Konsep Dan Kategori Pemilikan Harta Dalam Islam

Pemilikan dalam bahasa Arab disebut sebagai milk (ملك) atau milkiyyah (ملكیة). Daripada sudut bahasanya berdasarkan Kitab Lisan ul Arab, ia bermaksud keadaan menguasai sesuatu dan keupayaan bertindak melupuskan sesuatu yang dimiliki.  

Manakala daripada sudut istilah pula, terdapat definisi berbeza yang dikemukakan oleh para fuqaha mazhab empat.

1. Definisi Menurut Mazhab Hanafi

قدرة یثبتھا الشارع ابتداء على التصرف (إلا لمانع)

Kemampuan asal yang ditetapkan oleh syarak bagi mengendalikan sesuatu harta melainkan jika terdapat halangan.

2. Definisi menurut Mazhab Maliki

حكم شرعي مقدر في العین أو المنفعة یقتضي تمكن من یضاف إلیھ من انتفاعھ بالمملوك والعوض عنھ من حیث ھو كذلك

Hukum syarak (mengikut perundangan yang sah) ditetapkan terhadap fizikal harta ataupun manfaat harta yang membolehkan seseorang untuk mengambil faedah daripada harta yang dimiliki dan menerima pampasan daripadanya.

3. Definisi Menurut Mazhab Hanbali

القدرة الشرعیة على التصرف في الرقبة

Keupayaan yang sah untuk mengendalikan sesuatu harta.

4. Definisi Menurut Mazhab Syafie

حكم شرعي یقدر في عین أو منفعة یقتضي تمكن من ینسب إلیھ من انتفاعھ والعوض عنھ من حیث ھو كذلك

Hukum syarak (mengikut perundangan yang sah) yang ditetapkan terhadap fizikal harta ataupun manfaat yang diberikan kepada seseorang supaya beliau dapat mengambil faedah dan menerima pampasan daripadanya.

Photo by Pixabay from Pexels

Walaupun terdapat perbezaan definisi pemilikan harta, tetapi secara konsep dan unsur utamanya ia masih sama iaitu:

i. Pemilikan merupakan hubungan eksklusif dan absah di sisi perundangan.

ii. Hubungan eksklusif ini terbina di antara manusia dan harta yang dimiliki.

iii. Matlamat daripada hubungan eksklusif tersebut membawa kepada keupayaan seseorang (pemilik) untuk mengeksploitasi dan mengambil faedah daripada harta yang dimiliki. Hal ini bersesuaian dengan hakikat pemilikan.

iv. Keupayaan seseorang (pemilik) untuk mengeksploitasi dan mengambil faedah daripada harta yang dimiliki telah menjadi penghalang kepada orang lain (selain daripada pemilik) untuk mendapat hak yang sama.

v. Keupayaan mengeksploitasi dan mengambil faedah daripada harta boleh dilakukan samada melalui pemilik sendiri atau diwakilkan kepada orang lain.

2 Kategori Pemilikan Harta

Photo by Michael Steinberg from Pexels

Kategori pemilikan harta berdasarkan kapasiti pemilikan dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pemilikan penuh (milk tam) dan pemilikan separa penuh (milk naqis).

1. Pemilikan Sempurna (Milk Tam)

Pemilikan sempurna bermaksud seseorang memiliki fizikal dan manfaat harta tersebut secara bersama. Ibn Rajab menyatakan bahawa pemilikan ini terjadi disebabkan beberapa kaedah transaksi tertentu seperti jual beli, hibah, wasiat dan lain-lain.

Melalui pemilikan yang diperolehi daripada kaedah yang disebutkan, seseorang memiliki harta tersebut secara penuh iaitu beliau milik kepada fizikal dan manfaat harta tersebut.

Sebagai contoh, kita membeli sebuah jam tangan. Kita menjadi pemilik sempurna ke atas jam tersebut. Kita memiliki fizikal jam serta manfaat jam tersebut seperti melihat masa dan pelbagai fungsi lain jam tersebut.

Oleh itu kita berhak berbuat apa-apa terhadap jam tangan tersebut dan tiada sesiapa yang boleh menghalang, melainkan terdapat halangan syara’.

Nak jual, nak bagi hadiah, nak wasiatkan semuanya boleh kita lakukan kerana ianya milik kita.

2. Pemilikan Separa Penuh (Milk Naqis)

Pemilikan separa penuh (naqis) boleh dipecahkan kepada tiga pecahan. Pecahan tersebut ialah; pertama, pemilikan terhadap fizikal harta tanpa memiliki manfaatnya. Kedua, pemilikan terhadap manfaat harta tanpa memiliki fizikalnya dan ketiga ialah memiliki hak untuk mengambil manfaat daripada harta tetapi beliau tidak memiliki manfaat harta tersebut.

  • Pemilikan Fizikal Harta Tanpa Memiliki Manfaatnya (Milk ‘Ayn Bi La Manfaah)

Sebagai contoh mudah, kita membeli sebuah rumah, kemudian rumah tersebut disewakan. Oleh itu, kita sebagai pemilik rumah hanya memiliki fizikal rumah tersebut, tetapi penyewa yang menerima manfaat tinggal di dalam rumah tersebut (walaupun hakikatnya kita turut menerima manfaat sewa rumah).

  • Pemilikan Manfaat Harta Tanpa Memiliki Fizikalnya (Milk Manfaah Bi La ‘Ayn)

Contoh yang sama juga; rumah sewa. Si penyewa rumah yang bebas tinggal di dalam rumah tersebut kerana beliau memiliki manfaat rumah walaupun tidak memiliki fizikal rumah.

  • Hak Menerima Manfaat (Milk Intifa’)

Hak menerima manfaat lebih kurang sama seperti pemilikan manfaat harta tanpa fizikalnya Cuma bezanya, apabila penyewa mahu memiliki manfaat sesuatu harta, sebagai imbalannya, beliau perlu membayar harga sewa, tetapi untuk hak menerima manfaat, tidak disyaratkan membayar imbalan atau sewa. Pemilikan manfaat tanpa imbalan dapat dilihat menerusi akad pinjaman (i’arah).

Hak menerima manfaat ini secara mudahnya dapat difahami melalui situasi seperti penggunaan harta awam yang boleh dimanfaatkan bersama sebagai contoh, jalan raya, tempat letak kereta, jambatan dan lain-lain. Pihak yang menggunakan harta ini tidak memiliki manfaat harta tersebut, sebaliknya mendapat keizinan untuk menggunakannya semata-mata

Image by David Schwarzenberg from Pixabay

Apakah kesan kepada pemilikan harta yang tidak sempurna?

i. Pemilikan yang bersifat terbatas mengikut tempoh masa, dan/atau tempat;

ii. Pemilik tidak boleh mewariskan harta atau manfaat yang dimilikinya;

iii. Pemilik harta hanyalah selaku pentadbir, dan/atau pemegang amanah harta tersebut; dan

iv. Pemilik harta tidak bebas untuk melakukan transaksi jual beli, dan/atau gadai menggadai harta tersebut.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.