Sudah Jatuh Ditimpa Tangga, Adakah Nokia Bakal Mengulangi Sejarah Hitam?

Sejarah pasti akan berulang…

Kita mesti pernah dengar pepatah ini, ianya juga sering digunakan untuk menggambarkan pasaran saham. Pelabur terkenal pada abad ke-20 Jesse Livermore, turut bersetuju dengan kenyataan ini. Apa yang pernah berlaku pada masa silam, pasti akan berulang pada masa hadapan.

Mereka yang berumur 30 tahun dan ke atas pasti kenal dengan nama Nokia. Syarikat telekomunikasi ini sangat popular pada era 1990-an. Dan seperti yang kita tahu, syarikat ini hampir muflis ketika berlakunya perubahan yang mengejut di dalam industri telefon pintar yang dipopularkan oleh Apple pada tahun 2007.

Sebelum wujudnya iPhone, Nokia telah menguasai segmen telefon mudah alih melebihi separuh daripada pasaran dunia. Di antara model yang sinonim dengan kehebatan Nokia adalah model 3310, yang mana telefon bimbit ini diktiraf sebagai yang paling lasak pernah dicipta.

Nasib malang menimpa syarikat ini bermula tahun 2007 apabila Nokia tidak dapat bersaing dengan pengeluar telefon yang lain terutamanya Apple. Ramai penganalisis mengatakan syarikat ini tidak mengeluarkan belanja yang besar di dalam bidang penyelidikan (R&D).

Ada juga yang menolak pendapat ini kerana Nokia telah mengeluarkan belanja yang begitu besar di dalam penyelidikan mereka sehingga mencecah $4 bilion. Tetapi apa yang pasti tentang kejatuhan Nokia ini, adalah disebabkan CEO mereka yang tidak mempunyai visi yang jelas dan keliru dengan perkembangan teknologi telefon pintar.

Dengan mengenepikan teknologi Android dan kekal dengan sistem perisian yang dibangunkan oleh mereka sendiri iaitu Symbian, akhirnya Nokia kecundang pada tahun 2012 selepas mereka dibeli oleh Microsoft. Tetapi sebelum itu, Nokia kerjasama secara rasmi dengan Microsoft dalam membangunkan telefon pintar bersama.

Syarikat Nokia yang bernilai sebanyak $150 bilion pada tahun 2007 telah dibeli oleh Microsoft pada harga $7.6 bilion pada tahun 2013. Selepas penjualan divisyen telefon pintar kepada Microsoft, Nokia telah memfokuskan kepada teknologi rangkaian mudah alih.

Mereka kini bersaing dengan syarikat yang terkenal seperti Huawei dan Ericsson di dalam penyediaan rangkaian mudah alih 5G kepada rangkaian seluruh dunia. Nasib yang menimpa Nokia juga nampaknya seakan seperti sebelum ini. Syarikat ini gagal untuk bersaing di dalam pasaran antarabangsa terutamanya pesaing dari China.

Paling malang, Nokia turut terjejas dengan perang perdagangan yang berlaku di antara China dan juga Amerika Syarikat yang mana menyaksikan Nokia teleh terlepas peluang untuk berkerjasama dengan syarikat telefon yang terkenal di China, China Mobile akibat perang perdagangan yang berlaku ini.

Lebih malang lagi apabila Nokia juga gagal dalam membida kontrak untuk membina rangkaian 5G untuk Amerika Syarikat yang telah menyaksikan Samsung memenangi kontrak tersebut.

Dengan kegagalan yang dialami oleh syarikat ini, Nokia terpaksa melakukan penstukturan semula syarikat dengan membuang pekerja dan menambahkan lagi sumber kewangan untuk melakukan penyelidikan.

Dengan musibah yang sekarang ini melanda Nokia, adakah syarikat ini bakal tenggelam buat kali kedua?

Sumber Rujukan: https://www.theneweconomy.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.