Sub Topik
Sebenarnya kes urus pusaka akan menjadi sangat mudah apabila semua waris bersepakat dan membuat keputusan secara bersama-sama. Dan apabila satu kata sepakat boleh dibuat oleh semua waris, pengagihan mengikut faraid tidak perlu dilaksanakan pun.
Ini kerana kata muafakat yang telah dipersetujui oleh semua waris yang memudahkan urusan semua pihak.
Tapi masalah akan timbul hanya bila ada seorang sahaja waris yang tak bermuafakat. Maka akhirnya terpaksalah diagihkan harta mengikut bahagian faraid masing-masing.
Abang Tak Mahu Muafakat
Sebagai contoh, seorang ayah meninggal dunia, waris pusakanya adalah 3 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan. Si ibu telah 10 tahun meninggal dunia.
Arwah hanya meninggalkan sebuah rumah di kampung dan sejumlah wang dalam beberapa akaun simpanan.
Semua adik-beradik sepakat untuk memberikan rumah dan tanah di kampung kepada adik bongsu mereka, kerana dialah yang menjaga arwah ayah di saat akhir hayatnya.
Lagipun, keempat-empat abang dan kakak semua tinggal di bandar. Memang jarang balik kampung pun.
Tetapi, abang yang sulung tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Dia tetap mahukan semua harta pusaka ayah dibahagikan mengikut hukum faraid.
Jadi bagaimanakah sepatutnya pembahagian harta pusaka arwah?
Adakah masih perlu ikut faraid kalau waris lain dah ada kata sepakat cara untuk membahagikan harta tersebut?
Kaedah Umum
Secara dasarnya, apabila seseorang meninggal dunia, harta yang ditinggalkannya menjadi harta pusaka. Sebelum diagih-agihkan, harta pusaka arwah mesti digunakan untuk menyelesaikan urusan arwah dulu.
Contohnya seperti, kos pengurusan jenazah dan membayar semua hutang arwah sekiranya ada. Dan selepas itu, barulah diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid, kecuali dalam beberapa keadaan.
1. Wasiat
Jika arwah ada membuat wasiat, laksanakan dulu wasiat tersebut. Seperti wasiat sedekah kepada masjid dan sebagainya.
Baki harta selepas wasiat dilaksanakan barulah diagihkan kepada waris.
Rebut Saham Akhirat Dengan Infaq Dan Waqaf Bagi Pembinaan Bangunan Tahfiz Al Quran Al Ansar
2. Hibah
Sekiranya semasa hayat arwah, ada menyatakan hasratnya untuk memberikan sekian-sekian harta kepada sesiapa sahaja selepas kematiannya, maka itupun perlu dilaksanakan.
Tetapi perlu diingat, sekiranya arwah hanya menyatakan hasrat untuk hibah hartanya dengan mulut sahaja, tanpa ada dokumen hitam putih, maka dengan mudah dicabar oleh warisnya.
Oleh itu pastikan setiap hasrat dan perancangan harta kita semasa di dunia ini didokumentasikan dengan terperinci.
3. Permuafakatan Di Antara Waris
Ini adalah jalan penyelesaian yang lebih baik. Sekiranya SEMUA waris bersetuju dan bersepakat, maka pengagihan pusaka tersebut boleh dilaksanakan. Tetapi jika ada seorang sahaja waris yang tidak bersetuju, maka ia tidak boleh dilaksanakan.
Berbalik kepada masalah pengagihan pusaka tadi, walaupun majoiriti waris berhasrat untuk memberikan bahagian faraid mereka kepada adik bongsu mereka, tetapi apabila abang sulung tidak bersetuju maka ianya (pengagihah mengikut muafakat waris) tidak boleh dilaksanakan.
Oleh itu pembahagian faraid adik beradik ini adalah seperti berikut.
- 3 anak lelaki x 2 bahagian seorang = 6 bahagian
- 2 anak perempuan x 1 bahagian = 2 bahagian
- Jumlah Bahagian = 8 Bahagian
Bahagian faraid abang sulung adalah 2/8 ataupun ¼.
Andaikanlah rumah tersebut dinilaikan berharga RM100,000. Maka bahagian abang sulung ¼ adalah RM25,000.
Oleh itu, bagi memenuhi tuntutan si abang yang mahukan bahagian faraidnya, maka terpaksalah si adik bongsu membayar RM25,000 sebagai pampasan kepada abangnya jika dia mahu juga rumah pusaka tersebut.
Jika si adik tidak mempunyai wang tunai, maka akhirnya terpaksalah dijual rumah tersebut dan dibahagi-bahagikan kepada semua adik beradik mengikut faraid.
Walaubagaimanapun, sebenarnya ada cara lain supaya rumah tersebut tidak perlu dijual, abang sulung mendapat bahagiannya dan si adik dapat duduk rumah pusaka bapanya.
Semasa perbincangan antara waris mengenai pengagihan harta pusaka, cuba dapatkan bantuan kaunselor pusaka, sebagai orang tengah.
Mereka adalah orang yang tidak mempunyai kepentingan dalam harta pusaka tersebut. Jadi tiada isu kalau meraka akan cenderung kepada mana-mana waris.
Kebiasaannya kaunselor akan cuba menasihati waris supaya memahami konsep harta pusaka yang sebenar dan juga konsep hukum faraid yang sering disalahertikan.
Hanya sekadar nak dapatkan hak tapi taknak bertanggungjawab. Apa yang dicapai dalam perbincangan tersebut adalah “win-win situation”.
Kesimpulan
Harta pusaka yang melibatkan hartanah adalah harta yang susah nak diuruskan dan agak sensitif untuk dibicarakan.
Kerana nilai hartanah yang tinggi, seringkali waris sukar untuk bersepakat dalam membahagikan bahagian masing-masing. Akhirnya, seringkali juga rumah-rumah pusaka ini terpaksa dijual untuk waris mendapatkan wang tunai.
Oleh itu, semasa masih hidup rancanglah harta agar dapat memudahkan urusan waris selepas kita meninggal dunia kelak.
Khususnya harta yang dalam bentuk rumah, lebih baik sekiranya kita hibahkan terus kepada waris.