Bolehkah Ibu Bapa Beri Hibah Kepada Anak-Anak Secara Sama Rata?

Jika sebelum ini, kita ada membicarakan perihal mengagihkan harta pusaka secara samarata, tidak mengikut bahagian faraid; kali ini kita bicara pula persoalan bolehkan ibubapa memberikan hibah secara sama rata kepada semua anak-anak tanpa mengikut aturan pembahagian faraid.

Baca: Bolehkah Kita Agih Harta Pusaka Sama Rata, Tanpa Mengikut Hukum Faraid?

Ini kerana timbul kekeliruan apabila ada yang menganggap bahawa ibubapa wajib memberikan hibah kepada anak-anak mengikut bahagian faraid yang sepatutnya mereka terima iaitu; bagi setiap satu bahagian anak perempuan, anak lelaki dapat dua bahagian.

Nisbah bahagian yang diterima anak lelaki berbanding anak perempuan adalah 2:1.

Contohnya, jika ibubapa nak beri hibah berbentuk wang tunai bernilai RM10,000 kepada seorang anak perempuan, maka hibah kepada anak lelaki haruslah bernilai RM20,000.

Ini sebenarnya tidak benar.

Pembahagian hukum faraid yang Allah nyatakan dalam ayat 11 Surah An-Nisa’ adalah berkaitan harta pusaka. Harta selepas pemiliknya meninggal dunia.

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.” (Surah An-Nisa’ : 11)

Ini adalah ketetapan yang telah Allah tentukan bagi urusan pengagihan harta pusaka. Tiada siapa yang boleh menyanggah dan menafikan hukum ini.

Walaubagaimanapun, pembahagian ini adalah aturan bagi hukum harta pusaka. Manakala hibah pula adalah ke atas harta orang yang masih hidup, maka ianya tidak tertakluk mengikut aturan faraid.

Oleh itu, aturan pembahagian hibah tidak perlu mengikut hukum pembahagian faraid (tetapi dijadikan sebagai panduan). 

Terpulang kepada si pemilik harta untuk memberi hibah kepada sesiapa yang dia inginkan, dan berapa banyak yang dia mahukan.

Dalam kes pemberian hibah secara umumnya, ulama’ sepakat bahawa digalakkan dan disunatkan kepada ibu bapa untuk memberikan hadiah (hibah) kepada anak lelaki dan anak perempuan secara sama rata.

Dalil yang menjadi sandaran kepada hukum ini adalah berdasarkan teguran nabi terhadap seorang ayah seperti yang diriwayatkan al-Nu’man Bin Bashir:

أَعْطانِي أبِي عَطِيَّةً، فَقالَتْ عَمْرَةُ بنْتُ رَواحَةَ: لا أرْضى حتّى تُشْهِدَ رَسولَ اللَّهِ ﷺ، فأتى رَسولَ اللَّهِ ﷺ، فَقالَ: إنِّي أعْطَيْتُ ابْنِي مِن عَمْرَةَ بنْتِ رَواحَةَ عَطِيَّةً، فأمَرَتْنِي أنْ أُشْهِدَكَ يا رَسولَ اللَّهِ، قالَ: أعْطَيْتَ سائِرَ ولَدِكَ مِثْلَ هذا؟، قالَ: لا، قالَ: فاتَّقُوا اللَّهَ واعْدِلُوا بيْنَ أوْلادِكُمْ، قالَ: فَرَجَعَ فَرَدَّ عَطِيَّتَهُ.

Maksudnya: Ayah memberikan hadiah kepadaku. Lalu ibuku (‘Amrah Binti Rawahah) berkata: Aku tak meredhai dan bersetuju dengan tindakan kau menghadiahi kepadanya sehinggalah kau meminta penyaksian (meminta kebenaran dan sokongan) daripada Nabi Muhammad SAW. Lalu ayah berjumpa Rasulullah SAW dan menceritakan kes yang berlaku lantas berkata: Aku memberikan kepada anak lelakiku sebuah hadiah tetapi isteriku menyuruh agar meminta kepastian daripadamu terlebih dahulu wahai Rasulullah. Lalu, Nabi Muhammad SAW melontarkan persoalan: Adakah anak-anak yang lain kau berikan hadiah yang sama seperti ini? Bapanya menjawab: Tidak. Lalu Nabi Muhammad SAW berkata: Bertakwalah kepada Allah dan berlakulah adil terhadap kesemua anakmu. Kemudian, ayah pulang dan meminta semula hadiah yang telah diberikan.

Hadis Riwayat al-Bukhari (2587)

Daripada hadis ini, Nabi menegur bapa kepada Nu’man yang hanya memberikan harta kepada Nu’man tetapi tidak kepada anak yang lain kerana ianya tidak adil.

Nabi bersabda; Bertakwalah kepada Allah dan berlakulah adil terhadap kesemua anakmu.

Ini menunjukkan berlaku adil itu lebih dekat dengan taqwa.

Bahkan jika dengan memberikan hibah secara sama rata kepada semua anak-anak dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli keluarga, maka lebih besarlah galakan untuk berlaku adil dengan semua anak-anak.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.