SolarCity, Projek Tesla Yang Menemui Kegagalan

Bila kita sebut nama Elon Musk, ramai akan terbayang kehebatan insan yang berasal dari Kanada itu. Memang tidak dinafikan bahawa beliau merupakan manusia yang terhebat yang pernah wujud di dunia moden ini di dalam industri teknologi.

Jadi tidak hairanlah beliau digelar sebagai Iron Man versi dunia nyata. Beliau menguruskan pelbagai jenis syarikat yang berkaitan teknologi dan yang paling menonjol adalah SpaceX dan Tesla.

Kedua-dua syarikat ini menguasai bidang masing-masing dan menjadi leader dalam pasaran. Kejayaan yang dimiliki oleh Tesla telah menjadikan Elon Musk sebagai manusia kedua terkaya di dunia.

Walaubagaimanapun, tidak semua syarikat yang dimiliki Elon Musk ini menerima nasib yang sama seperti Tesla dan SpaceX. Di antara syarikat yang kurang memberangsangkan adalah SolarCity.

Sejarah SolarCity

Kredit Gambar: Greedy When Fearful

Syarikat ini diasaskan pada tahun 2006 oleh Peter dan Lyndon Rive, yang merupakan sepupu kepada Elon Musk. SolarCity dibangunkan untuk menyambut baik keputusan kerajaan yang menggalakan penyediaan tenaga hijau kepada orang ramai.

Bagi bersaing, syarikat ini telah menyediakan panel solar kepada pelanggan mereka secara percuma dan pelanggan perlu menyewa panel tersebut selama 20 tahun.

Sembutan yang diterima oleh SolarCity begitu menggalakkan, tetapi mereka telah menghadapi bebanan hutang yang tinggi. Akhirnya syarikat ini telah berhutang lebih daripada USD1.5 bilion akibat model perniagaan yang dijalankannya.

Pada tahun 2015, SpaceX telah membeli beberapa juta unit saham SolarCity. Tidak dapat dipastikan mengapa SpaceX berminat untuk mendapatkan SolarCity kerana kedua-dua syarikat ini saling tidak berkait di antara satu sama lain.

Walaupun telah mendapat dana daripada SpaceX, SolarCity masih lagi tidak dapat bertahan dalam industri perniagaan solar.

Pembelian Pelik Oleh Elon Musk

Kredit Gambar: Business Insider

Akhirnya pada tahun 2016, Elon Musk telah membuat pengumuman yang mengejutkan dengan membeli SolarCity melalui Tesla pada harga USD2.8 bilion. Ianya merupakan pembelian yang ganjil kerana SolarCity tidak mempunyai sebarang rekod yang menghasilkan keuntungan sebelum ini, malah datang dengan bebanan hutang yang tinggi.

Pembelian ini menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak termasuklah pemegang saham Tesla yang menyifatkannya sebagai pembelian yang pelik. Akhirnya, SolarCity diserap sebagai anak Syarikat Tesla dan dikenali sebagai Tesla Energy.

Elon Musk masih lagi mengekalkan sepupunya sebagai CEO. Penganalisis percaya pembelian SolarCity oleh Elon Musk ini dapat menggabungkan teknologi panel solar ke dalam produk mereka.

Pada tahun 2017, Elon Musk buat pertama kali telah menperkenalkan Tesla Solar Roof yang dikeluarkan oleh Tesla Energy. Oleh kerana Elon Musk mempunyai pengaruh yang tinggi didalam dunia teknologi, ramai peminat teruja untuk mendapatkan Tesla Solar Roof keluaran Tesla ini.

Indah Khabar Dari Rupa

Disebabkan percaya kepada Elon Musk, tempahan yang diterima oleh Tesla Solar Roof sangat memberangsangkan. Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan Tesla Solar Roof ini terpaksa melakukan pre-order terlebih dahulu.

Kini setelah berada hampir 4 tahun di pasaran, ada pelanggan yang mula tidak berpuas hati dengan produk tersebut. Ada juga pelanggan yang menempah Tesla Solar Roof tetapi sehingga sekarang masih tidak menerimanya.

Sebahagian besar daripada pelanggan telah dipulangkan wang deposit mereka, kerana Tesla memberi alasan bahawa kawasan tersebut tidak terdapat dalam liputan syarikat.

Kredit Gambar: Arstechnica

Selain rungutan daripada pelanggan, Tesla juga berdepan dengan tindakan undang-undang daripada Walmart apabila telah menyebabkan kebakaran gedung beli-belah mereka pada tahun 2019.

Akhirnya pada tahun ini, Elon Musk mengakui bahawa Tesla Solar Roof merupakan produk paling teruk yang pernah dihasilkan.

Sumber Rujukan: The Verge

Walaupun begitu, harga saham Tesla maintain power. Dalam masa setahun, harga saham Tesla telah meningkat sebanyak 230%.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu. Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.
MajalahLabur mungkin menerima manfaat apabila pembaca mendaftar menggunakan kod tersebut. Terima kasih!

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.