Kaspersky: Keselamatan Blockchain Halang Jenayah Mata Wang Kripto

KUALA LUMPUR, 13 Julai  (Bernama) — Kaspersky yang merupakan sebuah syarikat keselamatan siber global menumpukan kepada pembangunan keselamatan blockchain bagi membantu memerangi jenayah mata wang kripto (penipuan dan scam).

Pengarah Urusan Kaspersky untuk Asia Pasifik Chris Connell berkata membangunkan keselamatan blockchain sentiasa menjadi antara keutamaan mereka memandangkan teknologi itu makin berkembang pesat.

“Keselamatan siber mata wang kripto pada masa ini masih di peringkat awal dan menjadi tugas kami untuk terus membangunkan produk kami bagi mencuba dan menyesuaikan diri dengan pasaran mata wang kripto yang sentiasa berubah,” katanya kepada pemberita dalam temu bual di sini hari ini.

Beliau juga berkata teknologi digital boleh berubah dalam masa sejam tetapi adalah penting untuk memastikan seseorang itu melakukan perkara yang betul dan sesuai bagi menyesuaikan diri dengan perubahan itu dengan cepat atau sekurang-kurangnya cuba mendahului penjenayah siber.

“Oleh itu, ia (keselamatan siber mata wang kripto) adalah penting dan pastinya berada dalam radar kami,” katanya, sambil menambah bahawa Kaspersky telah mematenkan teknologi blockchain untuk pemindahan data peribadi yang selamat pada 22 Februari, 2022.

Pakar-pakar Kaspersky memantau dengan teliti halaman pancingan data yang menyasarkan kepada pelabur kripto berpotensi serta fail berniat jahat yang diedarkan di bawah nama 20 dompet mata wang kripto paling popular, jelas Connell.

Beliau berkata sejak awal 2022, produk Kaspersky mengesan dan menghalang hampir 200,000 percubaan untuk mencuri mata wang digital pengguna dan perakuan ke dompet mereka melalui pancingan data.

Jumlah bilangan percubaan sedemikian hampir mencecah 50,000 pada April, iaitu separuh daripada petunjuk bagi suku pertama 2022, katanya.

Menurut Kaspersky, dompet kripto ialah sasaran utama untuk penipuan dan aktiviti yang berniat jahat.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/kaspersky-keselamatan-blockchain-halang-jenayah-mata-wang-kripto/

Previous ArticleNext Article

Kenneth Chan Menerajui Webull Untuk Membentuk Semula Landskap Pelaburan Malaysia

Pandangan Kenneth Chan terhadap landskap pelaburan runcit Malaysia dibentuk daripada penglibatannya selama 17 tahun dalam seni bina kewangan negara, merangkumi perdagangan derivatif, operasi dasar monetari, serta pembangunan pasaran pelbagai aset di Bursa Malaysia. Sepanjang tempoh tersebut, satu pola yang konsisten dapat diperhatikan: rakyat Malaysia berminat untuk melabur, namun tahap penyertaan masih terhad kerana sistem sedia ada jarang dioptimumkan untuk pelabur harian. Kini, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Webull Malaysia, Kenneth percaya bahawa cabaran ini perlu ditangani melalui penambahbaikan struktur yang dipacu oleh teknologi, dengan akses digital yang disokong oleh alat yang ringkas, kos kemasukan yang lebih rendah, serta platform yang selamat bagi mengurangkan halangan kepada pelabur runcit.
 

Bagaimana Pengalaman Pasaran Membentuk Visi Pelaburan Inklusif

Pendedahan Kenneth terhadap sistem kewangan Malaysia bermula seawal kerjayanya melalui perdagangan derivatif dalam sektor perbankan, sebelum beralih kepada operasi monetari dan strategi pertukaran asing (FX) di Bank Negara Malaysia. Pengalaman ini membina asas kepakaran pasarannya, namun peranan beliau di Bursa Malaysia lebih memperkukuhkan perspektif kepimpinannya. Di Bursa Malaysia, Kenneth menerajui pelbagai inisiatif bagi memperluaskan ekosistem pedagang algoritma dan pembuat pasaran, meningkatkan kecairan bagi produk-produk utama, serta menyokong peralihan Bursa ke arah pasaran pelbagai aset yang diperkasakan secara digital. Peranan tersebut memberikan pandangan langsung terhadap faktor sebenar yang menghalang penyertaan pelabur runcit, yang berpunca bukan daripada kurangnya minat, tetapi daripada kekangan akses kepada alat dan pengetahuan, keperluan modal, serta halangan bahasa. Apabila peluang untuk menerajui Webull Malaysia muncul, Kenneth melihatnya sebagai ruang untuk membina infrastruktur pelaburan yang diyakini mampu memenuhi keperluan negara, disokong oleh struktur kos rendah Webull, alat yang mudah, platform yang selamat, serta agenda penyesuaian tempatan yang kukuh.
 

Membina Asas Pasaran Runcit yang Inklusif

Sejak mengambil alih mandat menerajui Webull Malaysia, penyesuaian tempatan menjadi keutamaan utama beliau. Kenneth memastikan sokongan Bahasa Malaysia tersedia sejak pelancaran, bukan sahaja untuk antara muka aplikasi, tetapi juga bagi data pasaran masa nyata dan hab pendidikan Webull Learn, memastikan ilmu kewangan dapat diakses dalam bahasa yang difahami oleh majoriti rakyat Malaysia. Seiring kematangan platform, beliau terus memanfaatkan pengalaman pasarannya untuk merapatkan jurang kebolehcapaian yang telah lama wujud, termasuk memperkenalkan pilihan perbankan Islam serta memperluaskan penapis patuh Syariah bagi saham Amerika Syarikat (AS), selari dengan keperluan etika dan budaya tempatan.

Kos pelaburan, yang sekian lama menjadi halangan utama kepada pelabur baharu, menjadi fokus seterusnya. Kenneth menerajui inisiatif seperti kempen komisen 0% bagi saham Bursa Malaysia serta membolehkan pemilikan saham pecahan AS bermula serendah USD1, langkah strategik untuk mengurangkan cabaran psikologi dan kewangan yang sering menghalang rakyat Malaysia daripada memulakan pelaburan.

Dilaksanakan dalam tempoh hanya dua tahun selepas kemasukan Webull ke pasaran Malaysia, inisiatif-inisiatif ini mencerminkan strategi Kenneth yang jelas: sesebuah platform broker perlu terlebih dahulu menyelesaikan halangan asas, disokong oleh antara muka yang ringkas dan keselamatan yang kukuh untuk membina kepercayaan, sebelum penyertaan pelabur runcit dapat berkembang secara bermakna dan mampan.
 

Memimpin Pasukan Bermatlamat Tinggi untuk Mendekati Rakyat Malaysia Secara Menyeluruh

Kepimpinan Kenneth tertumpu kepada pembinaan keupayaan yang diperlukan untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia, bermula dengan sebuah pasukan hampir 30 orang yang disatukan oleh misi tersebut. Di bawah kepimpinannya, pasukan ini mengekalkan kehadiran aktif dalam inisiatif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia seperti InvestSmart® Fest dan Bursa Marketplace Fair, berinteraksi secara langsung dengan rakyat Malaysia bagi merapatkan jurang pengetahuan kewangan yang sering menjadi penghalang antara minat dan tindakan.

Namun, penglibatan kawal selia hanyalah sebahagian daripada pendekatannya. Kenneth menyedari bahawa sebuah firma broker moden juga perlu membentuk persekitaran maklumat di mana pelabur dapat belajar. Di samping Webull Learn, saluran media sosial platform ini telah diperkemas semula untuk menyediakan tutorial ringkas, kalendar pasaran, bahan penerangan dan webinar yang direka khusus untuk memudahkan pemahaman pelaburan kepada peserta baharu. Usaha ini diperkukuhkan lagi melalui usaha pengaktifan Webull sendiri, khususnya kempen seluruh negara #SamaSamaWebull, yang menggabungkan pendidikan, pengalaman platform dan penglibatan lapangan dalam satu strategi jangkauan yang menyeluruh.
 

Memanfaatkan Penglibatan Langsung untuk Menyokong Rakyat Malaysia di Setiap Peringkat

Penglibatan secara langsung bersama rakyat Malaysia telah mengukuhkan pemahaman Kenneth bahawa langkah pertama dalam dunia pelaburan biasanya adalah yang paling sukar. Keraguan ini bukan sahaja berpunca daripada kekangan modal, tahap pengetahuan dan akses yang terhad, malah turut dipengaruhi oleh keraguan untuk keluar daripada zon selesa kewangan masing-masing. Keadaan ini lebih ketara dalam kalangan golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan, dengan simpanan yang sederhana serta keinginan untuk mengurus wang mereka dengan lebih berkesan. Menurut beliau, sesebuah firma broker perlu memahami realiti ini dan mencipta laluan pelaburan yang mengambil kira tahap kesediaan serta toleransi risiko yang berbeza. Inilah sebabnya Webull terus memperluaskan rangkaian produk kewangannya bagi memenuhi keperluan pelbagai kumpulan pelabur.

Bagi mereka yang ingin bermula secara berhati-hati atau mengutamakan kestabilan, Moneybull ditampilkan sebagai satu pilihan untuk mengoptimumkan wang tunai yang tidak digunakan sambil membina kefahaman terhadap tingkah laku pasaran. Pelabur dengan selera risiko yang lebih tinggi pula boleh meneroka peluang di pasaran saham Bursa Malaysia atau pasaran AS, manakala mereka yang masih menilai tahap keselesaan masing-masing boleh memanfaatkan ciri dagangan simulasi (paper trading) Webull untuk belajar tanpa melibatkan modal sebenar. Kenneth percaya bahawa platform pelaburan perlu berkembang seiring dengan penggunanya, dengan menyelaraskan alat, produk dan tahap risiko mengikut keperluan dunia sebenar. Seperti yang beliau nyatakan, “Penyertaan pelabur runcit tidak boleh dipercepatkan dengan memaksa mereka bergerak lebih laju daripada tahap keselesaan mereka. Ia dibina dengan menyediakan pilihan yang tepat pada peringkat yang sesuai, sambil membangunkan teknologi seiring dengan perjalanan mereka.”
 

Matlamat Dicapai, Hala Tuju Lebih Jelas

Dua tahun kebelakangan ini menandakan beberapa pencapaian penting bagi Webull Malaysia. Pengiktirafannya sebagai Aplikasi Pelaburan Runcit Terbaik di Anugerah PC.com 2025 mencerminkan keutamaan rakyat Malaysia yang semakin menghargai pengalaman pelaburan yang mudah, mampu milik dan selamat. Dalam tempoh yang sama, platform ini turut memperkenalkan pilihan perbankan Islam serta mengintegrasikan dagangan sekuriti dan niaga hadapan dalam satu antara muka tunggal, menjadikannya broker runcit dalam talian pertama di Malaysia yang menawarkan akses pelbagai aset seluas ini. Bagi Kenneth, perkembangan ini mencerminkan strategi penyesuaian tempatan yang terancang serta aspirasi lebih besar untuk menjadikan pelaburan sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, keutamaannya tertumpu kepada peluasan akses pelbagai aset, pemerkasaan keupayaan platform serta peluasan pendidikan pelabur dalam ekosistem yang dikawal selia dan selamat. Teras kepada visi jangka panjang ini ialah pembangunan produk dan perkhidmatan yang lebih selari dengan cara rakyat Malaysia melabur dari semasa ke semasa — merangkumi pedagang aktif hinggalah mereka yang menumpukan kepada pengumpulan kekayaan jangka panjang secara berdisiplin. Ini termasuk perancangan untuk memperkenalkan ciri seperti Pelan Simpanan Berkala (RSP) dan Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP), di samping memanfaatkan lesen unit amanah Webull bagi menyediakan rangkaian dana yang lebih luas, sejajar dengan keperluan pelabur yang semakin berkembang.

Bagi Kenneth, inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perubahan struktur yang lebih besar, dipacu oleh halangan kemasukan yang lebih rendah, antara muka yang lebih intuitif serta tafsiran peluang kewangan yang lebih inklusif. Pada penilaiannya, pelaburan runcit di Malaysia kini berada pada fasa penting — rangka kerja kawal selia semakin matang, infrastruktur pasaran terus diperkukuh dan generasi muda Malaysia semakin terbuka kepada pasaran global. Kesemua dinamik ini sejajar dengan aspirasi Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan, dan mengukuhkan peranan Webull dalam menyokong pembentukan pangkalan pelabur runcit yang lebih berpengetahuan dan yakin.