Malaysia Raih Hampir US$2 Bilion Menerusi Terbitan Sukuk Sri Dari 2015 Hingga 2021 – SC

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) — Malaysia meraih hampir US$2 bilion (US$1= RM4.614) menerusi 21 terbitan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) dari tempoh 2015 hingga 2021, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengerusinya Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata sukuk SRI pertama diterbitkan pada 2015, yang membiayai pembangunan sekolah amanah di Malaysia, diikuti terbitan sukuk hijau pertama dunia pada 2017 untuk membiayai pembinaan jana kuasa solar berskala besar. 

“Dalam hal Malaysia, dengan adanya struktur pengawalseliaan khusus, terutamanya bagi SRI Islam, telah membolehkan instrumen dan pelaburan Islam berkembang maju,” katanya pada Forum Kewangan dan Pelaburan Mampan Islam Asia Keempat di sini, hari ini.  

Awang Adek berkata pengalaman selama berdekad-dekad Malaysia dalam produk dan perkhidmatan Syariah adalah hasil daripada tiga prasyarat kritikal bagi evolusi industri dan pasaran yang berterusan, iaitu rangka kerja kawal selia yang memudahkan, ekosistem yang menyokong dan rakan setara. 

Di peringkat serantau, katanya, terbitan bon dan sukuk hijau, sosial dan kemampanan berlabel ASEAN berjumlah US$27.2 bilion setakat 19 Ogos, 2022 dengan Malaysia menyumbang 20 peratus daripada jumlah itu.

“Ini  termasuk sukuk kemampanan berdaulat Malaysia yang diselaraskan kepada standard bon kemampanan ASEAN,” katanya. 

Sementara itu, Awang Adek berkata Malaysia ketika ini sedang membangunkan taksonomi SRI bagi pasaran modal Malaysia yang sejajar dengan cadangan pelan hala tuju SRI negara.

“Dengan mengelaskan apa aktiviti ekonomi yang dianggap sebagai mampan, taksonomi SRI akan menggalakkan peruntukan modal kepada inisiatif mampan. 

“Ia juga akan membentuk ketelusan bagi pengurusan risiko iklim dan pembiayaan peralihan serta meningkatkan pembabitan pemegang kepentingan,” katanya. 

Beliau berkata bersama-sama dengan program pembinaan kapasiti teknikal, taksonomi SRI akan menggalakkan pelaksanaan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang berterusan dan matlamat kemampanan lain.  

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-raih-hampir-us2-bilion-menerusi-terbitan-sukuk-sri-dari-2015-hingga-2021-sc/

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.