KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — Cadangan perubahan dalam pengiraan faedah untuk sewa beli (HP) bagi mengurangkan baki daripada Peraturan 78, berkemungkinan besar tidak dapat dilaksanakan, kata RHB Research.
Ini disebabkan perubahan tersebut tidak dapat dilaksanakan secara retrospektif atau menyeluruh dan bank-bank dijangka bertindak mengekalkan kadar faedah efektif (EIR).
Dalam nota tinjauannya hari ini, RHB Research berkata kalangan bank-bank juga telah menerima pendapatan faedah HP dengan menggunakan kaedah EIR tersebut dan berikutan itu, impaknya adalah neutral walaupun terdapat sebarang perubahan terhadap Akta Sewa Beli 1967 (HPA 1967).
“Bank-bank juga pada masa ini mengekalkan jadual pembayaran balik masing-masing berdasarkan Peraturan 78. Bagi kes-kes penyelesaian awal, sebarang pelarasan perlu dibuat membabitkan perbezaan baki mengikut pengiraan Peraturan 78 dan EIR tersebut,” katanya.
Media semalam melaporkan bahawa Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna telah mencadangkan perubahan dalam pengiraan faedah HP bagi mengurangkan baki daripada Peraturan 78 yang menjadi antara usaha memodenkan akta tersebut selain dapat mempertingkat hasil pengguna.
Cadangan perubahan lain terhadap HPA 1967 adalah penerimaan tandatangan digital dan elektronik untuk proses perjanjian sewa beli.
Peraturan 78 itu menetapkan pengiraan faedah dibuat terlebih dahulu berdasarkan jumlah prinsipal dan tidak mengambil kira pengurangan prinsipal tertunggak selepas setiap pembayaran balik oleh peminjam.
Berikutan itu, peminjam membayar sebahagian besar faedah dalam tempoh awal tempoh pinjaman manakala yang memilih untuk membuat penyelesaian awal pula berhadapan dengan jumlah prinsipal lebih tinggi berbanding kaedah lain untuk mengira pembayaran faedah berkenaan.
Atas alasan ini, kaedah tersebut dijangka digantikan dengan pendekataan pengurangan baki yang lebih konvensional.
RHB Research juga menjangkan bagi pelaksanaannya, cadangan perubahan tersebut akan hanya membabitkan kontrak HP baharu yang ditandatangani selepas perubahan Akta HP.
“Peminjam sedia ada akan terus tertakluk dengan kontrak HP sedia ada,” katanya.
Menurutnya, dengan mengandaikan bank-bank memilih kaedah kadar faedah terapung selepas perubahan tersebut, ini akan menaikkan kadar leveraj bagi bank dan mengurangkan potensi kerugian modifikasi sekiranya bank-bank perlu melalui program moratorium sepertimana yang dibuat pada 2020.
RHB Research juga telah mengekalkan saranan ‘overweight’ bagi sektor perbankan dengan Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank menjadi pilihan utamanya.
Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.
Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:
Pendapatan sewa rumah/homestay
Bisnes online
Grab/Food Panda rider
Content creator
Komisen jualan
Ejen insurans/takaful
Ejen hartanah
Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.
Apa Itu CP500?
CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.
Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.
Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.
Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?
Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.
Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.
Sebagai contoh:
Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.
CP500 Bukan Cukai Tambahan
Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.
Sebenarnya tidak.
Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.
Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.
Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500
Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.
Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.
Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.
Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?
Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:
Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.
Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.
Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.
Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?
Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.
Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.
Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.
Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.
Contoh:
Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.
Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.
Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.
Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.
Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.
Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.