Manifesto Barisan Nasional, Gagasan Sejahtera dan Pakatan Harapan – Sudut Kewangan

Sedar tak sedar, tarikh 9 Mei 2018 semakin menghampiri kita. Anda yang bergelar pengundi sudah bersedia? Tiket penerbangan pergi-balik dah setel? Ke beli sehala je, ambil cuti sampai Awal Ramadhan?

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ada 14,940,624 pengundi berdaftar yang layak mengundi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Daripada jumlah tersebut, pengundi wanita mengatasi jumlah pengundi lelaki iaitu seramai 7,557,187 orang atau bersamaan dengan 50.58%.

Dah buat keputusan untuk memilih siapa untuk diberi mandat sebagai kerajaan baru?

Sumber gambar : Sinar Harian

Walau apa pun pilihannya, berikut kami ringkaskan beberapa bahagian manifesto yang menjadi teras kepada Barisan Nasional (BN), Gagasan Sejahtera (PAS, IKATAN, BERJASA, NGO) dan Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada PRU ke-14 nanti.

WANITA

BN – Perkasakan wanita dalam jaringan perniagaan – perluaskan peluang dan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan

GS – Tawarkan bantuan one-off RM2,000 sebagai modal kepada wanita berkerjaya untuk memulakan kerja dari rumah

PH – Iltizam khusus untuk wanita termasuklah memastikan sistem ekonomi negara peduli wanita dan memastikan penjagaan kesihatan dan keselamatan sosial wanita

Ketiga-tiga gagasan parti mempunyai manifesto khusus untuk golongan wanita yang merupakan majoriti pengundi pada PRU14. Manifesto ketiga-tiga komponen juga menunjukkan betapa pentingnya peranan golongan wanita dalam sosioekonomi negara. Jadi, golongan wanita lebih tertarik dengan manifesto yang mana?

GST

BN – TIADA

GS – Menghapuskan GST dan ganti dengan percukaian yang lebih adil

PH – Menghapuskan GST

Menghapuskan GST menjadi manifesto GS dan PH yang dianggap boleh menarik minat para pengundi, khususnya mereka yang rasa terkesan dengan pengenalan cukai ini. Bagaimanapun, jika GST dihapuskan, adakah akan berlaku pengenalan cukai baharu sebagai sumber pendapatan negara menggantikan GST? Dan sekiranya GST dikekalkan, kadar yang dikenakan dan siapa yang terlibat perlu dikaji semula supaya pendapatan negara tidak terkesan teruk; dan dalam masa yang sama tidak membebankan rakyat.

GAJI

BN – Tingkatkan gaji minimum sekurang-kurangnya hingga RM1,500 secara berperingkat dan tubuhkan Fair Works Commision untuk tentukan paras gaji pekerja sector swasta agar lebih setimpal

GS – TIADA

PH – Wujudkan 1 juta pekerjaan dengan gaji bulanan sekurang-kurangnya RM2,500 dalam lima tahun pertama pentadbiran PH serta menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan tingkatkan gaji minimum

Meningkatkan kadar gaji minimum boleh menjadi buah tangan kepada rakyat dalam mendepani kos hidup yang semakin tinggi. Bank Negara baru-baru ini juga mengeluarkan kenyataan bahawa gaji RM2,700 sebagai ‘gaji cukup makan’ untuk hidup di Kuala Lumpur. Tapi, adakah majikan mampu untuk menyediakan gaji minimum seperti yang dikempen dan apa bantuan yang boleh diberikan kepada majikan dalam menyediakan kadar gaji seperti yang dirancang?

PELUANG PEKERJAAN

BN – 3 juta peluang pekerjaan melalui pelbagai inisiatif  dan kurangkan pengambilan pekerja asing

GS – Rancakkan peluang pekerjaan baru dengan tambah dana untuk golongan bekerja sendiri dan usahawan dalam sektor pertanian dan industri asas tani dan kawal lambakan kemasukan pekerja asing

PH – Mewujudkan 1 juta pekerjaan dengan gaji bulanan sekurang-kurangnya RM2,500 dalam lima tahun pertama pentadbiran PH dan 200,000 daripada 1 juta pekerjaan akan diperuntukkan ke Sabah dan Sarawak

Isu pengangguran menjadi topik hangat terutamanya dalam kalangan belia. Menawarkan solusi pada isu ini menjadi manifesto popular yang boleh menarik pengundi khususnya anak muda yang menganggur.

Mengikut data daripada Jabatan Perangkaan, kira-kira 3.5% atau 504,100 orang penganggur di negara ini sehingga September tahun lalu. Mengurangkan pengambilan pekerja asing juga boleh mengurangkan persaingan dengan rakyat tempatan. Bagaimanapun, adakah rakyat tempatan bersedia untuk mengisi kekosongan pekerjaan yang bakal dikosongkan nanti?

anak muda mampu beli rumah

RUMAH

BN – (i) Tubuh bank khas untuk mudahkan pinjaman rumah berharga RM300,000 dan ke bawah

(ii) Tingkatkan bilangan Rumah Transit Belia 1Malaysia.

GS – (i) Laksana Program Mampu Memiliki Rumah melalui perkongsian kos antara rakyat dan kerajaan

(ii) Kurangkan harga rumah mampu milik antara RM50,000 hingga RM180,000

PH – Membina 1 juta rumah mampu milik di seluruh Malaysia dalam tempoh dua penggal kerajaan PH dan mewujudkan skim pinjaman perumahan khusus untuk belia yang ingin membeli harta pertama

Memiliki rumah hampir menjadi impian sahaja untuk golongan yang berpendapatan rendah kerana harga rumah yang semakin mahal. Dengan pengenalan kos rumah mampu milik yang lebih rendah, ia boleh membuka ruang kepada golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah sendiri. Jika skim tersebut dilaksanakan, ia perlu ditapis dengan lebih telus.

Sebagai contohnya, mengehadkan hanya satu rumah sahaja untuk satu pembeli bagi pembelian rumah mampu millik dan hanya yang berpendapatan rendah sahaja dibenarkan membeli. Dengan ini, hanya yang benar-benar layak dan memerlukan boleh memiliki rumah kos rendah.

PTPTN

BN – TIADA

GS – Lupuskan hutang peminjam PTPTN yang sedia ada untuk ringankan bebanan anak muda

PH – Membenarkan peminjam PTPTN tangguhkan bayaran balik jika pendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan serta pendidikan awam yang percuma dan lebih baik untuk setiap peringkat dari pra-sekolah ke universiti.

PTPTN mula diperkenalkan pada 1997 dengan tujuan membolehkan semua orang melanjutkan pengajian dan alternatif kepada pelajar yang tidak layak menerima biasiswa untuk membiayai pengajian. GS mahu melupuskan hutang peminjam PTPTN untuk ringankan beban anak muda. Persoalannya, bagaimana pula dengan mereka yang sudah membayar hutang tersebut? Adakah duit mereka akan dikembalikan semula? PH pula menawarkan penangguhan bayaran sehingga peminjam berpendapatan RM4,000 sebulan untuk membuat pembayaran balik. Sebelum ini, kerajaan membenarkan penstrukturan semula pembayaran bagi mereka yang tidak berkemampuan membayar mengikut jumlah yang ditetapkan. Bagi mereka yang mendapat ijazah kelas pertama, PTPTN ditukar kepada biasiswa dan peminjam tidak perlu membayar pinjaman.

Saban kali PRU tiba, pelbagai manifesto akan timbul untuk meraih undi. Sebagai pengundi, bagaimana mahu membuat pertimbangan terbaik? Perlu diingat, setiap satu undi boleh mengubah halatuju negara. Fikirkan yang terbaik dan timbangkan realistik setiap manifesto yang dicanang. Selamat mengundi!

Untuk mengetahu lebih lanjut manifesto setiap gagasan, boleh ke laman web Barisan Nasional, Gagasan Sejahtera dan Pakatan Harapan.

Bagi yang dah mendaftar untuk mengundi, sila buat Semakan Daftar Pemilih untuk tahu tempat membuang undi pada hari pengundian kelak.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian