) daripada 2.25% kepada 2.50%.

Pasaran secara umumnya bimbang jika kadar faedah bank pusat terus dinaikkan, ia akan menyebabkan kos pinjaman semakin tinggi seterusnya mengurangkan pelaburan oleh sektor swasta.

Ambil tahu juga Apa Sebenarnya Tugas Utama Bank Pusat Di Sesebuah Negara?

3. Pertumbuhan Ekonomi Semakin Perlahan

Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat dijangka perlahan kepada 2.5% pada tahun 2019, susut daripada 3% tahun ini. Ia hasil penyelidikan oleh International Monetary Fund (IMF) dan Federal Reserve sendiri. Terdapat tanda-tanda yang memberikan isyarat ini, khususnya petunjuk ekonomi yang merekodkan kejatuhan.

Pada Oktober lepas, data jualan rumah telah merekodkan kejatuhan sebanyak lebih daripada 5% berbanding tahun lalu. Manakala perbelanjaan pembinaan juga merudum ditambah juga pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang kurang memberangsangkan.

Nasib yang sama dijangka melanda negara kita, di mana Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Dijangka Merosot – Kata Bank Dunia.

Dunia Sedang Menuju Krisis Ekonomi?

Memang tidak dinafikan, kita seolah-olah berada dalam kitaran 10-12 tahun sekali. Dan krisis ekonomi dijangka akan berlaku tidak lama lagi, atau telah pun bermula samada kita sedar atau pun tidak.

Tahun 1997 dengan Krisis Kewangan Asia, tahun 2008 pula kita ada Krisis Kewangan Global. Sama-samalah kita bersedia untuk menghadapinya.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters