Kita Boleh Tukar Duit Rosak Di Bank, Begini Caranya

Jangan terkejut jika ada orang yang membuang duit yang rosak. Bagi mereka, ia tidak bernilai lagi, ditukar di kedai-kedai pun takkan diterima. Sebenarnya itu adalah kesilapan terbesar yang ramai buat.

Tahukah anda, duit rosak terdiri daripada pelbagai kategori.  Setiap kategori kerosakan duit itu mempunyai nilainya yang tersendiri. Biar betul?

Sebelum menukar duit yang rosak, anda perlu memastikan terlebih dahulu jenis kerosakan duit tersebut. Duit yang rosak boleh ditukarkan di mana-mana jenis bank dan juga bank utama iaitu Bank Negara Malaysia. Namun jika kerosakannya teruk, ia hanya boleh ditukarkan di Bank Negara Malaysia sahaja.

Sebelum kita ketahui cara menukar duit rosak tersebut, mari sama-sama kita kenali terlebih dahulu ciri-ciri kerosakan pada duit yang ramai terlepas pandang. Tidak semua duit rosak boleh ditukar di bank tetapi kebanyakan jenis kerosakan tersebut sememangnya diterima di bank.

8 Kerosakan Pada Duit Syiling

  1. Kakis – Keadaan sebahagian permukaan rosak teruk atau terkakis akibat tindak balas bahan kimia.
  2. Kemek – Keadaan duit menjadi kemek tetapi tidak hancur atau relai.
  3. Berlubang – Situasi di mana terdapat lubang pada permukaan duit syiling.
  4. Potong – Keadaan duit syiling yang telah terpotong dengan sesuatu alat.
  5. Pecah – Keadaan duit syiling menjadi pecah kepada beberapa kepingan.
  6. Terbakar – Kerosakan duit akibat terbakar menyebabkan duit berubah warna serta kusam.
  7. Syiling ganjil – Keadaan rupa duit ganjil akibat proses penempaan.
  8. Kotor – Warna syiling menjadi kotor, haus dan lusuh.

12 Kerosakan Pada Duit Kertas

  1. Lembik – Lipatan yang berlebihan pada duit kertas tersebut (menyebabkan kerosakan dan berubah bentuk duit kertas tersebut)
  2. Kotor – Duit kertas menjadi kotor keseluruhan atau menjadi bertompok-tompok.
  3. Renyuk – Lipatan secara rawak meliputi keseluruhan duit kertas sehingga keadaan visual duit itu terjejas dan menjadi kecut.
  4. Luntur Warna – warna duit kertas menjadi luntur akibat telah terkena bahan kimia atau pun dibasuh.
  5. Conteng – Terdapat lakaran atau simbol lukisan pada permukaan duit kertas.
  6. Koyak – Terdapat koyakan pada mana-mana bahagian duit kertas.
  7. Ubah Suai – Duit kertas yang dicantum menggunakan pita pelekat ataupun gam.
  8. Berlubang – Duit kertas mempunyai lubang melebihi saiz 5 milimeter.
  9. Lipatan Bucu – Lipatan bucu yang tidak boleh dipulihkan, lebar atau panjang duit kertas itu menjadi kurang melebihi 5 milimeter.
  10. Cantuman – duit yang telah terpisah bahagiannya kemudian dicantumkan.
  11. Terbakar / Dimakan anai-anai – Kerosakan akibat dimakan anai-anai atau terbakar melebihi 5 milimeter pada mana-mana bahagian duit kertas tersebut.
  12. Hilang Ciri-ciri – Salah satu ciri keselamatan didapati rosak atau hilang apabila diperiksa.

Sekiranya duit syiling mahupun duit kertas anda menepati salah satu ciri-ciri duit rosak yang dinyatakan di atas, anda boleh segera tukarkannya. Ikuti panduan di bawah.

  1. Bawa wang rosak tersebut ke bank.
  2. Kemudian pihak atau kakitangan bank akan menilai kerosakan duit tersebut.
  3. Jika duit tersebut kehilangan 50% daripada bentuk asal maka duit yang akan dapat hanya 50% daripada harga asal.
  4. Tunggu proses penukaran wang tersebut. Apabila proses selesai, anda akan terima duit yang baru mengikut nilai kerosakan duit tersebut.

Jika ada bank yang tidak mahu menerima dan memproses duit kita itu tadi, berikan butiran mengenai bank tersebut (nama bank dan cawangan, nama pegawai serta tarikh) menerusi bnm.gov.my atau hubungi BNMTELELINK 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia).

Kesimpulannya, duit yang rosak pun masih ada nilainya. Namun jika kerosakannya teruk sangat, ianya sudah tidak bernilai lagi. Oleh itu, jangan buang terus setiap kali duit mengalami kerosakan, kenal pasti terlebih dahulu kerosakannya.

Kalau difikir balik, agak jarang lah kita nak guna cash zaman sekarang. Tetapi sekurang-kurangnya, mana lah tahu nasib tak baik, duit kertas/syiling yang rosak disebabkan banjir, kalian tahu dah apa nak buat.

Rujuk juga PANDUAN PENGENDALIAN WANG POLIMER DENGAN BETUL SERTA PANDUAN PENGGANTIAN NILAI WANG YANG TIDAK LAGI SESUAI UNTUK EDARAN oleh Bank Negara Malaysia.

Sumber Rujukan: Oh Bulan , Photoinzone

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.