Macam Mana Baru Boleh Kata Itu Rasuah?

Baru-baru ini, kita telah dikejutkan oleh Skandal Rasuah AirAsia Yang Menyebabkan Harga Saham Jatuh Menjunam. Saham AirAsia telah jatuh sebanyak 31% dalam masa sebulan ekoran daripada perkara ini.

Nak tahu apa yang dimaksudkan dengan rasuah dan cara untuk menanganinya, kita akan rujuk kepada buku kerja bertajuk How To Bribe: A Typology Of Bribe Paying And How To Stop It yang diterbitkan oleh Transparency International.

Siapa Transparency International?

Kalau nak tahu, Transparency International (TI) adalah merupakan NGO anti-rasuah terkemuka dunia. Mereka ini mempunyai kepakaran global bagi memahami rasuah yang berlaku di seluruh dunia.

Jadi Apa Itu Rasuah?

Kalau ikut definisi rasuah dalam Bahasa Inggeris:

“The offering, promising, giving, accepting or soliciting of an advantage as an inducement for an action which is illegal or a breach of trust.”

Business Principles for Countering Bribery

Kalau dalam Bahasa Melayu pula:

“Pemberian utk menumbuk rusuk (me­nyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap): Jabatan Pencegah R~; merasuahi memberi rasuah kpd: dia dituduh ~ pegawai itu; perasuah orang yg memberi rasuah: Allah mengutuk ~, orang yg menerima rasuah dan perantara rasuah antara kedua-duanya.”

Kamus Dewan Edisi Keempat

Jenis-Jenis Rasuah

Merujuk kepada gambar di atas, ada banyak jenis-jenis atau klasifikasi rasuah. Ada yang biasa kita dengar, namun ada juga beberapa istilah yang mungkin baru kepada kita.

Mengikut buku kerja bertajuk How To Bribe: A Typology Of Bribe Paying And How To Stop It yang diterbitkan oleh Transparency International ini, ada 8 jenis rasuah utama yang diamalkan di seluruh dunia.

1. Rasuah Secara Tunai

Ini mesti kita tahu kan, ada yang bagi ‘duit kopi’ secara tunai. Tak kira nilainya besar atau kecil, masih dianggap rasuah.

2. Layanan Baik Yang Keterlaluan

Mesti kita pernah dengar ‘lawatan sambil bermain golf’ di negara jiran, belanja makan di tempat yang mewah, pergi karaoke di kelab bangsawan dan bermacam-macam lagi contoh layanan baik yang disifatkan sebagai keterlaluan.

3. Rasuah Dalam Bentuk Hadiah

Kadang-kadang dapat pemberian jam mahal, pen mahal, beg tangan mahal dan bermacam-macam lagi rasuah yang diberikan dalam bentuk hadiah.

4. Awak Garu Belakang Saya, Saya Garu Belakang Awak

Dalam kes ini, kita saling bertukar-tukar pertolongan. Biasanya masing-masing akan menggunakan ‘kabel’ masing-masing bagi membuatkan sesuatu perkara tersebut jadi.

5. Pemudah Sesuatu Urusan

Rasuah juga boleh diberi sebagai ‘pelincir’ dalam memudahkan atau mempercepatkan sesuatu urusan. Orang lain mungkin ambil masa 2-3 minggu untuk setel, tapi dengan adanya ‘pelincir’ ini boleh kawtim dalam masa hanya beberapa hari.

6. Amal Kebajikan

Siapa yang tak suka menyumbang dengan tujuan untuk membuat amal kebajikan? Namun sumbangan jenis ini biasanya ada ‘udang di sebalik mee’ dan bukannya sumbangan yang ikhlas.

7. Tujuan Melobi

Sumbangan berunsur politik biasanya dilakukan oleh pihak yang menjalankan perniagaan dalam sesebuah negara. Dengan sumbangan kepada pihak kerajaan, menteri berkenaan akan memperjuangkan kepentingan perniagaan syarikat yang menyumbang tadi.

8. Komisen 5 Peratus

Ada juga rasuah yang berselindung di sebalik komisen, terutamanya yang melibatkan pembelian sesuatu barang atau perkhidmatan. Walaupun tak salah untuk menerima komisen, tetapi kadang-kadang kita dapat lihat invois yang dikenakan adalah lebih tinggi daripada asalnya.

Sekarang kita dah tahu serba sedikit mengenai definisi rasuah, akan datang kita akan lihat pula bagaimana rasuah ini dibayar. Yang biasa kita dengar, ianya melalui orang tengah, sub-kontraktor dan pembayaran ke akaun bank luar negara atau offshore account.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.