Nick Leeson: Punca Kejatuhan Barings Bank

Pada tahun 1995, industri perbankan dunia dikejutkan dengan skandal yang melibatkan bank tertua di United Kingdom, Barings Bank. Bank yang mempunyai reputasi yang tinggi itu diisytiharkan muflis setelah mengalami kerugian besar berpunca daripada perdagangan spekulatif yang tidak mendapat kelulusan.

Nick Leeson, seorang remaja berumur 25 tahun dilantik sebagai pedagang derivatives bagi Barings Bank di Singapura yang baru dibuka pada tahun 1992. Nick mula membuat perdagangan spekulatif dan berjaya menempa nama apabila dia membuat keuntungan yang menyumbang kepada 10% jumlah keuntungan tahunan bagi Barings Bank.

Beliau dihadiahkan bonus yang lumayan diatas dagangan yang tidak mendapat kelulusan dan melebihi had yang ditetapkan. Nick mendapat kebebasan di Barings Bank kerana terdapat kelemahan pada sistem bank tersebut.

Selain daripada itu, kedudukannya sebagai ketua operasi bagi Front-Office dan Back-Office yang sepatutnya dijawat oleh dua orang yang berbeza juga memudahkannya untuk menyembunyikan kesalahan yang dilakukan.

Di sebalik keuntungan yang diraih, terdapat rahsia yang semakin menggunung dan mengganggu fikirannya. Nick mula menyorokkan kerugian di dalam satu error account yang dicipta dan diberi nama ‘Account 88888’, demi menjaga reputasinya.

Error account tersebut dicipta bagi kesilapan yang tidak disengajakan, tetapi ianya telah disalah guna oleh Nick. Untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan, Nick mengambil keputusan untuk menggandakan saiz dagangan agar pergerakan kecil di dalam pasaran dapat memberi keuntungan yang lebih besar dan memperbaiki kesilapannya dengan cepat.

Pada 17 Januari 1995, indeks Nikkei 225 Futures mengalami tekanan jualan akibat gempa bumi yang melanda Kobe, Jepun. Bencana ini memberi impak kepada Nick kerana dia mempunyai pegangan yang besar di dalam short stradle bagi Nikkei 225 Futures di mana pegangan ini akan memberi keuntungan jika Nikkei 225 Futures hanya bergerak di dalam lingkungan yang tertentu.

Terkesan dengan kejadian tersebut, Nick membuat spekulasi bahawa indeks akan kembali pulih dalam masa yang singkat dan mula membeli Nikkei 225 futures dengan saiz yang besar. Keputusan Nick akhirnya memakan diri apabila indeks tersebut terus menjunam menyebabkan kerugiannya bertambah dengan cepat.

Nick meninggalkan nota ‘I’m sorry’ dan melarikan diri berikutan tekanan yang tinggi. Barings Bank mengalami kerugian sebanyak £827 juta dan telah melebihi dua kali ganda daripada jumlah modal mereka. Percubaan Bank of England untuk menyelamatkan Barings Bank gagal dan akhirnya dijual kepada ING Group dengan jumlah £1.

Bank yang berusia 230 tahun terpaksa berhenti beroperasi pada 26 Februari 1995. Nick kemudiannya ditangkap di Jerman dan dibawa kembali ke Singapura untuk menjalani hukuman penjara selama 6 tahun 6 bulan di Penjara Changi. Ketika didalam penjara, Nick membukukan kisahnya dan diadaptasi menjadi sebuah filem bertajuk ‘Rogue Trader’.

Nick dibebaskan pada tahun 1999 setelah disahkan menghidap kanser usus. Kini, Nick menjadi penceramah bebas dan pada masa yang sama, dia telah menghasilkan dua buah buku yang bertajuk ‘Don’t Panic: Understanding Personal Debt’ dan ‘Back from the Brink: Coping with Stress’.

Beliau juga aktif dalam bidang perdagangan saham, tetapi kini hanya dengan menggunakan wang sendiri.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.