Tips Kurangkan Cukai LHDN

“Biasanya, golongan yang ingkar membayar cukai bukan disebabkan tidak berkemampuan tetapi dipercayai sengaja berbuat demikian untuk menjimatkan duit dan mengaut lebih banyak keuntungan” – Dr Bahyah Baba.

Mulai tahun 2015 individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.

Ini adalah tips-tips untuk kurangkan cukai pendapatan (LHDN) bagi rakyat marhaen yang bakal isi Borang BE & B.

Ingat, jika korang makan gaji sahaja (tiada punca pendapatan perniagaan) isi online borang BE.

Korang yang berbisnes menggunakan ENTERPRISE (pemilikan tunggal atau perkongsian)

atau

ada bisnes sebagai ejen terima komisen

atau

ada pendapatan sewa rumah/rumah-rumah, sila isi online borang B.

Sekejap, tips ini buat tahun ini (2020) tapi hanya terpakai masa isi borang tahun depan (2021). Berdoalah juga Kementerian Kewangan kita tak buat pindaan ke atas pelepasan-pelepasan cukai yang sedia ada ini.

1. Cepat-cepat pergi beli buku, komputer, alat sukan, telefon pintar atau tablet. Tapi ingat, jangan beli yang mahal-mahal sangat sebab maksimum boleh claim nanti RM2,500 saja.

2. Ada mak dan / atau ayah berumur 60 tahun dan ke atas yang bermastautin di Malaysia? Bulan-bulan ada bagi duit tak dekat dorang? Kalau dua-dua masih hidup maka boleh claim sehingga RM3,000.

3. Ada anak berumur 6 tahun dan ke bawah?

Hantarlah anak masuk pra-sekolah. Pastikan taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pra-sekolah kerajaan/swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Hantarlah anak ke Little Caliphs, Children Islamic Centre (CIC), Brainy Bunch, Genius Aulad, Smart Reader. Tahun depan (tahun 2021) masa isi borang cukai untuk taksiran 2020 boleh claim maksimum RM2,000.

4. Penuhkan kuota Takaful. Takaful nyawa maksimum boleh claim RM3,000 setahun. Takaful pendidikan dan perubatan maksimum RM3,000. Bayar caruman takaful ni untuk perlindungan kita pada masa akan datang. Kalau belum penuh kuota tu, encik suami bayarkan sekali premium takaful isteri / isteri-isteri.

Simapanan SSPN-i Plus

5. Bagi yang ada anak-anak, penuhkan kuota Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Jangan bawa keluar pula. Tapi ingat, kalau simpan RM100,000 setahun pun dalam tu kita hanya boleh claim setakat RM8,000.

6. Kalau suami isteri dua-dua layak, hantar lah borang cukai tu secara taksiran berasingan.

7. Buatlah full medical checkup, selain nanti dapat claim maksimum RM500, sekurang-kurangnya dapat juga tahu tahap kesihatan diri sendiri. Nak buat untuk isteri/suami/anak juga boleh.

8. Ada anak ramai bawah 18 tahun lebih baik untuk mengurangkan kadar cukai. Potongan bagi anak yang belum berkahwin dan berumur di bawah 18 tahun pada bila-bila masa dalam tahun taksiran adalah sebanyak RM2,000 seorang. Maka beranaklah banyak-banyak!

9. Dermalah duit dekat kerajaan atau kerajaan negeri korang. 100% boleh claim. Kalau derma RM10,000 dapat claim RM10,000.

Tak pun boleh derma banyak-banyak dekat organisasi yang ada dalam senarai ini saja sebab mereka adalah organisasi yang diluluskan dibawah Subseksyen 44(6) ACP 1967. Nak derma ke masjid? Boleh asalkan masjid tu ada dalam senarai. Derma jenis ni terhad kepada 7% daripada pendapatan agregat. Sebelum derma tu boleh cuba minta izin tengok resit mereka. Dekat resit mesti ada menunjukkan frasa “Derma ini adalah di bawah Subseksyen 44(6) ACP 1967″.

10. Banyakkan membayar zakat. Semakin banyak berzakat, semakin sedikit cukai kena dibayar. Jika amaun zakat menyamai atau melebihi cukai, maka seseorang itu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan.

Katakanlah lepas dah masuk semua figure dekat bawah borang tu kata kena bayar cukai pendapatan sebanyak RM3,000. Katakan juga korang bayar zakat (fitrah + pendapatan + emas) berjumlah sama iaitu RM3,000. Pada masa yang sama, katakan majikan korang ada buat Potongan Cukai Berjadual (PCB) berjumlah RM450. 

RM3,000 – RM3,000 – RM450 = -RM450
Maka RM450 ni LHDN akan pulangkan semula.

Hati-hati, jangan nak main bedal masukkan nombor. Jumlah zakat yang besar, pasti akan timbul pertanyaan di pihak LHDN.

Oh ya dan satu lagi, syaratnya kena bayar zakat dekat pihak berkuasa agama yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, bukan korang agih sendiri.

11. TERKINI : Pergilah bercuti dalam negara! Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan baru-baru ini ada kata kerajaan memberi pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik bagi merangsang industri pelancongan. (Sumber MStar)

Jangan Lari

Harapnya jelas bagaimana korang boleh kurangkan cukai pendapatan yang korang kena bayar. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab kepada negara.

Kepada yang bisnes sendiri, buka dan tutup Enterprise banyak-banyak tu taktik lama. LHDN cari korang pakai nombor kad pengenalan, bukan guna nombor Enterprise.

Tetapi bukalah Enterprise lebih daripada satu kalau korang ada aktiviti perniagaan yang macam-macam, senang nak buat akaun yang berasingan untuk setiap Enterprise.

Nak lari mana, loan beli rumah atau kereta, sewa pejabat atau kedai kena buat perjanjian dan mati setem, sah-sah data kita akan masuk ke sistem LHDN.

Perlukan bantuan? Jangan tanya kami, tapi teruslah bertanya kepada pihak LHDN:

03-8911 1000 (LHDN) / +603-8911 1100 (Luar Negara)

Sumber rujukan : Pelepasan Cukai Individu Pemastautin

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.