Maybank Beri Biasiswa Penuh Kepada 61 Pelajar Daripada Keluarga Berpendapatan Rendah

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Malayan Banking Bhd (Maybank) menganugerahkan biasiswa penuh bernilai RM4 juta kepada 61 pelajar Malaysia yang layak daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di universiti tempatan dan luar negara terkemuka tahun ini.

Menurut Maybank, biasiswa di bawah Anugerah Biasiswa Kumpulan Maybank 2022 itu adalah tambahan kepada 71 pemegang biasiswa Maybank sedia ada yang masih melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi di bawah program biasiswa yang ditadbir oleh Yayasan Maybank ini.

Jumlah kos biasiswa untuk 132 pelajar ini adalah lebih kurang RM7.2 juta tahun ini, jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata sejak lima dekad lepas, lebih 2,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada program biasiswa Maybank, memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan organisasi serta negara.

“Kami kekal komited untuk terus membangunkan dan memperkaya kumpulan bakat berpotensi dengan menyediakan tajaan kepada pelajar Malaysia yang layak, terutama mereka dalam kategori B40, untuk melanjutkan pengajian tinggi yang berkualiti di universiti awam terkemuka di negara ini serta di Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Anugerah Biasiswa Kumpulan Maybank, yang telah menjadi inisiatif tanggungjawab korporat teras kumpulan sejak 1970-an, merangkumi sokongan kewangan termasuk yuran pengajian, elaun sara hidup, penginapan, elaun buku, perlindungan insuran dan komputer riba.

Ia bertujuan membangunkan bakat secara profesional melalui kerjaya yang memberikan manfaat bersama Maybank.

Program pembangunan kerjaya pula termasuk program pelatih, tugasan perniagaan serta bengkel pembangunan peribadi dan kepimpinan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/maybank-beri-biasiswa-penuh-kepada-61-pelajar-daripada-keluarga-berpendapatan-rendah/

Previous ArticleNext Article

BJAK Diluluskan Oleh Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR: Seiring dengan peningkatan rakyat Malaysia yang beralih kepada platform digital untuk memperbaharui insurans dan cukai jalan, keperluan untuk memilih penyedia perkhidmatan yang dipercayai serta dikawal selia semakin penting.

BJAK, platform insurans terbesar di Malaysia, terus menyokong rakyat negara ini dengan menyediakan cara yang lebih mudah dan telus untuk membanding serta memperbaharui insurans dan takaful kenderaan secara dalam talian.

BJAK merupakan Penasihat Kewangan diluluskan oleh Bank Negara Malaysia, sekali gus memangkin komitmennya dalam menyediakan platform yang dipercayai untuk perbandingan dan pembaharuan insurans.

Melalui BJAK, pengguna boleh membandingkan pelan daripada sehingga 16 syarikat insurans dan pengendali takaful dalam satu platform. Ini membolehkan pengguna membuat keputusan yang lebih bijak berdasarkan harga, perlindungan dan manfaat, semuanya melalui pengalaman digital yang mudah dan lancar.

Dalam era peningkatan kes penipuan dalam talian serta maklumat yang mengelirukan, rakyat Malaysia disarankan agar sentiasa menyemak kesahihan penyedia perkhidmatan kewangan sebelum membuat sebarang pembayaran atau berkongsi maklumat peribadi secara dalam talian.

Pemilihan platform yang dikawal selia dan dipercayai dapat membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih selamat dan yakin.

Selain perbandingan insurans, BJAK turut menawarkan perkhidmatan pembaharuan cukai jalan secara dalam talian, sekali gus memudahkan rakyat Malaysia menguruskan keperluan berkaitan kenderaan mereka secara digital.

Dengan membolehkan pengguna membandingkan pelbagai syarikat insurans dan pengendali takaful di satu tempat, BJAK komited untuk membantu rakyat Malaysia mengelakkan pembaharuan secara terburu-buru tanpa perbandingan, di samping menggalakkan keputusan kewangan yang lebih bijak melalui ketelusan dan pilihan.

— Awani