Revlon, Syarikat Kosmetik Terkenal Ini Di Ambang Muflis

Pasaran untuk produk kosmetik merupakan perniagaan yang sangat menguntungkan yang kini bernilai lebih daripada USD100 bilion.

Banyak syarikat kosmetik yang terkenal di dunia sama ada yang baru dan juga yang lama, berlumba-lumba untuk membangunkan produk kosmetik yang menjadi kegilaan kaum wanita.

Di antara jenama yang sering kita dengar dalam menghasilkan kosmetik adalah seperti Avon, Maybelline dan L’Oreal.

Jenama ini merupakan jenama yang sangat gah dalam dunia kosmetik dan sudah berdekad berada dalam industri ini.

Namun, kini ada sebuah syarikat kosmetik yang berasal dari Amerika Syarikat yang sedang mengalami kejatuhan dan hampir diisytiharkan muflis.

Revlon pernah menjadi kuasa besar dalam dunia kosmetik pada era 1960-an. Kini syarikat ini menghadapi masalah kewangan yang sangat teruk.

Kredit Gambar: Cosmetic Sand Skin

Revlon merupakan syarikat yang diasaskan pada tahun 1932 oleh dua beradik Charles da Joseph Revson bersama dengan seorang ahli kimia CR Lachman. Produk pertama keluaran syarikat ini adalah pewarna kuku.

Sambutan yang diterima oleh produk ini sangat luar biasa dan menyebabkan Revlon mempelbagaikan lagi produk keluaran syarikat mereka dan gincu bibir merupakan pilihan utama mereka.

Kredit Gambar: The Guardian

Pada era 1940-an, mereka telah mengeluarkan gincu bibir pertama dan sambutan yang diterima cukup tinggi. Perkembangan yang luar biasa dalam industri kosmetik dari tahun 1940 hingga 1946 sangat memberangsangkan dan Revlon mendapat tempiasnya.

Perniagaan Berkembang Ke Peringkat Antarabangsa

Pada era 1950-an dan 60-an, syarikat ini menaikkan bajet dalam pengiklanan dengan menggunakan model yang terkenal untuk menarik minat pelanggan baru.

Pada dekad 1960-an, syarikat ini telah mengembangkan pasaran mereka ke negara Asia dengan Jepun merupakan pasaran pertama mereka. Walaupun menjual produk kosmetik di Jepun, syarikat ini tetap meggunakan model Amerika Syarikat dan tidak menggunakan model tempatan bagi tujuan pengiklanan.

Ini disebabkan rakyat Jepun amat meminati fesyen dari Amerika Syarikat.

Tahun 1970-an merupakan tahun kemuncak bagi syarikat ini dan mereka menjadi syarikat kedua terbesar di Amerika Syarikat dalam jualan kosmetik, di belakang syarikat Avon.

Bermula Zaman Kejatuhan Revlon

Pada era 1980-an,syarikat ini mula goyah akibat persaingan. Di antara pesaing utama mereka adalah Estée Lauder yang juga merupakan syarikat yang berpangkalan di New York. Estée Lauder telah menguasai pasaran pengiklanan majalah-majalah terkenal di sana.

Pada ketika inilah Revlon mula merosot dan seorang pelabur yang bertaraf bilionaire bermana Ronald Parel telah membeli junk bond syarikat ini pada tahun 1985. Revlon yang pada masa itu dibebani dengan hutang, tetapi adanya pelabur ini, ia telah mengurangkan bebanan hutang syarikat.

Masuk era 1990-an pula, persaingan menjadi semakin sengit. P&G yang merupakan salah sebuah syarikat konglomerat turut memasuki pasaran kosmetik dengan produk kosmetik Olay dan SK-II.

Sepanjang dekad ini, citarasa pengguna telah berubah di mana mereka lebih suka mekap yang kurang tebal bagi menampakkan kecantikan semulajadi.

Sejak dari itu, perkembangan perniagaan kosmetik Revlon tidak menunjukkan perkembangan positif sebaliknya semakin merudum. Persaingan dengan syarikat kosmetik yang baru seperti Kylie Jenner telah menyebabkan Revlon tidak lagi relevan dalam pasaran.

Baca: Kekuatan Pengaruh Media Sosial Menjadikan Kylie Jenner Bilionaire Termuda Dalam Sejarah Moden

Kylie Jenner yang menubuhkan syarikat kosmetiknya sendiri telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada para peminatnya. Kosmetik keluaran Kylie Jenner tidak memerlukan kos pengiklanan yang besar kerana Kylie Jenner merupakan seorang public figure yang sangat terkenal di Amerika Syarikat.

Kredit Gambar : History Of Branding

Kini timbul pula isu pandemik yang memberi kesan yang sangat besar kepada syarikat kosmetik. Ketika orang ramai duduk terperap di rumah, penggunaan kosmetik tidak lagi penting terutamanya gincu.

Revlon yang sebelum ini telah tenat menjadi bertambah tenat. Syarikat ini bakal muflis jika keadaan berterusan tanpa campur tangan pelabur yang berminat untuk menyelamatkan syarikat ini.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.