LHDN Ajak Orang Ramai Mengaku. Kalau Tidak….

Kalau anda seorang rakyat yang baik iaitu setiap tahun tanpa gagal melapor dan mengisytihar pendapatan dengan betul dekat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) maka anda tak perlu risau.

Sebagai usaha untuk meringankan beban rakyat, kerajaan telah mengumumkan Program Khas Pengakuan Sukarela (Pengakuan Sukarela) dalam pembentangan Bajet 2019.

Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan dan seterusnya berupaya meningkatkan kutipan hasil untuk pembangunan negara.

Melalui tawaran ini pembayar cukai akan dikenakan penalti yang lebih rendah iaitu antara 10% hingga 15% daripada amaun cukai yang kena dibayar berbanding kadar penalti yang lebih tinggi antara 80% hingga 300% selepas tempoh pengakuan sukarela tamat.

Tawaran ini dibuat di mana-mana pejabat LHDN seluruh negara bermula pada 3 November 2018 dan akan berakhir pada 30 Jun 2019.

Program khas ini ditawarkan kepada 4 kategori pembayar cukai di mana kadar penalti akan dikurangkan mengikut tempoh pengakuan sukarela dan bayaran cukai dibuat.

1. Pembayar cukai yang belum berdaftar dengan LHDNM dan belum mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) / Borang Nyata Petroleum (BNP) / Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) bagi mana-mana tahun taksiran.

Kalau mampu pakai kereta Audi, Ford Mustang, BMW tetapi masih belum ada fail cukai dengan LHDN memang melampau! Kami yang pakai Pesona 1.6cc pun setiap bulan kena potong gaji bayar Potongan Cukai Berjadual (PCB).

2. Pembayar cukai yang sudah berdaftar dengan LHDNM tetapi masih belum mengemukakan BNCP / BNP / BNCKHT bagi mana-mana tahun taksiran.

Ini mesti kes buat-buat lupa tanggungjawab kena hantar borang cukai padahal ada pendapatan.

3. Pembayar cukai yang sudah mengemukakan BNCP / BNP / BNCKHT tetapi tidak membuat perisytiharan cukai yang betul.

Ini mesti kes mengelat atau tipu-tipu masa isi borang cukai. Kau makan gaji dan ada income rumah sewa tetapi kau lapor dekat LHDN yang makan gaji saja.

Kalau syarikat pula suka tipu bab belanja untuk ‘kurangkan’ untung syarikat atas kertas. Jangan lupa Pengarah syarikat bertanggungjawab di bawah seksyen 75A Akta Cukai Pendapatan untuk pastikan tiada ‘kecurangan cukai’ berlaku.

Tempoh Membuat Pengakuan Sukarela & Kadar Penalti

3 November 2018 – 31 Mac 2019 – 10% (bayaran penuh cukai mesti dibuat sebelum atau pada 1 April 2019)
1 April 2019 – 30 Jun 2019 – 15% (bayaran penuh cukai mesti dibuat sebelum atau pada 30 Jun 2019)

4. Pembayar duti yang gagal membuat penyeteman suratcara dalam tempoh yang ditetapkan.

Ini kes suratcara yang tidak dimatikan setem dalam tempoh tertentu iaitu 30 hari dari tarikh perjanjian. Kalau terlewat, kenalah bayar penalti. Termasuk juga kalau kes tipu guna setem palsu. Dulu-dulu memang wujud penipuan ni, sekarang tak tahulah kalau masih ada. Boleh rujuk laporan mStar & Kosmo.

Surat cara didefinisikan sebagai setiap dokumen bertulis dan pada amnya duti setem dikenakan ke atas surat cara jenis undang-undang, komersial dan urusan kewangan. Surat cara yang dikenakan duti adalah surat cara yang tersenarai di bawah Jadual Pertama Akta Setem 1949.

Tempoh Membuat Pengakuan Sukarela & Kadar Penalti

3 November 2018 – 31 Mac 2019 – 10% atau minimum RM50
1 April 2019 – 30 Jun 2019 – 15% atau minimum RM100


Harap pihak LHDNM bertindak tegas supaya memberi keadilan kepada semua.

Bilangan pembayar cukai di Malaysia pun masih kecil, iaitu hanya 2.27 juta pekerja. Yang layak bayar cukai pula berapa kerat saja agaknya. Manakala hanya 168,244 syarikat daripada 1.08 juta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan LHDN dikenakan cukai. – Sumber BHOnline

Mana pergi yang lain?

Ramai ingat bila lari dari cukai pendapatan boleh selesai masalah. Ingat LHDN tak boleh jumpa.

Untuk pengetahuan anda semua, logiknya tak susah pun sebenarnya LHDN nak jumpa.

Bayangkan kuasa kepada maklumat yang bakal mereka perolehi selepas ini seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019. Setakat maklumat alamat macam-macam sumber ada; JPN, TNB, Telekom, Astro dan sebagainya.

Dapat maklumat kereta dari JPJ terus dapat banding dengan pendapatan yang dilapor logik atau tidak.

Sama juga halnya bila mereka dapat maklumat belian hartanah dari pemaju.

Jadi, adakah anda individu atau pemilik syarikat yang termasuk dalam 4 kategori di atas? Jika ya, maka segeralah ‘bertaubat’ dan terus ke pejabat LHDNM yang berhampiran.

Dari mata kasar kita “nampak rugi” bayar cukai pendapatan ni, tapi sebenarnya banyak manfaat yang tersirat. Isytihar betul-betul.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pengakuan sukarela ini boleh diajukan kepada Hasil Careline di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara) atau e-mel [email protected] .

Sumber : Kenyataan Media Lembaga Hasil Dalam Negeri

Garis Panduan Operasi Bil 1/2018
Program Khas Pengakuan Sukarela

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.