KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) — Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) optimis bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 5.75 peratus pada 2022, dipacu oleh permintaan dalam negeri yang terpendam dan permintaan luar yang terus kukuh.
Ini sejajar dengan unjuran pertumbuhan kerajaan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi 2022. Ekonomi berkembang 3.1 peratus tahun lepas.
Dalam memberikan penilaian terhadap prospek pertumbuhan Malaysia, IMF menyatakan bahawa kadar vaksinasi yang tinggi di negara ini dan sekatan pergerakan yang terhad juga akan menyokong pengembangan ekonomi.
Namun begitu, agensi yang berpangkalan di Washington itu mengakui bahawa terdapat risiko penurunan yang besar, termasuk daripada pandemik COVID-19 dan perang di Ukraine, kesukaran serupa yang dihadapi oleh kedua-dua negara maju dan membangun di seluruh dunia.
“Pertumbuhan Malaysia diunjurkan kukuh dalam jangka sederhana walaupun risiko kesan ekonomi jangka panjang adalah nyata,” kata Lembaga Eksekutif IMF dalam kesimpulannya susulan perundingannya dengan pegawai Malaysia dalam laporan penilaian yang dikeluarkan April lalu.
IMF turut mengalu-alukan pendirian dasar monetari Malaysia yang akomodatif, kerana jangkaan inflasi diterajui dengan baik.
Justeru, IMF maklum dengan komitmen Malaysia terhadap fleksibiliti kadar pertukaran sambil menyatakan ia akan terus membantu negara dengan baik.
Ini diperkukuh lagi minggu lepas apabila Bank Negara Malaysia mengesahkan kedudukannya bahawa ia tidak akan menambat ringgit walaupun mata wang itu lemah.
Ini ialah kerana sektor perbankan masih mempunyai permodalan yang baik dan sangat cair, disokong oleh kualiti aset yang kukuh.
IMF juga berkata bahawa sektor kewangan Malaysia “kekal berdaya tahan,” dan ia digalakkan oleh pembaharuan sektor kewangan yang tertumpu pada keterangkuman, transformasi ekonomi dan ekonomi yang mampan.
Ini jelas mencerminkan konsep Keluarga Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi tumpuan kepada keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang bertujuan untuk membawa rakyat bersama dalam membantu negara pulih daripada pandemik COVID-19 yang melemahkan.
IMF yang mempunyai 190 negara anggota turut memuji pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 kerana ia memberi tumpuan kepada meningkatkan produktiviti buruh/guna tenaga, meningkatkan ekonomi digital dan hijau serta mengukuhkan tadbir urus fiskal.
“Ini akan membantu meminimumkan kesan ekonomi berkaitan pandemik sambil menggalakkan pertumbuhan inklusif dan penghasilan pekerjaan,” kata IMF.
IMF turut mengambil kira penilaian yang kedudukan luar Malaysia adalah sederhana lebih kukuh daripada yang dibenarkan oleh asas ekonomi dan dasar yang diingini.
IMF juga menyarankan dasar untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial untuk menyokong pemulihan inklusif dan memudahkan pengimbangan semula luaran yang telah dilakukan Malaysia melalui peruntukan berkaitan COVID yang mencecah berbilion ringgit.
Melihat kembali pada tahun 2021, IMF berkata tindak balas dasar pandemik yang pantas, besar dan pelbagai serampang menyokong ekonomi.
Jumlah perbelanjaan belanjawan/peruntukan berkaitan COVID bernilai sehingga RM39 bilion (kira-kira 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021, lebih dua kali ganda daripada belanjawan awal RM17 bilion, dan melebihi RM38 bilion yang dibelanjakan pada 2020.
Sehubungan itu, defisit kerajaan persekutuan mencapai kira-kira 6.5 peratus daripada KDNK pada 2021, lebih tinggi daripada kira-kira 5.5 defisit yang diramalkan dalam Bajet 2021.
Hutang kerajaan persekutuan dianggarkan pada 63 peratus daripada KDNK, di bawah siling hutang domestik sebanyak 65 peratus, katanya.
Ditubuhkan pada Julai 1944 selepas Kemelesetan Besar di Amerika Syarikat, IMF berusaha untuk mencapai pertumbuhan dan kemakmuran yang mampan untuk semua 190 negara anggotanya.
Ia berbuat demikian dengan menyokong dasar ekonomi yang menggalakkan kestabilan kewangan dan kerjasama monetari, yang penting untuk meningkatkan produktiviti, penciptaan pekerjaan dan kesejahteraan ekonomi.
Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.
Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?
Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.
Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.
Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.
1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE
Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.
Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.
Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.
Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.
Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.
Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.
Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.
2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian
Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:
Gaji tahunan: RM72,000
Bonus: RM8,000
Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.
Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.
Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM8,000 × 19% = RM1,520
Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.
Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.
Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.
3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan
Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).
Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.
Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.
Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.
Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.
Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.
4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan
Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.
Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.
Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.
Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.
Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.
Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE
5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari
Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.
Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.
Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM3,000 × 19% = RM570
Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.
Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.
HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.
6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank
Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.
Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.
Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.
7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak
Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.
Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.
Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM2,000 × 19% = RM380
Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.
Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.
Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.
8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah
Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.
Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.
Pendapatan sewa setahun:
RM1,200 × 12 bulan = RM14,400
Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.
Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM11,400 × 19% = RM2,166
Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.
Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.
9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen
Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.
Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.
Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.
Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.
Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM18,000 × 19% = RM3,420
Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.
Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.
10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai
Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.
Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?
Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.
Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.
Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.
Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?
Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.
Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:
Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.
Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.