10 Pemain Bola Terkaya di Dunia

Bola sepak boleh dikatakan sukan yang sinonim dengan rakyat Malaysia. Pergilah mana-mana kedai mamak pada hujung minggu ketika siaran bola sepak sedang berlangsung, memang payah nak dapat tempat duduk.

Tak hairanlah kerana bola sepak memang merupakan sukan yang paling popular di dunia. Menurut World Atlas, bola sepak mempunyai jumlah peminat melebihi 4 bilion orang, iaitu lebih daripada 50% daripada keseluruhan populasi dunia!

Dengan jumlah peminat yang begitu besar, sudah tentulah pemain-pemain bola sepak yang hebat seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sangat dijulang oleh peminat dan menjadi pemain idaman kelab-kelab bola sepak profesional di seluruh dunia. Bayangkan kalau Malaysia ada pemain setaraf mereka ni.

Fuh, penulis tak dapat bayangkan betapa gahnya Malaysia di pentas antarabangsa.

Dengan populariti dan kehebatan pemain-pemain bola ini, sudah tentulah mereka dibayar dengan gaji dan pampasan yang tinggi, setaraf dengan aksi mereka di atas padang. Ditambah lagi dengan tajaan jenama seperti Adidas, Nike, Herbalife, dan banyak lagi.

Persoalannya, siapa di antara mereka ini yang terkaya dari segi nilai bersih atau net worth?

Jom kita tengok.

10. Paul Pogba – Manchester United (USD85 juta)

Gambar ihsan Антон Зайцев di bawah lesen CC BY-SA 3.0

Pemain tengah pasukan Manchester United ini disunting oleh kelab tersebut pada tahun 2011 dengan harga EUR105 juta iaitu lebih kurang USD115 juta.

Dengan gaji berupa USD29 juta setahun dan perjanjian bersama Adidas, tidak hairanlah pemain ini mempunyai nilai bersih setinggi USD 85 juta.

9. Eden Hazard – Real Madrid (USD100 juta)

Gambar ihsan Кирилл Венедиктов di bawah lesen CC BY-SA 3.0

Baru sahaja berpindah kelab dari Chelsea ke Real Madrid, bekas bintang Liga Perdana Inggeris ini terkenal dengan kehebatannya menggelecek bola di kawasan gol lawan. Mana-mana pemain pertahanan pasti takut sekiranya Hazard memegang bola dan mula menyerang. Nama pun Hazard!

Di Real Madrid, Hazard menerima gaji setinggi USD24.8 juta setahun. Selain gaji yang tinggi, Hazard juga mempunyai perjanjian dengan jenama Nike, Topps dan Electronic Arts.

8. Andres Iniesta – Vissel Kobe (USD120 juta)

Gambar ihsan Кирилл Венедиктов di bawah lesen CC BY-SA 3.0

Andres Iniesta merupakan antara pemain Sepanyol yang paling dipuja peminat bola sepak, dengan gandingan hebatnya bersama Lionel Messi dahulu ketika beliau masih bersama Barcelona. Seumur hidupnya bermain bola sepak, beliau telah memenangi banyak trofi bersama pasukan Barcelona dan Sepanyol termasuklah UEFA Champions League dan Piala Dunia.

Kini di Vissel Kobe, beliau menerima gaji sebanyak JPY3.25 bilion setahun, bersamaan USD30 juta (USD577 ribu seminggu). Beliau juga mempunyai perjanjian bersama jenama kasut Asics dan memiliki bisnes minuman beralkohol bernama Minuto 116.

7. Gareth Bale – Real Madrid (USD125 juta)

Gambar ihsan Steindy di bawah lesen CC BY-SA 3.0 [https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0]

Pemain yang berasal dari Wales ini kini bermain untuk pasukan Real Madrid setelah berpindah dari Tottenham. Di Real Madrid, Bale menerima gaji sebanyak USD20.6 juta setahun, dan mempunyai perjanjian dengan banyak jenama termasuklah Adidas, Nissan, Konami, dan Lucozade.

Beliau juga memiliki sebuah bar dan restoran di Cardiff.

6. Wayne Rooney – Derby County (USD160 juta)

Gambar ihsan Football.ua di bawah lesen CC BY-SA 3.0 [https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0]

Dahulunya bintang penyerang Manchester United yang ditakuti permain pertahanan lawan, Rooney kini bekerja di kelab Derby County sebagai pemain dan jurulatih.

Beliau kini menerima gaji sebanyak USD1.6 ribu, namun masih mempunyai perjanjian dengan jenama Samsung, Coca Cola, EA Sports dan Nike.

5. Neymar Jr. – Paris Saint Germain (USD185 juta)

Gambar ihsan Кирилл Венедиктов di bawah lesen CC BY-SA 3.0 [https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0]

Bintang Brazil ini menerima gaji sebanyak USD45 juta setahun untuk menyertai pasukan Paris Saint-Germain, setelah meninggalkan Barcelona.

Beliau mempunyai perjanjian bersama MasterCard, Gillette, Electronic Arts, Nike dan McDonald’s.

4. Zlatan Ibrahimovic – LA Galaxy (USD190 juta)

Gambar ihsan Tasnim News Agency di bawah lesen CC BY-SA 4.0 [https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0]

Salah satu pemain yang paling menonjol di dunia, Zlatan kini bermain untuk pasukan LA Galaxy di MLS dengan gaji bernilai USD1.4 juta setahun.

Beliau mempunyai perjanjian dengan jenama Nike, Nivea, Microsoft dan Vitamin Well.

3. Lionel Messi – Barcelona (USD400 juta)

Gambar ihsan Кирилл Венедиктов di bawah lesen CC BY-SA 3.0 [https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0]

Pemain bertubuh kecil ini adalah antara pemain terbaik dunia bola sepak pernah saksikan, tak padan dengan saiznya. Kalau sebut Barcelona, manusia pertama yang setiap peminat bola sepak akan bayangkan ialah, tidak lain tidak bukan iaitu Messi.

Messi menerima gaji setinggi USD92 juta setiap tahun. Selain gajinya yang memang sudah tinggi, Messi mempunyai perjanjian dengan jenama Adidas, Pepsi, MasterCard dan Huawei.

2. Cristiano Ronaldo – Juventus (USD450 juta)

Gambar ihsan Анна Нэсси di bawah lesen CC BY-SA 3.0 [https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0]

Ronaldo adalah pesaing utama kepada Messi untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia ketika ini. Bintang Portugal ini bermain untuk kelab Juventus dan menerima gaji setinggi USD65 juta setahun sepanjang kontrak beliau bersama kelab itu.

Pemain bola sepak kegilaan ramai gadis ini juga mempunyai perjanjian bersama Nike, Electronic Arts, DAZN, Altice dan banyak lagi.

1. Faiq Bolkiah – Leicester City (USD20 bilion)

Gambar dari Instagram Faiq Bolkiah [hyperlink: www.instagram.com/fjefrib]

Faiq Bolkiah? Siapa? Kalau anda rasa nama “Bolkiah” itu seperti pernah didengari, perasaan anda itu mungkin betul.

Faiq merupakan keturunan kesultanan Brunei, iaitu anak buah kepada Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Sejak penemuan telaga minyak di Brunei, kekayaan kerabat diraja Brunei telah berkembang dengan begitu cepat, sehinggakan Sultan Hassanal Bolkiah menjadi orang terkaya di dunia sehingga tahun 90-an.

Namun begitu, sebagai pemain yang baru bermain secara professional dalam pasukan simpanan Leicester City, gaji mingguan beliau di kelab itu hanyalah USD1 ribu seminggu.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.