Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 3.6% Dicatatkan Pada Suku Keempat 2019, Terendah Dalam 10 Tahun

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia pada suku keempat tahun 2019 berkembang sederhana pada 3.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku sama tahun 2018, demikian menurut Bank Negara Malaysia.

Pertumbuhan sukuan itu adalah yang terendah dicatatkan sejak suku ketiga 2009, yang mana ketika itu merekodkan penguncupan 1.2 peratus susulan krisis kewangan global.

Bagi keseluruhan tahun 2019, pertumbuhan ekonomi negara berkembang pada 4.3 peratus, berbanding 4.7 peratus pada 2018.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, perbelanjaan sektor swasta turut menyumbang dengan mencatat pertumbuhan lebih tinggi pada 7.4 peratus pada suku dikaji berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

“Namun gangguan bekalan dalam sektor komoditi pada suku keempat membabitkan pengeluaran minyak sawit, gas asli dan minyak mentah mengheret turun pertumbuhan ekonomi pada suku berkenaan.

“Pengeluaran minyak sawit merosot dengan ketara sebanyak -16.9 peratus pada suku dikaji berbanding 8.6 peratus pada suku sebelumnya berikutan masalah kemarau.

“Bagi pengeluaran gas asli, ia menyusut -2.1 peratus pada suku keempat 2019 berbanding 3.1 peratus pada suku sebelumnya disebabkan oleh proses penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku keempat 2019 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Nor Shamsiah berkata, seandainya tiada gangguan, pertumbuhan untuk suku keempat dan keseluruhan 2019 dijangkakan lebih tinggi iaitu masing-masing sebanyak 4.3 peratus dan 4.7 peratus.

Kredit: BH Online

Definisi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)

KDNK ialah statistik berkenaan pendapatan negara dan ianya juga berkaitan dengan pertumbuhan atau pembangunan ekonomi.

KDNK mengukur jumlah nilai akhir barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam ekonomi bagi sesebuah Negara melalui tiga kaedah iaitu:

  1. Kaedah Pengeluaran iaitu penjumlahan nilai ditambah aktiviti ekonomi (Pertanian, Perlombongan & Pengkuarian, Pembuatan, Pembinaan dan Perkhidmatan termasuk Kerajaan)
  2. Kaedah Perbelanjaan iaitu penjumlahan Perbelanjaan Akhir Isi Rumah, Perbelanjaan Akhir Kerajaan, Pelaburan dan Eksport Bersih
  3. Kaedah Pendapatan adalah penjumlahan Pendapatan oleh faktor Pengeluaran (tanah, tenaga buruh, modal dan keusahawanan) iaitu Pampasan pekerja, Lebihan kendalian kasar dan (Cukai – Subsidi)

Pengukuran KDNK:

i. Dinilai pada harga semasa
ii. Dinilai pada harga malar

Frekuensi pengeluaran data KDNK Kaedah Pengeluaran dan Perbelanjaan adalah secara suku tahunan dan tahunan pada harga semasa dan malar. Manakala bagi data KDNK Kaedah Pendapatan adalah secara tahunan pada harga semasa.

Nak tahu lebih lanjut pasal KDNK ni, jemput baca Apa Itu Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Yang Orang Dok Sebut Tu?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.