KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Pengawal selia pasaran diminta untuk membangunkan rangka kerja mata pengawalseliaan wang kripto yang jelas untuk memudahkan penyertaan institusi.
Ketua Pegawai Eksekutif MX Global Sdn Bhd Datuk Fadzli Shah berkata peraturan dan pelesenan adalah punca masalah yang mungkin memperlahankan penggunaan mata wang kripto untuk institusi di Malaysia.
“Dalam konteks Malaysia, kripto dianggap sebagai sekuriti (kategori) dan secara semula jadi berada di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, walaubagaimanapun pasti ada unsur pengoptimuman dan itu termasuk di bawah bank pusat (Bank Negara Malaysia).
“Justeru itu di bawah bidang kuasa seperti Malaysia apabila kedua-dua pengawal selia tidak sejajar, korporat mahukan maklumat lengkap mengenainya. Oleh itu, ia akan melambatkan penerimaan institusi,” katanya semasa sesi panel bertajuk “Institutional Crypto Trading in ASEAN” pada Persidangan Invest ASEAN 2022 secara maya hari ini.
Persidangan yang dihoskan oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) itu berlangsung dari 8 hingga 9 Jun di Kuala Lumpur, Singapura, Bangkok, Jakarta, Manila dan Bandaraya Ho Chi Minh secara hibrid.
Sementara itu, Ketua Talos Asia-Pasifik Samar Sen berkata peraturan akan memainkan peranan utama untuk kripto pada masa hadapan bagi menjadi ekosistem yang bertanggungjawab kepada pasaran.
Beliau menekankan kepentingan pematuhan pengawalseliaan dan menggesa pelabur untuk melibatkan diri dalam wang kripto dengan cara yang selamat dan terjamin.
“Pengawal selia yang berbeza akan menggubal undang-undang secara berbeza dan apa yang saya perhatikan secara keseluruhan ialah negara yang berbeza bergerak pada kadar yang berbeza, ia sangat mengecewakan.
“Oleh itu, kita memerlukan pendidikan dan peningkatan kemahiran dalam semua bidang, sama ada pematuhan orang ramai dan kepimpinan institusi kewangan yang berbeza dalam mata wang kripto. Ia adalah keseimbangan yang rumit untuk membenarkan inovasi dan membina masa depan kewangan tetapi pada masa yang sama melindungi pelabur daripada perkara yang tidak baik,” katanya.
— BERNAMA
Berita asal: https://thekapital.my/pengawal-selia-diminta-bangunkan-rangka-kerja-kripto-yang-jelas/