Inti Pati Belanjawan 2025


KUALA LUMPUR, 18 Okt – Berikut ialah inti pati Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober 2024, Jumaat lalu.

Ini adalah belanjawan MADANI ketiga dibentangkan oleh Anwar sejak menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov 2022. 

Pembahagian Perbelanjaan

  • Kerajaan umum Belanjawan 2025 terbesar RM421 bilion meliputi RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM86 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka

Cukai

  • SST : Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif, tidak bebankan rakyat 
  • Cukai Jualan tidak akan dikenakan bagi barangan makanan asas digunakan rakyat, hanya babitkan barangan bukan keperluan asas seperti produk premium diimport
  • Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial, antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi 
  • Kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan
  • Peluasan skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa pada 1 Mei, 2025
  • Kerajaan cadang perluas asas cukai secara progresif, perkenal cukai dividen pada kadar dua peratus bagi pendapatan dividen lebih RM100,000 yang diterima pemegang saham individu mulai tahun taksiran 2025
  • Pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), amanah saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan pendapatan dividen dari luar negara 
  • Syarikat logistik yang menjalankan aktiviti kompleks logistik pintar diberi elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun
  • Kerajaan beri kelulusan Forest City sebagai Pulau Bebas Cukai bagi menyokong aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat

Subsidi

  • Kerajaan akan terus tanggung subsidi dianggarkan berjumlah RM12 bilion untuk keperluan 85 peratus rakyat 
  • Kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025

Dana Pelaburan

  • Pelaburan awam untuk pembangunan bagi 2025 berjumlah RM120 billion
  • Kerajaan setuju perkenal Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi berbanding insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu
  • Kerangka Insentif Pelaburan Baharu dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025
  • Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP menerusi Dana Pemacu RM6 bilion akan perkukuh pasaran persendirian tempatan meliputi ekuiti persendirian, prasarana dan hartanah
  • Khazanah Nasional sedia RM1 bilion terajui pelaburan sokong industri semikonduktor tempatan 
  • National Fund-of-Funds (NFOF) akan ditubuhkan di bawah Khazanah yang beroperasi bulan depan dengan dana RM1 billion
  • KWAP menerusi Dana Perintis sedia RM1 bilion untuk menyokong aktiviti syarikat pemula niaga tempatan 

e-Invois

  • Ke arah pelaksanaan e-Invois pada 1 Julai, 2025, kerajaan bercadang agar perbelanjaan bagi pembelian peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pakej perisian komputer dan fi perundingan diberi elaun modal dipercepat dan dituntut dalam tempoh dua tahun

Pembiayaan

  • RM40 bilion disediakan sebagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi kerajaan
  • RM800 juta pembiayaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tersedia untuk lebih ramai usahawan bumiputera termasuk menyokong artisan tempatan

Kontraktor

  • Kerajaan setuju peruntuk RM1.3 bilion untuk memperkasa kontraktor G1-G4, khususnya Bumiputera

Rangkaian 5G

  • Kerajaan akan umum rangkaian kedua 5G sebagai usaha tingkatkan daya saing dalam bidang ICT 
  • Kerajaan akan terus galak penggunaan 5G terutamanya dalam memacu kes-kes penggunaan 5G oleh industri menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

Penglibatan Wanita

  • Kerajaan menyeru agar sasaran purata wanita pegang jawatan lembaga pengarah dalam 100 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dicapai sebelum akhir 2027

Ekonomi

  • Belanjawan MADANI Ketiga 2025 tercerna daripada usaha gigih perencana setelah ambil kira tantangan, ketidaktentuan global yang semakin mengganas 
  • KDNK 2024 diunjur lebih kukuh antara 4.8 peratus dan 5.3 peratus berbanding antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus sebelumnya
  • Ekonomi negara dijangka berkembang kukuh antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus, didokong langkah dan strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025
  • Unjuran kadar defisit 3.8 peratus pada 2025 berbanding anggaran 4.3 peratus pada tahun ini
  • Kutipan hasil diunjur semula lebih tinggi kepada RM322 billion pada 2024 berbanding RM308 billion
  • Jumlah hutang baharu akan kian menurun, diunjur berjumlah RM80 bilion pada 2025 berbanding RM85 bilion pada 2024 
  • Kerajaan menjangkakan kutipan hasil bagi 2025 terus meningkat kepada RM340 billion

Projek Mega

  • Projek Lebuhraya Pan Borneo dijangka siap pada November 2024, nilai keseluruhan perbelanjaan di Sabah dan Sarawak sebanyak RM25.1 billion

Penggabungan

  • Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (MATRADE) akan digabungkan

Tenaga Baharu

  • Pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau diteruskan dengan jumlah pembiayaan RM1 billion sehingga 2026
  • UEM Lestra, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan labur RM16 bilion untuk keupayaan transmisi, pengedaran serta menyahkarbon kawasan perindustrian
  • Galakan guna motosikal elektrik CKD (pemasangan tempatan) sehingga RM2,400 diteruskan dengan peruntukan RM10 juta 
  • Perodua rancang keluarkan kenderaan elektrik pada harga bawah RM100,000 untuk penuhi permintaan
  • Peruntukan bagi Felda, Felcra dan Risda ditingkatkan kepada RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2025

Sawit & Lateks

  • Kerajaan cadang naikkan nilai ambang pengenaan levi keuntungan luar biasa ke atas sawit bagi Semenanjung kepada RM3,150 dan RM3,650 untuk Sabah, Sarawak
  • Insentif galakan berjumlah RM100 juta disedia kepada pekebun kecil bagi penanaman semula sawit 
  • Peruntukan RM65 juta disediakan bagi tingkat kelestarian sawit, pertahan industri bagi menangkis salah tanggapan Eropah 
  • Program galakan pengeluaran lateks oleh pekebun kecil di bawah Risda akan dilaksanakan secara geran padanan bernilai RM60 juta

Kewangan & PKS

  • Dana padanan RM100 juta disediakan bagi galakkan inovasi pembiayaan kewangan Islam
  • Kerajaan akan tubuh Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi kawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit termasuk ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ 
  • Kerajaan akan bentang Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna pada mesyuarat akan datang 
  • Geran padanan RM20 juta di bawah program iTEKAD dengan RM5 juta khusus bagi caruman insurans untuk usahawan mikro
  • Syarikat Jaminan Perniagaan Bhd sedia menjamin sehingga 80 peratus pembiayaan PKS halal dengan nilai jaminan RM1 bilion 
  • Kerajaan peruntuk RM50 juta sebagai geran padanan digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Gerai Digital Penjaja di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing
  • Khazanah Nasional akan lancar Program Syarikat Peringkat Pertengahan dengan dana RM1 bilion bagi sokong bangunkan keupayaan syarikat tempatan

Perumahan

  • Skim Jaminan Kredit Perumahan telah meluluskan RM12.8 bilion jaminan kerajaan kepada 57,000 pembeli rumah pertama

Lain-Lain

  • Tumpuan utama tingkatkan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion, jana 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030
  • Kerajaan cadang laksana mekanisme levi pelbagai peringkat awal tahun depan bagi kurangkan kebergantungan pekerja asing
  • Hasil kutipan levi akan disalurkan semula kepada industri bagi mengusahakan proses perniagaan ke arah automasi, mekanisasi 

— Sumber asal & rujukan: BERNAMA

Previous ArticleNext Article

RM38.3 Juta Diperuntuk Bagi Program Getah Terbiar, Beri Manfaat 8,890 Pekebun Kecil

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Kerajaan memperuntukkan RM38.3 juta bagi pelaksanaan Program Getah Terbiar (PGT) tahun ini yang memberi manfaat kepada hampir 8,890 pekebun kecil di seluruh negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata daripada jumlah itu, seramai 218 pekebun kecil di Sarawak, khususnya di Betong, telah menerima manfaat dengan nilai keseluruhan RM1.5 juta.

“Kementerian melalui RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) telah memastikan kebun getah matang yang tidak bertoreh di Sarawak dikenal pasti secara menyeluruh berdasarkan laporan Banci RISDA 2023.

“Laporan ini merekodkan seluas 94,800 hektar melibatkan seramai 63,000 pekebun kecil. Sehingga September 2025, sebanyak 793 hektar kebun telah berjaya diaktifkan semula melalui PGT,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @Aman Begri (GPS-Betong) yang ingin mengetahui perancangan jangka panjang kementerian bagi memastikan kebun getah matang yang tidak bertoreh di Sarawak dapat diaktifkan semula menerusi PGT 2025 dan seterusnya, termasuk sasaran produktiviti lima hingga 10 tahun akan datang serta strategi sokongan harga dan pasaran getah.

Rubiah berkata PGT akan terus diperkukuh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan sasaran mengaktifkan semula 3,100 hektar kebun tidak bertoreh di Sarawak, iaitu kira-kira 625 hektar setahun bagi meningkatkan pengeluaran getah secara mampan.

“Melalui usaha ini, kementerian menjangkakan pengeluaran getah dapat ditingkatkan secara berterusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata RISDA turut memperluas kaedah jualan berkelompok dan memperkenalkan Program Pemasaran Getah Bergerak (PGB) dengan lima unit kenderaan di Sarawak serta dua unit tambahan pada RMK13 bagi membantu pekebun kecil menikmati harga yang lebih adil.

Menjawab soalan tambahan Richard Rapu, mengenai inisiatif semasa untuk menarik minat pekebun kecil kembali mengusahakan tanaman getah, Rubiah berkata kerajaan menawarkan pelbagai insentif dan sokongan termasuk melalui pelaksanaan Program Pemulihan Kebun Getah Terbiar.

Beliau berkata program itu menyediakan bantuan baja, racun rumpai, set alat menoreh dan penyelenggaraan kebun bernilai RM3,600 sehektar yang dilaksanakan melalui anak syarikat RISDA Plantation Sdn Bhd.

“Usaha meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah sentiasa dilaksanakan, antaranya melalui pengenalan harga in sentif RM3 bagi harga siling dan bantuan musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga akan mengemukakan cadangan baharu kepada kerajaan bagi memastikan produktiviti ladang getah yang diusahakan pekebun kecil dapat ditingkatkan supaya hasilnya lebih banyak sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

“Kita percaya melalui cadangan seperti ini, pengeluaran getah dapat ditingkatkan dan pekebun kecil getah akan kembali mengusahakan tanaman getah,” katanya.
– BERNAMA