Apakah Hak Seorang Wanita Dalam Pembahagian Harta Suami?

“Bak sini kunci rumah ngan kereta, biar aku uruskan” kata Bang Long kepada isteri arwah.

Sudahnya lepas 3 tahun, isteri dan anak arwah satu apa pun tak dapat. Walaupun arwah ada anak lelaki.

Situasi ini sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita. Sama ada kita sedar atau tidak.

Berdasarkan pengalaman mengurus kes pusaka, kebiasaannya situasi ini terjadi kepada kaum isteri yang tidak bekerja dan menjadi surirumah sepenuh masa. Mereka sering menjadi mangsa kepada ahli keluarga lain yang rakus.

Para isteri seharusnya tahu dan pertahankan hak mereka. Tidak sepatutnya terus diam dan tidak mengambil apa-apa keputusan.

Hak Isteri Dalam Harta Suami

Seorang isteri mempunyai dua hak terhadap harta suaminya.

1. Harta sepencarian (sehingga 50%)

2. Bahagian faraid isteri. Bahagian faraid isteri pula terbahagi kepada 2 keadaan:
– ¼ Jika arwah suami tiada anak
– 1/8 Jika arwah suami mempunyai anak. Sebagai contoh, jika suami berpoligami, atau pernah berkahwin lain, dan mempunyai anak, walaupun bukan dengan si isteri tersebut, maka bahagian faraid isteri tetap 1/8.

Berkaitan harta sepencarian, ianya adalah hak yang boleh dituntut oleh si isteri sama ada ketika bercerai dengan suami (semasa hidup) ataupun ketika suami meninggal dunia.

Mungkin ada dalam kalangan isteri yang merasakan, dia tidak mempunyai hak terhadap harta seperti rumah, kereta dan barangan di dalam rumah kerana mereka tidak bekerja dan tidak pernah keluarkan duit pun untuk membeli harta tersebut.

Ini tidak benar.

Sebagai isteri, walaupun tidak sama-sama menyumbang dari sudut kewangan terhadap harta bersama, tetapi isteri telah menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Ini juga dikira sebagai sumbangan terhadap harta tersebut.

Sekiranya bercerai, ataupun suami meninggal dunia, isteri berhak membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah. Paling tinggi isteri boleh dapat sehingga 50% daripada harta sepencarian. Ianya bergantung kepada keputusan mahkamah.

Jika suami meninggal dunia, urusan tuntutan harta sepencarian yang dibuat dulu. Setelah selesai tuntutan, baki daripada harta pusaka suami tersebut baru diuruskan mengikut pembahagian faraid pula.

Dalam harta pusaka suami ini yang bahagian faraid isteri ada dua situasi. ¼ jika suami tidak pernah mempunyai anak dan 1/8 sekiranya suami mempunyai anak yang masih hidup.

Maknanya jika suami meninggal, bahagian harta yang berhak isteri terima adalah harta sepencarian sebanyak 50% (paling tinggi) ditambah pula ¼ & 1/8 bahagian faraid.

Inilah sebenarnya bahagian-bahagian harta yang berhak seorang isteri terima.

Isteri Tak Mampu Melawan Keluarga Suami

Walaupun hakikatnya bahagian harta yang berhak isteri terima adalah besar, tetapi isterilah pihak yang selalu dizalimi ketika urusan harta pusaka suami.

Sebagai perunding harta pusaka, saya sering menerima kes di mana keluarga arwah suami telah dengan tidak adilnya menguruskan pusaka anak lelaki mereka.

Antara yang membuat saya tergamam, ada satu kes di mana pada waktu pagi arwah suami selamat dikebumikan, di sebelah petang pula si isteri dihalau keluar daripada rumah oleh abang iparnya.

Si isteri dan anak-anak yang masih kecil disuruh balik ke rumah ibubapanya.

Katanya mereka akan uruskan pembahagian harta pusaka arwah. Akhirnya sehingga hari ini, selepas 5 tahun, isteri dan anak-anak langsung tidak mendapat apa-apa pun.

Nak tuntut di Mahkamah memerlukan kos pula. Kerana tiada pilihan, si isteri terpaksa redha.

Kesimpulannya, Islam adalah agama yang adil dan sangat memberi perhatian kepada kelebihan dan hak kaum wanita.

Cumanya wanita itu sendiri kena ambil tahu tentang hak-hak mereka dan berfikir jauh ke hadapan dengan membuat perancangan harta bersama suami semasa masih hidup lagi. Ini bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan di antara keluarga di kemudian hari.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.