Suami Baru Meninggal Dunia, Apa Isteri Perlu Buat?

Kematian adalah perkara yang pasti berlaku kepada semua makhluk yang bernyawa.

“Setiap jiwa pasti akan merasakan mati.” – (Surah Ali-Imran : 185)

Samada kita bersedia atau tidak, apabila tiba masanya kita semua akan berpindah ke alam yang seterusnya; iaitu alam barzakh sebelum menuju alam akhirat.

Selalu bila kita dengar orang-orang di sekeliling kita ditinggalkan oleh pasangan, kita tidaklah terasa sangat. Tetapi bila ianya terjadi kepada diri sendiri, baru kita tahu betapa peritnya.

Pemergian orang yang tersayang adalah merupakan perkara yang amat sedih dan menyakitkan kerana setelah bertahun-bertahun hidup bersama, akhirnya terpaksa berpisah dengan asbab kematian.

Walaubagaimanapun, sebagai seorang isteri, anda perlu tahu apa yang mesti dilakukan setelah suami anda meninggal dunia.

Berikut adalah beberapa perkara yang mesti seorang isteri tahu apabila suami meninggal dunia.

1. Saya ada akses akaun bank dan wang tunai arwah suami. Boleh ke saya gunakan untuk kelangsungan hidup kami anak-beranak?

Secara asas, apabila seseorang meninggal dunia, semua harta yang dimiliki semasa hayatnya akan menjadi harta pusakanya.

Harta pula secara ringkas dapat dibahagikan kepada dua, iaitu:

  1. Harta tak alih seperti rumah dan tanah
  2. Harta alih seperti duit tunai, akaun bank dan kenderaan

Seperti yang kita telah sedia maklum, selepas seseorang itu meninggal dunia, duit dalam akaun bank si mati akan menjadi beku (freeze). Ianya ditahan oleh pihak bank sehingga waris dapat mengemukakan surat-surat berkaitan untuk mengeluarkan duit tersebut.

Tapi proses untuk bank membekukan akaun orang yang mati juga mengambil masa beberapa hari.

Jadi dalam tempoh itu bolehkah si isteri mengeluarkan duit (sebelum dibekukan) untuk kegunaan dirinya sendiri?

Sebelum menjawab persoalan ini, perlu difahami dahulu bagaimanakah cara untuk menguruskan duit tunai arwah tersebut.

  • Gunakan untuk mengurus jenazah, mandi, kafan dan kebumikan.
  • Gunakan untuk melunaskan semua hutang arwah. Hutang dengan Allah seperti nazar atau hutang dengan manusia seperti kad kredit, cukai LHDN, PTPTN dan lain-lain.
  • Jika ada wasiat yang ditinggalkan, sempurnakan wasiat arwah. Tidak lebih daripada 1/3 harta pusaka.
  • Dibahagikan kepada waris-waris berhak mengikut faraid.

Jadi secara tidak langsung telah menjawab persoalan adakah boleh isteri gunakan tunai yang ditinggalkan arwah untuk dirinya.

Secara umumnya, duit tunai arwah suami yang dipegang isteri tidak boleh digunakan terus untuk dirinya.

Walaubagaimanapun, si isteri boleh meminta kebenaran dan izin daripada semua waris yang berhak ke atas pusaka suami untuk gunakan duit tersebut.

Tetapi yang penting, dua urusan pertama; urus jenazah dan hutang si suami dilunaskan dahulu.

Waris-waris lain yang berhak ke atas pusaka suami boleh melepaskan hak mereka kepada ipar mereka (isteri si mati).

2. Boleh ke saya tuntut nafkah saya dan anak-anak daripada harta pusaka suami?

Seorang suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.

Walaubagaimanapun, kewajipan tersebut terhenti sebaik sahaja si suami meninggal dunia.

Tetapi si isteri boleh menuntut hak nafkah yang sepatutnya diberikan suami semasa hidupnya.

Dengan kata lain hak nafkah isteri dan anak adalah hutang suami yang telah meninggal dunia tersebut.

Tuntutan nafkah yang tertunggak tersebut boleh dibuat di Mahkamah Syariah.

3. Sebelum meninggal dunia, suami telah meletakkan saya sebagai penama bagi akaun KWSP, Tabung Haji dan takaful suami. Boleh saya guna untuk manfaat saya dan anak-anak?

Semak balik jenis penamaan yang dimaksudkan dengan merujuk di pejabat yang berkaitan.

Secara umumnya, terdapat dua jenis penamaan bagi akaun-akaun yang disebutkan di atas.

  • Penamaan wasi atau pemegang amanah
  • Penamaan benefisiari (Hibah)

Sama ada Tabung Haji atau pun takaful, ketiga-tiganya memberi pilihan kepada pemilik akaun untuk menamakan warisnya sebagai pemegang amanah atau benefisiari.

*Nota: akaun KWSP tidak boleh dihibahkan.

Jika suami anda meletakkan nama anda sebagai pemegang amanah, maka ia berbalik kepada hukum pusaka seperti yang dibincangkan sebelum ini.

Manakala jika suami anda meletekkan nama anda sebegai benefisiari, maka duit daripada akaun tersebut 100% menjadi hak anda.

4. Boleh ke saya nak dapatkan lebih daripada bahagian faraid yang sepatutnya saya dapat?

Jika mengikut pembahagian faraid, isteri akan mendapat 1/8 daripada harta pusaka suami jika mereka mempunyai anak dan 1/4 jika tiada anak.

Berbalik kepada persoalan di atas, boleh ke seorang isteri mendapatkan lebih lagi daripada 1/8 atau 1/4 harta pusaka suami?

Jawapannya boleh, ada dua cara:

  1. Melalui permohonan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah.
  2. Melalui rundingan harmoni bersama semua waris memohon pelepasan hak faraid.

Cara yang pertama isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah bagi harta-harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan.

Melalui tuntutan ini, sekiranya berjaya, isteri akan mendapat bahagian daripada Harta Sepencarian bersama suami dan juga bahagian daripada faraid.

Oleh itu, ya bahagian pusaka yang diperoleh isteri lebih banyak berbanding hanya mendapat bahagian daripada faraid.

Tetapi perlu diingat, apabila melibatkan urusan mahkamah, ada kos-kos yang perlu si isteri keluarkan. Dan ianya sudah pasti bukan murah.

Alternatif kepada membuat tuntutan harta sepencarian adalah dengan perbincangan bersama semua waris yang dipimpin oleh seorang kaunselor pakar supaya pembahagian harta pusaka si mati berjalan lancar dan harmanoi.

Kaunselor akan membantu semua waris memahami bahagian-bahagian faraid yang waris berhak terima seterusnya membantu waris untuk mencapai kata sepakat bagaimana harus dibahagikan harta pusaka tersebut.

Kesimpulan

Sememangnya sukar berhadapan dengan kematian suami lebih-lebih lagi pada hari atau minggu pertama pemergian si dia. Tetapi jangan lupa tentang tanggungjawab kita sebagai waris untuk menguruskan pusaka arwah suami.

Memang kadangkala urusannya rumit dan memeningkan. Oleh itu carilah mereka yang pakar tentang pengurusan pusaka dan minta mereka uruskan.

Dan sebab itu, adalah lebih baik jika si suami telah pun merancang pusakanya sebaik mungkin semasa hidupnya. Ini bagi memudahkan urusan isterinya nanti.

Baca juga Kelebihan Merancang Harta Melalui Syarikat Amanah

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Perkara Wajib Tahu Tentang Wasiat

Pernah dengar tak setiap kali ada kematian, pasti waris si mati berebut harta pusaka. Ada yang berebut antara adik-beradik, ada juga kes mak ayah berebut harta dengan menantu. Lagi teruk, ada yang sampai berbunuh! Itulah hakikat yang kita kena telan bila ramai yang ambil mudah dengan penulisan wasiat.

Kenyataan paling pahit yang anda perlu tahu ialah, ada RM70 billion nilai harta pusaka yang tak dituntut sejak merdeka, sehingga tahun 2020. Aset ini dibekukan kerana waris si mati tidak ambil tahu dan si mati pula tidak meninggalkan wasiat.

Kenapa kena tulis wasiat?

Wasiat daripada si mati boleh mengelakkan konflik yang mungkin berlaku pada masa hadapan apabila berlaku kematian. Bila sudah ada wasiat, kebajikan waris akan terjamin kerana anda tahu apa yang perlu ditinggalkan, hutang apa yang perlu dibayar, siapa yang diamanahkan untuk menjaga anak-anak anda dan banyak lagi.

Ini adalah kelebihan menulis wasiat dan kesan apabila tiada wasiat:

Paling penting adalah apabila anda mempunyai wasiat, keselamatkan keluarga anda bakal terjamin daripada campur tangan orang yang tidak sepatutnya.

Wasiat perlu dikemas kini?

Ya, wasiat perlu dikemas kini dari masa ke semasa bagi merangkumi semua aset yang baru diambil alih atau sebarang perubahan waris.

Contohnya:

  • Perkahwinan, perkahwinan semula atau perceraian
  • Memulakan atau menamatkan perniagaan
  • Kematian ahli keluarga atau benefisiari
  • Pembelian atau pelupusan aset
  • Pertukaran agama; contohnya kepada agama Islam di mana wasiat terikat kepada Undang-undang Syariah

Wasiat bukan sekadar duit sahaja tetapi merangkumi seluruh harta pusaka anda. Contoh aset seperti, rumah, tanah, akaun bank atau saham yang didaftarkan atas nama anda.
 

Bila anda beli kereta baru atau tambah lot tanah baru, anda perlu kemas kini bagi mengelakkan aset tercicir dari wasiat.

Bila boleh guna wasiat ini?

Untuk pengetahuan anda, wasiat akan berkuatkuasa apabila penulis wasiat sudah meninggal dunia dan syarat wasiat ini mestilah ditulis oleh orang yang sempurna akal, berusia 18 tahun ke atas dan ada tandatangan si mati.

Bila si mati meninggal dunia, wasiat ini akan dijalankan oleh individu atau organisasi yang dilantik untuk pastikan hasrat si mati dilaksanakan dan mengikut undang-undang terpakai oleh wasi atau pentadbir.

Ini antara perkhidmatan wasiat yang ditawarkan:

Bagi orang Islam, wasiat perlu  ditulis mengikut undang-undang Islam. Penting bagi seorang Muslim  untuk mempunyai wasiat. Kalau tak ada wasiat, harta pusaka akan dibahagikan mengikut Faraid, di mana anak angkat atau anak tiri tidak layak mewarisi apa-apa harta.

Wasiat boleh terbatal?

Wasiat akan terbatal apabila digantikan dengan wasiat yang baru atau mansuhkan secara bertulis. Katakanlah kalau anda bergaduh antara adik-beradik, anda tidak mahu memberikan harta kepada mereka, anda boleh buat wasiat baru. Secara automatik, wasiat lama akan terbatal dan tak boleh diguna pakai lagi.

Jadi, secara keseluruhannya, wasiat ditulis untuk kepentingan orang tersayang. Tak salah pun merancang awal. Sekurang-kurangnya anda sudah mempunyai perancangan yang terbaik untuk ditinggalkan demi masa depan keluarga. 

Boleh dapatkan juga ilmu di artikel ini: