Tawaran Gaji Rendah Punca Graduan Enggan Bekerja Dalam Sektor Kemahiran -MITI

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Penawaran gaji yang rendah menjadi punca kekurangan tenaga mahir tempatan terutama daripada kalangan lepasan pengajian tinggi, walaupun permintaan dari pihak industri terus meningkat, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata berdasarkan laporan statistik suku tahun yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Buruh Malaysia (MBLS), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terdapat 49,500 kekosongan jawatan berkemahiran tinggi bagi sektor pembuatan pada suku kedua 2023.

Beliau berkata selain itu, data pada suku ketiga 2023 daripada Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) melaporkan terdapat sebanyak 22,248 kekosongan pelbagai jawatan bagi industri profesional, saintifik dan teknikal, melibatkan 5,734 syarikat tempatan.

“Sekiranya dilihat pada data-data ini, jumlah penghasilan graduan di Malaysia boleh dianggap mencukupi untuk menampung permintaan daripada industri.

“Namun begitu, kebanyakan daripada mereka memilih untuk bekerja di luar negara berikutan tawaran gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik ataupun melibatkan diri dalam ekonomi gig,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai unjuran guna tenaga teknikal kejuruteraan, sains dan teknologi yang diperlukan pelabur pada 2024 memandangkan terdapat kenyataan bahawa kerajaan terpaksa menggunakan tenaga kerja mahir asing yang memberi kesan defisit terhadap peluang pekerjaan graduan tempatan.

Liew turut merujuk laporan kajian bertajuk ‘Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents’ oleh Institut Penyelidikan Khazanah baru-baru ini yang melaporkan jumlah graduan baharu terlebih kelayakan terus meningkat dan menghadapi masalah gaji rendah, dengan 65.6 peratus graduan pada  2021 menerima gaji permulaan kurang daripada RM2,000. 

Mengulas lanjut, beliau berkata MITI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama kementerian lain mengatur langkah komprehensif bagi memastikan graduan yang menganggur mendapat pekerjaan dalam industri dan sesuai dengan kehendak pelabur, sekali gus memenuhi permintaan pasaran.

“MITI dan KPT bersama kementerian-kementerian (lain) sedang menguruskan program ‘work-based learning’ untuk memadankan, supaya kita boleh bawa TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) bersesuaian dengan industri bersama program-program lain bagi mewujudkan suasana graduan serta profesional bersama pekerja teknikal yang bersesuaian dengan permintaan industri,” katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pihak industri juga perlu bersedia untuk membayar gaji yang lebih tinggi kepada graduan tempatan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA