6 Tips Hiasan Dalaman Yang Menarik Dan Menjimatkan Duit

Kata orang tua-tua Rumahku, Syurgaku. Rumah bukan sahaja tempat yang memberi perlindungan daripada hujan panas, tetapi juga tempat yang menenangkan untuk kita merehatkan diri sambil meluangkan masa bersama dengan keluarga tercinta.

Disebabkan itu, ramai yang sanggup berhabis duit sehingga berpuluh-puluh ribu untuk melakukan renovation dan juga membeli pelbagai jenis aksesori bagi mendapatkan rekaan dalaman rumah mengikut impian masing-masing.

Bagi yang mempunyai bajet yang ciput, jangan risau. Kita masih boleh dapat melakukan pengubahsuaian hiasan dalaman mengikut bajet yang rendah dengan hasil yang menarik.

Berikut merupakan tips bagi mendapatkan rumah dengan design menarik dan bajet yang rendah.

1. Rajinkan Diri Buat Research

Nampak macam remeh, tapi benda ini sangat penting untuk memastikan kita dapat hasil yang kita impikan. Ianya sekaligus menjimatkan duit poket.

Sedikit research akan memberi peluang kepada kita untuk mendapatkan idea rekaan dalaman menarik yang boleh disesuaikan mengikut kreativiti dan personaliti kita.

Kadang-kadang, kita tak perlu mengeluarkan belanja pun untuk mendapatkan hiasan dalaman yang menarik. Cukup jika kita pandai menyusun atur perabot dan juga aksesori di ruangan pilihan.

Sebab itulah, kita perlu banyak belajar dan dapatkan inspirasi melalui media sosial, televisyen, majalah dan bermacam-macam lagi sumber yang ada.

2. Perabot vs Aksesori

Kalau ikutkan hati, pasti semua benda kita nak borong untuk dijadikan dekorasi rumah. Sampaikan benda yang tak berapa penting atau berguna pun kita nak beli.

Kalau duit memang tengah banyak tu takpe lagi. Tapi kalau duit pun cukup-cukup, kenalah pandai pilih apa yang penting.

Sebab itu, sebelum kita terus beli barang untuk dekorasi, kena buat senarai semak terlebih dahulu. Senaraikan mengikut susunan apa yang lebih penting dahulu. Jangan lupa untuk letakkan sekali harga barangan tersebut, senang untuk kira bajet.

Dan yang paling penting, kita tak rasa menyesal untuk berbelanja sebab dah sediakan bajet.

3. Sedikit Demi Sedikit

Bila semua keperluan atau perabot penting sudah lengkap, barulah boleh beralih kepada pemilihan aksesori pula. Kalau nak hias sebijik rumah, pasti berpeluh juga nak keluarkan duit bukan?

Mungkin kita boleh mulakan dengan ruangan yang lebih kecil dahulu sebelum mengubahsuai ruangan yang lebih besar. Aksesori yang dipilih pula tidak perlu yang terlalu mahal dan mewah.

Sebagai contoh, cermin dan juga frame yang tertulis kata-kata motivasi mampu memberikan tata rias yang sangat menarik bagi sesebuah ruang.

Paling best, barang-barang ini kita boleh dapatkan di kedai Eco atau Mr DIY.

4. Dapatkan Tawaran Terbaik

Kebanyakkan orang kalau nak beli perabot, lebih suka beli ke semuanya dari kedai yang sama. Malas nak drive ke hulu ke hilir untuk mendapatkan barangan kelengkapan rumah.

Cara ini tak salah sebenarnya. Tapi kalau nak lagi jimat, kita boleh cuba untuk tinjau lebih banyak kedai perabot. Jadi kita boleh dapatkan pelbagai tawaran harga yang lebih menarik mengikut bajet anda.

Boleh juga tunggu jualan gudang untuk dapatkan perabot dengan harga yang lebih berpatutan. Pilihan yang lain adalah dengan membeli perabot terpakai. Perabot terpakai pun banyak yang cantik dan elok.

Kalau ada kecacatan pun mungkin sedikit saja, yang penting ianya lebih murah daripada beli baru.

5. Baik Pulih

Kalau kita mempunyai perabot lama yang masih elok, fikir dulu sebelum buang. Buat apa nak buang duit untuk beli perabot baru, kalau perabot lama masih boleh digunakan lagi. Kalau rasa jemu tengok perabot lama tersebut, mungkin boleh guna kreativiti untuk memberi sentuhan baru.

Sebagai contoh, kita boleh cat semula almari lama dengan warna yang ceria dan menarik. Untuk sofa pula, mungkin boleh tukar kain pembalot sofa kemudian tambah aksesori seperti bantal yang berwarna-warni. Pasti ia akan nampak lebih menarik dan kelihatan baru.

Walaupun perlu mengeluarkan sedikit belanja, tetapi tidaklah sebanyak yang perlu kita keluarkan untuk beli perabot baru.

6. Serlahkan Kreativiti

Kita boleh melakukan projek DIY untuk mendapatkan perabot atau aksesori yang menarik. Ini bukan saja menjimatkan duit, tetapi mampu memberikan kepuasan apabila projek DIY tersebut siap.

Ada banyak group DIY serta video di Youtube yang menunjukkan tutorial untuk pelbagai jenis barangan. Bolehlah kita layan untuk dapatkan idea dan inspirasi.

Tak susahkan nak buat dekorasi hiasan dalaman sendiri? Dapat berjimat lagi. Tak perlu keluar duit untuk bayar interior designer. Kini kita pun boleh lakukannya sendiri dengan modal yang rendah.

Sumber Rujukan: https://www.iproperty.com.my/lifestyle/6-practical-tips-to-save-money-on-your-homes-interior-design/

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.” – National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.