7 Cara Nak Atasi Ketagihan Penggunaan Kad Kredit

Ketagih untuk berbelanja menggunakan kad kredit bukanlah sesuatu yang pelik, terutamanya untuk kaki shopping. Tabiat berbelanja tanpa kawalan dengan kad kredit boleh menyebabkan kesan yang buruk terhadap hidup seseorang seperti masalah hutang, masalah rumah tangga, kerjaya dan sebagainya.

Di antara simptom-simptom seseorang itu mengalami ketagihan kad kredit adalah :

  • Menggunakan kad kredit tanpa kawalan
  • Tak mahu menggunakan tunai
  • Mempunyai terlalu banyak kad kredit
  • Tidak mampu untuk menabung

Jika ada di kalangan kita mempunyai simptom-simptom di atas, ini merupakan petanda bahawa kita mungkin sedang mengalami ketagihan kad kredit. Jadi, sangat penting untuk menghilangkan ketagihan terhadap kad kredit.

Berikut merupakan tips yang boleh digunakan untuk menghilangkan ketagihan kad kredit.

1. Teliti Keadaan Kewangan

Check semula situasi kewangan semasa. Ini bagi memastikan kita mendapatkan gambaran yang jelas tentang keadaan sebenar kewangan peribadi.

Lihat jumlah tunggakkan hutang serta perbelanjaan bulanan kad kredit. Kaedah terbaik bagi melihat perbelanjaan dan juga hutang adalah dengan membuat penyata pendapatan peribadi.

Jadi kita boleh lihat berapa banyak duit yang telah kita belanja untuk sebulan. Berbaloi atau tidak dengan gaji kita?

2. Hentikan Penggunaan Kad Kredit

Langkah seterusnya adalah menghentikan penggunaan kad kredit. Walaupun bukan untuk selamanya, tetapi at least buat masa sekarang bagi memperbaiki tahap kewangan kita terlebih dahulu.

Mula membayar segalanya secara tunai. Ini akan membuatkan kita lebih peka dengan segala belanja yang kita keluarkan.

Jika kita sudah mula dapat mengawal diri dalam berbelanja, barulah kita boleh menggunakan kembali kad kredit. Tapi ingat, jangan mudah mengikut nafsu dan terjerat lagi dengan hutang kad kredit yang melampau!

3. Kendalikan Hutang

Bergantung kepada jumlah hutang yang ditanggung, kita mungkin mahu menyatukan hutang atau mendapatkan kad lain bagi membuat pemindahan baki.

Kalau nak tahu, terdapat banyak syarikat kewangan yang menawarkan bantuan untuk kita menyusun semula hutang bagi memulihkan situasi kewangan yang kita sedang alami.

4. Buat Dana Kecemasan

Walaupun telah bersedia dengan pelindungan takaful bagi segala aspek seperti medical card, takaful kenderaan, takaful hayat dan sebagainya, kita masih berpotensi untuk menghadapi masalah kewangan.

Dengan adanya simpanan kecemasan ini, beban kewangan kita boleh diringankan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

5. Buat Senarai Sebelum Keluar Membeli-belah

Kebanyakan orang pasti pernah mengalami situasi di mana lain yang ingin dibeli, lain pula barang yang dibawa balik. Sebab itu, penting untuk anda menyenaraikan apa yang perlu anda beli.

Bila sudah sampai ke kedai atau pasar raya tersebut, terus ambil barangan dalam senarai tadi. Mata tu pula janganlah meliar melihat promosi benda lain pula.

Kalau kita dapat mendisiplinkan diri, kita pasti dapat mengelakkan dari membazir atau membeli barang yang tidak penting.

6. Tinggalkan Dompet Di Rumah

Kalau kita tak merancang untuk membeli apa-apa di luar, buat apa nak bawa dompet atau beg duit?

Bagi kaki shopping ini mungkin merupakan langkah terbaik untuk mengelakkan diri daripada melencong masuk ke mana-mana kedai untuk membeli barang.

7. Dapatkan Nasihat Pakar

Satu lagi cara terbaik untuk mengurangkan ketagihan ini adalah dengan mendapatkan khidmat bantuan dan juga nasihat daripada mereka yang lebih pakar. Buat peringkat awal, kita mungkin boleh meminta pendapat daripada ahli keluarga atau rakan-rakan yang boleh dipercayai.

Walaupun kad kredit mampu memberikan pelbagai manfaat dan juga ganjaran kepada penggunanya, sekiranya tidak pandai mengawal diri, seseorang itu boleh terjerat ke dalam masalah yang lebih besar seperti muflis.

Jadi kita harus bijak dan berdisiplin semasa menggunakannya. Jangan biarkan diri dikawal oleh nafsu berbelanja.

Sumber Rujukan: MyPF

Previous ArticleNext Article

Kad Kredit AmBank BonusLink Visa Memperbaharui Program Kesetiaan

KUALA LUMPUR, 3 Disember 2025 – AmBank telah melancarkan pengalaman baharu untuk Kad Kredit BonusLink Visa mereka, menjadikan pengumpulan dan penebusan Mata BonusLink lebih berbaloi serta menawarkan nilai yang lebih tinggi bagi setiap Ringgit dibelanjakan selaras dengan gaya hidup pengguna masa kini.

Pemegang Kad Kredit AmBank BonusLink Visa Signature kini boleh menikmati 5 Mata BonusLink Tambahan bagi setiap RM1 dibelanjakan di semua stesen Shell dan gedung Parkson. Selain itu, mereka akan memperoleh 2 Mata BonusLink bagi setiap RM1 dibelanjakan untuk kategori Makan, Barangan Runcit, Membeli-belah Runcit dan transaksi Luar Negara. Sementara itu, pemegang Kad Kredit AmBank BonusLink Visa Platinum akan menerima 3 Mata BonusLink Tambahan bagi setiap RM1 dibelanjakan di Shell dan Parkson, serta 1 Mata BonusLink bagi setiap RM1 untuk kategori harian yang sama.

Pemegang kad boleh menukar Mata BonusLink mereka kepada wang tunai serta-merta, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun Semasa atau Simpanan AmBank mereka. Ciri pertama dalam industri ini boleh dinikmati apabila pemegang kad memautkan akaun BonusLink mereka melalui Aplikasi AmOnline, di mana mereka juga boleh memantau baki mata secara masa nyata dan menebus dengan mudah.

“Kad Kredit AmBank BonusLink Visa yang diperbaharui ini menawarkan ganjaran dan fleksibiliti lebih besar untuk pelanggan kami. Dengan mata ganjaran lebih tinggi di Shell dan Parkson, ditambah pula dengan penukaran mata kepada wang tunai secara serta-merta melalui Aplikasi AmOnline, kami memberikan kemudahan dan manfaat gaya hidup yang melangkaui perbankan tradisional,” kata Cheong Chee Wai, Pengarah Urusan, Perbankan Runcit, AmBank.

“Kami sangat berbangga dengan Kad Kredit jenama bersama yang dikemas kini ini bersama AmBank, yang kini meningkatkan cara ahli BonusLink memperoleh mata dan memanfaatkan kekuatan rakan-rakan gabungan kami seperti tidak pernah sebelum ini. Ini hanyalah permulaan untuk memberi lebih banyak ganjaran kepada ahli kami,” kata Bruno Araujo, Ketua Pegawai Eksekutif, BonusLink.

Selain itu, pemegang kad akan menikmati naik taraf percuma ke Keahlian Shell Gold Tier, memperoleh 2X Mata BonusLink setiap liter untuk bahan api Shell FuelSave95 dan 5X Mata untuk Shell V-Power Racing. Pemegang kad juga boleh menikmati 5X Mata dengan perbelanjaan terkumpul sebanyak RM30 di Shell Select atau Shell Lubricants. Baucar Shell Café turut boleh ditebus dengan hanya 1 Mata BonusLink melalui aplikasi BLINK atau Aplikasi Shell. Naik taraf Gold Tier ini tersedia sehingga 31 Disember 2026.

“Shell memperkenalkan promosi ini bersama AmBank dan BonusLink untuk menawarkan lebih banyak cara kepada pelanggan kami untuk pergi lebih jauh. Dengan ini, rakyat Malaysia akan mendapat nilai lebih baik untuk setiap liter petrol. Kad Kredit AmBank BonusLink Visa memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia dengan Mata BonusLink tambahan untuk setiap isian minyak, termasuk naik taraf automatik ke Gold Tier dalam program Shell Power Up. Dengan aplikasi Shell baharu, lebih mudah untuk menebus petrol BUDI95 anda dan menerima ganjaran,” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar Mobiliti & Kemudahan, Shell Malaysia.

Sempena peningkatan ini, AmBank menawarkan bonus alu-aluan sehingga 45,000 Mata BonusLink untuk pemohon baharu Kad Kredit AmBank BonusLink Visa, sah mulai sekarang hingga 31 Mac 2026. Untuk maklumat lanjut dan permohonan, layari ambank.com.my/BL.