Lindungi Wang Anda Seperti Seorang Fund Manager

Ini adalah ‘open secret’ bagi sebuah entiti yang bergelar Fund Manager (FM). Entiti ini adalah golongan kapitalis oportunistik yang paling tegar menggunakan dan memerah hasil menggunakan teknik ‘Other Peoples Money’ (OPM).

Anda mungkin salah seorang daripada ‘other people’ yang dimaksudkan tersebut. Jadi jom ambil tahu bagaimana wang kita diurus, dan cara untuk melindungi wang kita seperti seorang FM.

Modal Yang ‘Idle’ Adalah Tidak Ideal

Sebaik sahaja terima dana daripada pelabur, FM tak akan buang masa dan akan terus ligat ‘mengerjakan’ dana tersebut.

Tapi FM tak boleh gelojoh dapat duit terus ‘ALL-IN’!

Perlu buat analisa, alokasi aset, dan segala macam S.O.P. Jadi akan ada selang masa yang dana tadi tak terusik. Bila dah dibeli sesuatu sekuriti pun, ada lagi tempoh masa sebelum membuat bayaran settlement. (contohnya T+2 untuk saham)

Cash Reserve

Peluang untuk membeli sesuatu sekuriti berpotensi pada harga terbaik boleh muncul dalam sekelip mata dan berlalu pergi dalam sekelip mata juga. Ini adalah salah satu sebab mengapa FM perlu ada cash reserve.

Cash reserve yang dibiar idle sementera menunggu peluang muncul juga adalah tak ideal.

Lindungi Modal Daripada Hakisan Inflasi

Dalam kepala FM dah terpahat mantra ‘Money Never Sleeps’. Kalau tak dibimbing ke jalan kebaikan, tengah-tengah malam ia akan menyelinap keluar ikut tingkap dan bergaul dengan si inflasi, lantas melunturkan harga diri!

FM biasanya akan meletakkan modal idle atau cash reserve tadi di ‘Short Term Money Market’ (STMM). Dana boleh di‘park’ di STMM sesingkat 1 hari sehingga 1 tahun.

Dana RM10 juta contohnya, dengan placement STMM pada kadar 3% setahun, akan terima sekitar RM820.00 sehari! Jika dana tadi dibiar begitu sahaja, jumlah tersebut akan dianggap ‘lost opportunity cost’.

Apakah Modal Idle Bagi Anda?

Anda ada simpanan kecemasan 3 bulan atau 6 bulan gaji kan? Wang tersebut mungkin anda simpan dalam akaun simpanan bank, dalam peti besi, bawah tilam atau sebagainya.

Simpanan begini tak beri apa-apa pulangan, atau pun pulangannya tak melindungi kita daripada inflasi.

Relevankah Untuk Ambil Kira ‘Lost Opportunity Cost’?

Jumlah yang terlibat mungkin tak signifikan, jadi tak mengapa kalau anda jawab tidak. Tapi elok juga kalau kita bercita-cita semoga satu hari nanti kita bakal urus dana peribadi sebanyak RM100,000.00 atau RM1 juta atau lebih.

Sebagai seorang Muslim pula, jom kita berazam untuk menjadi pembayar zakat harta/simpanan yang bukan biasa-biasa.

Oleh itu pengurusan oppurtunity cost eloklah dimulakan daripada sekecil-kecil modal. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Bagaimana Caranya? Kita Bukannya Ada Akses Kepada STMM

Senang je, letakkan modal idle anda di Fixed Deposit. Atau untuk pilihan patuh shariah dipanggil Fixed Deposit-i atau Term Deposit.

Baca selanjutnya: http://www.majalahlabur.com/pelaburan/kelebihan-dan-kelemahan-simpanan-fixed-deposit/

Kalau ada akaun Maybank, anda boleh letakkan FD/FD-i semudah beberapa klik di portal Maybank2U. Tak perlu daftar, tak perlu isi borang.

Beberapa bank tempatan lain juga ada sediakan kemudahan ini secara online. Dengan pulangan sekitar 3% setahun, ia pastinya lebih baik daripada wang dibiarkan tidur di bawah bantal!

Trading Deposit

Ada lagi satu cara, iaitu dengan meletakkan trading deposit di trust account broker. Tak ramai yang tahu tentang ini.

Trading deposit di trust account broker ada yang memberikan pulangan faedah sehingga 2.70% setahun. Maknanya dengan hanya depositkan wang, tanpa melakukan sebarang trade, kita akan terima pulangan lebih baik daripada menyimpannya di dalam akaun simpanan biasa.

Kiraan faedah biasanya menggunakan ‘day rest’, iaitu kiraan daripada purata baki harian. Jadi kita boleh withdraw duit kita pada bila-bila masa, faedah tetap diterima daripada tempoh wang tersimpan di dalam akaun.

Deposit ini juga boleh berfungsi sebagai ‘Cash Reserve’ seperti amalan FM. Jadi, kita dalam keadaan bersedia dengan ‘Trading Limit’ yang membolehkan kita segera menyambar peluang yang muncul.

Tapi pilihan patuh shariah mungkin agak terhad. Anda perlu ‘shop around’ untuk cari broker Islamik yang ada ciri-ciri ini.

Sekarang anda dah tau, bolehlah cuba amalkan. Tapi jangan beritahu sesiapa ya. Ini rahsia di antara kita.

Ditulis oleh Izzudeen Razali. Penulis merupakan seorang penganalisis di sebuah firma pengurusan aset dan dana di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana organisasi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.